SEPANG: Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari
ini melancarkan serangan terhadap Amri Che Mat, sehari selepas isteri aktivis
itu menamakan Jabatan Mufti Negeri dan pihak berkuasa Islam antara yang beliau
syaki terlibat dalam kehilangan suaminya.
Asri berkata, Amri seorang Syiah yang mengamalkan muta’ah
atau nikah kontrak yang berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua belah pihak.
Bagaimanapun, Asri menafikan apa-apa kaitan yang
menghubungkannya dengan kehilangan Amri, selepas isteri Amri memberitahu dalam
inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) semalam yang Jabatan
Mufti Perlis berkemungkinan memainkan peranan dalam perkara itu.
“Mungkin suami dia ada sekarang ke pergi mana saya tak tahu.
Mungkin dia pergi Iran,” katanya merujuk kepada majoritinya penganut Syiah di
negara terbabit.
“Mungkin dia pergi muta’ah di Thailand. Dia pergi mana saya
tak tahu,” katanya semasa ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) hari ini.
Amri, yang merupakan pengasas Perlis Hope, telah hilang
sejak November 24 2016.
Kehilangan misterinya dan 3 yang lain, Raymond Koh, Joshua
Hilmy dan isterinya Ruth, menjadi subjek inkuiri yang dijalankan oleh Suhakam.
Semalam, isteri Amri, Norhayati Ariffin memberitahu inkuiri
Asri bersama 20 polis dan pegawai daripada Jabatan Mufti Perlis yang datang ke
rumahnya pada 2015 untuk menyoal Asri dan aktiviti Perlis Hope.
Beliau berkata, semasa lawatan itu, beliau terdengar
kekecohan di luar rumah dan menambah polis menjerit kepada anaknya serta
bertanyakan di mana ibu bapanya.
Asri mengakui bersama kumpulan pegawai itu, tetapi mengatakan
dia pergi ke sana secara aman.
“Saya tidak mendengar pun polis menengking anaknya,” katanya
sambil menambah mereka memasuki rumahnya dengan penuh hormat.
‘Syiah merupakan ancaman, tanggungjawab saya untuk
menyiasat’
Asri berkata, rumah yang diduduki Amri dipenuhi gambar
imam-imam Syiah.
“Suasana kita pergi itu macamlah tempat ibadat Syiah di
Iran,” tambahnya.
Asri lantang menentang Syiah, yang merupakan mazhab kedua
terbesar dalam dunia Islam dan dilabel sebagai “menyimpang” oleh pihak berkuasa
Islam Malaysia.
Sebelum ini, terdapat dakwaan Amri terlibat dalam
menyebarkan Syiah tetapi dakwaan itu dinafikan oleh isterinya.
Bagaimanapun, Asri berkata adalah menjadi tugasnya untuk
menyiasat dakwaan tersebut berikutan “banyak aduan daripada orang ramai” yang
menuduh Jabatan Mufti tidak mengambil “tindakan”.
Tambahnya, beliau tidak boleh menghalang apa yang dipercayai
oleh Amri asalkan beliau tidak manjadikannya satu aktiviti.
“Sebab itu saya pergi ke rumahnya. Bukan kerana saya mahu
menghalang kebebasannya.
“Awak tahu saya bercakap soal kebebasan pemikiran, soal
hak-hak asasi manusia tapi perkara ini telah melampaui batas. Anda menjadikan
orang sekeliling anda kelam kabut,” katanya.
Asri turut menyebut mengenai penyebaran Syiah di Perlis dan
di negara jiran Thailand.
“Syiah berkembang di Perlis dan juga ada di Satun, markas
mereka. Ini bukan satu perkara kecil. Saya ulangi, ini memang boleh menggugat
keselamatan negara,” katanya.
Menurut Asri, terdapat kemungkinan Perlis Hope sedang
berusaha untuk menegakkan teokrasi.
“Saya menentang apa-apa pemikiran ekstremis untuk mewujudkan
negara agama yang ekstremis, negara mullah,” kata Asri yang pada masa dahulu
dikaitkan dengan tuduhan menggalakkan wahabisme, iaitu suatu pemikiran dalam
Islam yang diamalkan di Arab Saudi.
Inkuiri itu akan bersambung esok dan Asri kemungkinan akan
dipanggil untuk memberikan keterangan.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Asri Serang Amri, Kata Syiah Ancam 'Keselamatan Negara' yang ditulis oleh Khairil Ashraf bertarikh 23 Januari 2018)
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Asri Serang Amri, Kata Syiah Ancam 'Keselamatan Negara' yang ditulis oleh Khairil Ashraf bertarikh 23 Januari 2018)