Isnin, 28 Mei 2018

Umat Tuhan Dalam Alkitab Juga Merayakan Perayaan Menuai!


Oleh Si Domba Putih:

Banyak bangsa di sekeliling dunia termasuklah di Sabah dan Sarawak merayakan pesta menuai setiap tahun. Di Sabah, Hari Kaamatan (30-31 Mei) dan di Sarawak, Pesta Gawai (1-2 Jun) adalah cuti awam untuk merayakan perayaan itu. 

Apakah yang dikatakan oleh Alkitab mengenai Perayaan Menuai? Adakah umat Tuhan dalam Alkitab merayakan Perayaan Menuai?

Sewaktu menyelidiki topik ini, saya mendapati 5 perkara mengenai Perayaan Menuai dalam Alkitab.

1. Umat Tuhan merayakan Perayaan Menuai

Tetaplah rayakan Perayaan Penuaian, iaitu penuaian hasil pertama daripada apa yang telah kamu usahakan di ladang. Selain itu, tetaplah rayakan Perayaan Pengumpulan Hasil pada akhir tahun, sewaktu kamu mengumpulkan hasil pekerjaanmu dari ladang (Keluaran 23:16, AVB)

Dalam kitab Keluaran, Tuhan menyuruh umat-Nya merayakan Perayaan Menuai. Bagi umat Israel, perayaan menuai itu sebenarnya dua kali dalam setahun, iaitu Perayaan Penuaian (hasil pertama) dan Perayaan Pengumpulan Hasil (pada akhir tahun). 

Umat Israel mempunyai beberapa perayaan tahunan, tetapi 3 perayaan terpenting bagi mereka adalah Perayaan Paskah, Perayaan Penuaian dan Perayaan Pengumpulan Hasil - ertinya dua daripada tiga perayaan utama mereka adalah berkaitan dengan penuaian! Untuk tiga perayaan ini, umat Israel akan membuat kunjungan ke Bait Allah di Yerusalem seperti yang diperintahkan Taurat. 

Jadi perayaan menuai sangat penting dalam kehidupan umat Israel!

2. Mereka merayakan Perayaan Menuai bagi Tuhan

Perayaan Penuaian (hasil pertama) juga dipanggil Perayaan Tujuh Minggu, iaitu dikira 7 minggu selepas hari Paskah. 

Rayakanlah Perayaan Tujuh Minggu apabila kamu mula menuai hasil pertama gandum kamu, begitu juga Perayaan Pengumpulan Hasil pada penghujung musim bertani. (Keluaran 34:22, AVB)

Dalam Ulangan 16:10, umat disuruh merayakan Perayaan Menuai bagi Tuhan:

Kemudian rayakanlah Perayaan Tujuh Minggu bagi Tuhan, Allahmu, dengan mempersembahkan korban sukarela yang harus kauberikan selaras dengan berkat yang dikurniakan kepadamu oleh Tuhan, Allahmu. 

Umat Israel merayakan Perayaan Menuai bagi Tuhan sebab Tuhanlah yang telah memberi mereka penghasilan.

3. Mereka memberi persembahan sukarela

Kemudian rayakanlah Perayaan Tujuh Minggu bagi Tuhan, Allahmu, dengan mempersembahkan korban sukarela yang harus kauberikan selaras dengan berkat yang dikurniakan kepadamu oleh Tuhan, Allahmu. (Ulangan 16:10, AVB)

Mereka merayakan dengan membawa persembahan sukarela, selaras dengan berkat yang telah dikurniakan oleh Tuhan kepada mereka. 

Cuba bayangkan betapa besar sukacita umat sambil membawa persembahan sukarela mereka atas kebaikan Tuhan kepada mereka!

4. Mereka bersukaria di hadapan Tuhan 

Bersuka rialah di hadapan Tuhan, Allahmu, di tempat yang akan dipilih Tuhan, Allahmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya... (Ulangan 16:11a, AVB).

Umat Israel merayakan perayaan menuai mereka dengan bersukaria di hadapan Tuhan! 

Ini mengingatkan saya mengenai pentingnya bukan bersuka ria secara sendiri sahaja apabila mendapat gaji (atau hasil pendapatan), tetapi juga harus bersuka ria di hadapan Tuhan.  

Sewaktu kita susah, kita berseru kepada Tuhan, dan sewaktu kita menerima berkat, kita harus juga bersukaria di hadapan-Nya.

Kalau kita hanya bersuka ria secara sendiri sahaja, mungkin kita akan rasakan bahawa itulah wang dari hasil usaha kita sendiri tanpa pertolongan orang lain. Tetapi apabila kita bersuka ria di hadapan Tuhan, kita akan mengingati bahawa Tuhanlah sumber berkat kita, dan kita juga akan lebih menghargai dan bertanggungjawab dalam menggunakan pemberian Tuhan itu.

5. Mereka bersukaria bersama keluarga dan pelbagai lapisan masyarakat.

Bersuka rialah di hadapan Tuhan, Allahmu, di tempat yang akan dipilih Tuhan, Allahmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya, baik engkau, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, bani Lewi yang ada di kotamu, pendatang, anak yatim, mahupun balu yang ada dalam kalangan kamu (Ulangan 16:11, AVB).

Umat Israel disuruh bersukaria di hadapan Tuhan, bersama dengan keluarga dan pelbagai lapisan masyarakat seperti yang disenaraikan itu.

Bila saya membaca ini, saya terus terbayang pesta menuai di Sabah dan Sarawak yang merupakan perayaan melibatkan seluruh masyarakat. 

Dalam ayat itu, umat Israel diingatkan untuk merayakan bersama hamba-hamba mereka (bagi yang memiliki hamba), dengan bani Lewi (kalau hari ini hamba Tuhan atau pastor), pendatang, anak yatim dan balu yang di antara kita. 

Semasa perayaan itu, kita mengingati mereka yang ada di kalangan kita. Sewaktu kita diberkati, kita juga berkongsi sukacita dengan mereka yang di sekeliling kita. 

Perayaan Menuai adalah perayaan sukacita, dan apabila kita merayakan seperti yang diajarkan oleh Alkitab, ianya bertambah bererti lagi. Marilah kita rayakan pesta menuai dengan sukaria di hadapan Tuhan dan bersama kaum keluarga dan masyarakat!