ISTERI kepada aktivis Perlis yang hilang, Amri Che Mat
percaya pihak berkuasa agama negeri, Mufti Perlis Mohamad Asri Zainul Abidin
dan menteri di Janatan Perdana Menteri Shahidan Kassim bertanggungjawab atas
kehilangan suaminya.
Norhayati Ariffin memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Malaysia (Suhakam) yang menjalankan siasatan terhadap kehilangan Amri yang
Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Shahidan seringkali mengecam badan amal
suaminya iaitu Perlis Hope.
"Jabatan Mufti Negeri Perlis mengecam aktiviti
Perlis Hope membantu golongan miskin. Shahidan juga mengecam Perlis Hope di
Facebooknya.
"Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin (Maza) juga
memberi amaran kepada rakyat supaya berhati-hati mengenai aktiviti Perlis Hope
yang berkaitan dengan keganasan," kata Norhayati yang menjadi orang pertama
memberi keterangan pada sesi pedengaran hari ini.
Amri kali terakhir dilihat isteri dan keluarganya pada 24
November 2016.
Norhayati berkata pada 2015, kira-kira 20 pegawai daripada
Jabatan Mufti Negeri Perlis dan polis datang menaiki 10 kereta menyerbu rumah
mereka.
"Mufti Perlis Maza juga ada di sana dan meminta masuk
ke rumah dan saya tidak membenarkan mereka kerana suami saya tidak berada di
rumah.
"Polis mula menjerit kepada anak bongsu saya yang
berada di luar rumah 'di mana ayah kamu'.
"Mereka kemudian memecah masuk Perlis Hope yang
terletak di sebelah rumah saya.
"Mereka kemudian datang dan mengambil kenyataan tentang
aktiviti Perlis Hope dan pergi."
Norhayati juga berkata Maza kemudian memintanya datang ke
pejabat Jabatan Mufti Negeri Perlis.
"Saya ke pejabat beliau keesokan harinya,"
katanya.
Apabila ditanya mengapa dia berfikir Shahidan dan Jabatan
Mufti Negeri Perlis mengecam badan amal suaminya, Norhayati berkata mereka
tidak selesa dengan perhatian yang diperolehi dengan membantu golongan miskin.
"Perlis Hope membina rumah berhampiran rumah Shahidan
untuk golongan miskin dan kami juga memberikan beras kepada golongan miskin.
"Mungkin ia akan kelihatan seperti orang Perlis Hope
yang melakukan semua aktiviti dan mereka tidak banyak membantu orang
miskin."
Shahidan merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis
dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.
Menurut Norhayati, aktiviti Perlis Hope hanya tertumpu
kepada memberi bantuan kepada golongan miskin dan ia tiada kaitan dengan
mana-mana NGO serta aktiviti keagamaan.
"Kami membantu semua kaum, daripada Melayu, Cina dan
India.
"Kami mendapat dana untuk melakukan kerja amal daripada
pelbagai sumbangan.
"Kami hanya membantu orang miskin."
Siasatan Suhakam terhadap empat individu yang hilang
diteruskan hari ini selepas berehat selama seminggu.
Siasatan itu dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah
Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.
Panel itu bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Koh
dan Amri, serta kehilangan dua yang lain – Joshua dan Ruth Hilmy – pada 2016,
adalah kes kehilangan paksaan yang dilakukan pihak berkuasa negara ini. – 22
Januari, 2018
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Isteri Aktivis Amri Che Mat Salahkan Mufti Perlis, Shahidan" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 22 Januari 2018)