INKUIRI SUHAKAM - Panel yang menyiasat kehilangan aktivis Amri Che Mat hari
ini meminta bantuan daripada saksi keempat, Faisol Abdul Rahman bagi menjejaki
beberapa saksi lain berhubung dakwaan penculikannya pada 24 Nov 2016.
Pengerusi panel Mah Weng Kwai berkata, ia susulan keterangan
ketua PKR Perlis berhubung dakwaan penculikan Amri berdasarkan sumber pihak
ketiga.
“Kami cuba hubungi mereka namun gagal,” kata pegawai Suhakam
kepada soalan Mah sama ada individu yang disebutkan Faisol dalam testimoninya
akan dipanggil di hadapan panel.
Faisol, yang merupakan sukarelawan Perlis Hope berkata dia
diberitahu ada tiga kenderaan Toyota Hilux kelihatan mengelilingi kereta Amri
sekitar pukul 11.30 malam pada 24 Nov lalu sebelum mendakwa dia diculik.
“Ada orang yang nampak penculikan itu dan beritahu saya
tentangnya.
“Saya dapat maklumat itu daripada pasukan saya yang
menyiasat kehilangan Amri pada 26 Nov,” katanya menambah dia mula-mula dimaklumkan
kehilangan Amri oleh abang adik Amri, Norhafizal Ariffin.
Ketika Mah bertanya sama ada wujud kebimbangan berkenaan
keselamatan saksi berhubung dakwaan penculikan itu, Faisol berkata mereka
“takut untuk tampil” kerana bimbang keselamatan keluarga mereka.
Mah kemudian memberi jaminan panel untuk memastikan
keselamatan saksi berhubung kes kehilangan Amri yang dikaitkan dengan
aktivitinya dalam Perlis Hope – organisasi kebajikan yang diasaskan Amri yang
kini didakwa mempunyai kaitan dengan Syiah.
Ada pihak tidak gembira
Saksi ketiga inkuiri, Abdul Jamil Mohamad sebelum ini
memberi keterangan dia percaya kehilangan Amri mempunyai kaitan dengan
pihak-pihak tertentu di Perlis yang tidak gembira kerana aktiviti Perlis Hope
memberi gambaran kegagalan pihak tertentu berkenaan mengatasi masalah
kemiskinan.
“Amri kata mereka (pihak tertentu berkenaan) tidak gembira
kerana apabila Perlis Hope pergi ke kawasan dan mula buat rumah, ia menunjukkan
orang yang bertanggungjawab di kawasan itu tidak menjaga kawasan itu,” kata
Jamil.
Jamil turut mengimbas semula panggilan telefon terakhirnya
dengan Amri pada malam 24 Nov lalu ketika mereka seharusnya berjumpa di Jitra.
“Saya seharusnya berjumpa untuk minum kopi di Jitra pada 23
Nov, tapi dia tidak datang.
“Saya cuba hubungi telefonnya sekitar 12.20 pagi dan dia
jawab, tapi dia cuma cakap 'Okay, okay, okay' dan kedengaran cemas,” kata
Jamil, yang menggambarkan dirinya kawan rapat Amri sejak pertama kali berjumpa
di Iran pada 2003.
Awal malam itu, tambah Jamil, Amir menghantar mesej dan ingin
berjumpa minum kopi. Jamil bersetuju dan menunggu Amri sehingga sekitar pukul 1
pagi sebelum pulang rumah.
Sekitar pukul 6.30 pagi, Jamil berkata dia menerima
panggilan telefon daripada isteri Amri yang menanyakan sama ada mereka ada
berjumpa malam sebelumnya kerana aktivis itu belum pulang rumah.
Inkuiri akan bersambung dengan testimoni Faisol esok.
Suhakam sedang menyiasat sama ada kehilangan Amri dan tiga
yang lain adalah secara “dipaksa atau tidak rela” seperti yang ditakrifkan
Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang
Dipaksa (ICPPED).
Inkuiri berhubung kehilangan paderi Raymond Koh digantung
selepas polis mendakwa seorang suspek yang dikaitkan penculikan paderi itu
minggu lalu.
Dua orang hilang yang lain yang disiasat adalah paderi
Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu.
(Daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "'Saksi Lain Takut Tampil Bimbang Keselamatan Keluarga'" yang ditulis oleh Alyaa Alhadjri bertarikh 24 januari 2018)