Isnin, 22 Januari 2018

Suhakam Diberitahu Aktiviti Perlis Hope Tiada Kaitan Agama


KUALA LUMPUR: Aktiviti Persatuan kebajikan Perlis Hope yang diketuai Amri Che Mat yang hilang pada 2016 tidak berkaitan agama, kata isteri, Norhayati Ariffin.

Norhayati memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini yang melakukan siasatan awam ke atas kehilangan aktivis itu.

Menurut Norhayati, Perlis Hope hanya tumpu pada aktiviti kebajikan masyarakat.

“Kami NGO yang bantu 150 rumah sebulan, beri 10kg beras ke setiap rumah orang miskin, bantu ibu tunggal, anak yatim dan anak-anak pesakit kronik. Kami juga bantu rumah kebakaran, bina rumah orang miskin sejak 2015.

“Dalam organisasi ada bangsa selain Melayu, India, Cina pun ada. Kami bantu semua bangsa dan agama. Kami juga tidak pernah buat aktiviti di kuil atau masjid.”

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016 lepas.

Sebelum ini Norhayati berkata saksi ternampak 5 buah kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m daripada rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Sebelum ini, terdapat spekulasi beliau terlibat dalam penyebaran ajaran Syiah, aliran Islam yang difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama Malaysia. Dakwaan itu ditolak Norhayati.

Tiada perkembangan

Sementara itu, Norhayati memaklumkan sehingga kini tidak perkembangan terbaharu dari polis walaupun selepas 2 laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar dan 5 kali dipanggil untuk diambil maklumat.

“Sehingga kini tiada perkembangan. Pada April 2015, saya diberikan kes diserah ke Bukit Aman. Saya ada hubungi pegawai penyiasat beberapa kali namun beliau maklum tiada maklumat terkini.”

Norhayati berkata, apabila kereta suaminya ditemui, beliau mendapati semua barangan dalam kereta itu hilang dan pelekat Perlis Hope juga dicabut.

Beliau berkata beliau tidak mendapat panggilan daripada mana-mana pihak yang mempunyai tujuan tebusan.

Selain kehilangan Amri, siasatan Suhakam ini turut mahu menjawab misteri kehilangan Paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth.

Seorang lagi yang hilang, Pastor Raymond Koh, tidak lagi menjadi subjek siasatan, selepas seorang suspek dihadapkan tuduhan menculiknya di mahkamah minggu lalu.

Ini kerana Seksyen 12 Akta Suhakam menyatakan siasatan awam perlu dihentikan jika ia menjadi kes mahkamah.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Suhakam Diberitahu Aktiviti Perlis Hope Tiada Kaitan Agama" yang ditulis oleh Faiz Zainudin bertarikh 22 Januari 2018)