Rabu, 30 Mei 2018

Beri Ruang Agama Selain Islam, Tarik Kaum Lain Ke SK, Kata Ahli Akademik

Pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Jalan Ong Tiang Swee (Foto: Bernama)

Ketakutan terhadap agama lain disebabkan tiada pengetahuan tentangnya, kata Tajuddin Rasdi, yang mengingatkan sumber kekuatan negara terletak pada kepelbagaiannya.

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menggesa Menteri Pendidikan yang baru Maszlee Malik meningkatkan populariti sekolah kebangsaan di kalangan kaum lain dengan bukan sahaja menambah nisbah guru bukan Melayu yang mencukupi, tetapi juga membenarkan murid bukan Islam mengikuti kelas agama mereka.

Tajuddin Rasdi, profesor di Universiti UCSI, berkata perlu wujud usaha memperluas sudut pandangan guru dan pelajar dari semua latar belakang agama dengan mendedahkan mereka kepada budaya satu sama lain.

Selari dengan ini, katanya, guru pendidikan Islam perlu dilatih semula bagi mengubah sikap mereka supaya menjadi lebih terbuka dan memudahkan interaksi dengan pengikut agama lain.

Beliau berkata, pada masa sekarang murid Islam mengikuti kelas Pendidikan Islam, sementara pelajar lain menghadiri kelas Moral.

“Saya belajar di sekolah Cina dan ia ada kelab agama Buddha. Pelajar mempelajari ajaran agama itu daripada aktiviti kelab dan ia berada di luar jadual kelas biasa. Ini boleh dikaji dan dijadikan contoh,” katanya.

Menurutnya, terdapat orang Islam yang bimbang terhadap agama lain, contohnya Kristian.

“Kita takut kerana kita tidak tahu (mengenai agama lain). Malangnya agamawan berkata kita tidak perlu tahu tentangnya.”

Tajuddin berkata kelas bahasa Cina dan Tamil juga boleh diadakan di sekolah kebangsaan.

Pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Ong Tiang Swee (Foto Bernama)

Katanya, walaupun sekolah vernakular dan agama penting, tetapi lebih penting pelajar boleh bergaul dengan dengan pelajar daripada semua kaum.

“Tidak harus ada orang yang bercakap bahawa beliau tidak pernah memasuki gereja. Kenapa tidak? Kita berkongsi sejarah yang sama,” katanya.

“Jika kita berpegang kepada idea untuk hidup terpisah antara satu sama lain, maka negara kita tidak boleh menjadi hebat.”

Tajuddin berkata, Malaysia mungkin memerlukan masa 10 tahun bagi mewujudkan komposisi seimbang antara guru daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

Katanya, bermula sekarang, Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah segera bagi menggalakkan pelajar pelbagai aliran bergaul antara satu sama lain.

Sebagai contoh, seorang pelajar dari sekolah Cina perlu menghadiri seminggu atau 40 jam kelas di sekolah kebangsaan berdekatan sebagai aktiviti dalam program integrasi nasional.

Pelajar juga boleh melawat masjid, gereja atau kuil, katanya.

“Inisiatif juga perlu dibuat untuk melatih semula guru supaya dapat menyampaikan kemahiran integrasi kepada pelajar.”

Tajuddin berkata, guru dan pelajar perlu tahu bahawa kelainan dalam kalangan rakyat menyumbang kepada kekuatan negara.

“Jika semua serupa, bagaimana kita mahu bina negara ini? Perbezaan adalah kekuatan kita,” kata beliau.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Beri Ruang Agama Selain Islam, Tarik Kaum Lain Ke SK, Kata Ahli Akademik" yang ditulis oleh Minderjeet Kaur bertarikh 25 Mei 2018)