Ahad, 12 Mei 2024

Infografik: Penciptaan Langit dan Bumi Dalam 6 Hari


Kitab Kejadian mengisahkan mengenai penciptaan langit dan bumi oleh Allah dalam 6 hari.

Hari 1 - Cahaya

Berfirmanlah Allah, "Jadilah cahaya." Lalu terus ada cahaya. Allah melihat cahaya itu baik, lalu Dia memisahkan cahaya itu daripada kegelapan. Allah menamai cahaya itu siang, dan kegelapan itu dinamai-Nya malam. Malam muncul dan disusuli pagi, dan itulah hari yang pertama. (Kejadian 1:3-5, AVB)

Hari 2 - Langit

Berfirmanlah Allah, "Jadilah cakerawala di tengah-tengah segala air itu untuk memisahkan air daripada air." Maka Allah menjadikan cakerawala lantas memisahkan air yang ada di bawah cakerawala daripada air yang ada di atasnya. Maka terjadilah sedemikian itu. Lalu Allah menamai cakerawala itu langit. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang kedua. (Kejadian 1:6-8)

Hari 3 - Darat & Tumbuhan

Berfirmanlah Allah, "Mengalir dan berkumpullah kesemua air yang di bawah langit di satu tempat, sehingga kelihatan tanah yang kering." Maka terjadilah sedemikian itu. Lalu Allah menamai bahagian yang kering itu darat, dan kumpulan air itu dinamai-Nya laut. Allah melihat semua itu baik. Berfirmanlah Allah, "Hendaklah tanah menumbuhkan pelbagai tunas muda, tumbuh-tumbuhan yang berbiji, segala jenis pokok buah-buahan yang menghasilkan buah yang berbiji, supaya jenisnya membiak dan terus bertumbuh di bumi." Maka terjadilah sedemikian itu. Maka tanah pun menumbuhkan pelbagai tunas muda, segala jenis tumbuh-tumbuhan yang berbiji dan segala jenis pokok buah-buahan yang menghasilkan buah yang berbiji. Dan Allah melihat semua itu baik. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang ketiga. Kej 1:9-13)

Hari 4 - Matahari, Bulan dan Bintang

Berfirmanlah Allah, "Jadilah penerang-penerang mengisi cakerawala untuk memisahkan siang daripada malam dan jadilah tanda-tanda yang menunjukkan pelbagai musim dan hari serta tahun, dan jadilah penerang-penerang di cakerawala demi menerangi bumi." Maka terjadilah sedemikian itu. Maka Allah menjadikan dua penerang besar, dengan penerang lebih besar menguasai siang dan yang lebih kecil menguasai malam. Allah juga menjadikan bintang-bintang. Allah menempatkan kesemua itu di cakerawala untuk menerangi bumi, dan untuk menguasai siang dan malam, dan juga untuk memisahkan cahaya daripada kegelapan. Dan Allah melihat bahawa semua itu baik. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang keempat. (Kej 1:14-19)

Hari 5 - Burung & Ikan

Berfirmanlah Allah, "Hendaklah berkeriapan makhluk yang hidup di dalam air, dan hendaklah burung-burung berterbangan di ruang cakerawala di atas bumi." Maka Allah menciptakan pelbagai binatang laut yang besar dan segala jenis hidupan yang bergerak, yang berkeriapan di dalam air, dan segala jenis burung yang bersayap, dan Allah melihat semua itu baik. Lantas Allah memberkati kesemuanya sambil berfirman, "Berkembang biaklah dan penuhilah air di dalam laut, dan hendaklah bertambah banyak burung di bumi." Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang kelima. (Kej 1:20-23)

Hari 6 - Haiwan Darat dan Manusia

Berfirmanlah Allah, "Hendaklah bumi mengeluarkan segala jenis makhluk yang hidup, ternakan dan binatang melata serta segala jenis binatang liar." Maka terjadilah sedemikian itu. Allah menjadikan segala jenis binatang liar dan segala jenis ternakan dan segala jenis binatang melata di muka bumi. Dan Allah melihat semua itu baik.Berfirmanlah Allah, "Baiklah Kita menjadikan manusia menurut gambaranii dan rupa Kita. Mereka akan berkuasa atas ikan-ikan di laut dan atas burung-burung di udara dan atas ternakan dan atas seluruh bumi dan atas segala jenis binatang melata yang merayap di muka bumi." Maka Allah menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. Menurut gambaran Allah, Dia mencipta mereka, lelaki dan perempuan. (Kej 1:24-27)