Selasa, 23 Januari 2018

Suhakam Bincang Dakwaan Amri Terbabit Syiah Secara Tertutup


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berehat seketika untuk membincangkan dakwaan aktivis yang hilang, Amri Che Mat, terbabit dengan ajaran Syiah secara tertutup.

Suhakam membuat keputusan itu selepas isteri Amri, Norhayati Ariffin, mendedahkan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 20 pegawai Jabatan Mufti Perlis dan polis membuat serbuan di rumahnya berkenaan pembabitan Amri dan Perlis Hope dengan ajaran Syiah.

Terdahulu, Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai meminta Norhayati menjelaskan pembabitan Amri dalam perkara itu.

Peguam keluarga, Philip Koh, bagaimanapun meminta soalan itu dijawab secara tertutup.

“Jelas sekali ini soalan yang penting dan saksi membuat keputusan untuk menjawabnya secara tertutup kerana ia boleh mendedahkan beliau kepada ancaman daripada pelbagai pertubuhan,” katanya.

Mah cuba menyakinkan Norhayati bahawa beliau akan kebal daripada sebarang tindakan walau apapun jawapan asalkan ia benar.

Koh bagaimanapun tidak berpuas hati.

“Tuan pengerusi, bolehkan kita pastikan undang-undang itu yang boleh digunapakai dalam mahkamah sivil juga boleh digunapakai ke atas mahkamah syariah dan undang-undang?

“Kita tidak yakin ini boleh melindungi saksi dan keluarganya,” katanya.

Dengan penjelasan Koh itu, Suhakam bersetuju membincangkan perkara itu secara tertutup.

Sebelum itu, Norhayati ditanya mengenai perbincangan Amri dengan Asri di Jabatan Mufti Perlis, yang berlaku pada 22 Oktober 2015 iaitu sehari selepas serbuan ke rumahnya.

“Amri beritahu saya lepas pertemuan itu, Asri kata pihak berkuasa tidak membenarkan ajaran Syiah tapi mufti tiada bantahan jika ia dijalankan senyap-senyap,” kata Norhayati.

Mahkamah kemudian bertanya adakah pejabat mufti tiada bantahan jika aktiviti berkaitan Syiah dijalankan secara senyap-senyap.

Norhayati berkata: “Mufti mungkin nyatakan… secara diam diam.”

Beliau akui perkara itu diberitahu oleh suaminya sendiri.

Suhakam kemudian bertanya adakah suamimya ada kaitan dengan Syiah, lalu Norhayati berkata beliau tidak boleh menjawab soalan berkenaan.

Peguamnya kemudian mencelah dan meminta perkara itu dibincangkan secara tertutup.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Suhakam Bincang Dakwaan Amri Terbabit Syiah Secara Tertutup" yang ditulis oleh Sheith Khidhir Bin Abu Bakar and Faiz Zainudin:bertarikh 22 Januari 2018)