Jumaat, 19 September 2014

Pemimpin-Pemimpin Sabah Membantah Kehilangan Kata-Kata Penting Pada Batu Sumpah Di Keningau

Perkataan "Kerajaan Malaysia Jamin" tidak terdapat pada papan
tulisan Batu Sumpah yang ada di Keningau sekarang

KOTA KINABALU, 18 September - Pemadaman tiga perkataan yang melafazkan "jaminan" kerajaan persekutuan kepada Sabah dari Batu Sumpah di Keningau telah membangkitkan kemarahan di kalangan pemimpin-pemimpin negeri yang kini mendesak bahawa ianya dikembalikan kepada perkataan asalnya. 

Tidaklah jelas bila perubahan itu terjadi, tetapi gambar-gambar terdahulu batu bersejarah itu menunjukkan bahawa ianya dahulunya mengandungi kata-kata "Kerajaan Malaysia Jamin" yang kini lenyap daripada deklarasi tiga perkara itu. 


Gambar lama menunjukkan kata-kata asal pada Batu Sumpah Keningau

Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Keningau, Tan Sri Joseph Pairin mengatakan bahawa pencemaran batu sumpah itu menghina dan harus diperbetulkan dengan segera. 

Tan Sri Pairin Kitingan
"Saya tidak tahu siapa yang melakukannya, atau samada ianya dilakukan secara sengaja, tetapi orang-orang yang telah melakukannya harus mengaku. Mencemari hak benda milik umum adalah salah, apalagi sesuatu yang mempunyai nilai yang sangat bererti.  

Warisan seperti ini tidak boleh diubah atau diganggu, Ianya dianggap suci dan penting kepada rakyat kerana upacara istiadat yang telah diadakan dengannya dan telah membawa aspirasi rakyat pada waktu itu. Warisan seperti ini harus dikekalkan," katanya.

Pairin mengatakan bahawa dia akan menghubungi pejabat daerah, di mana batu sumpah itu terletak dan meminta untuk penjelasan dan untuk diperbaiki semula. 

"Tak susah, letak balik saja kata-kata itu," katanya.

Tan Sri Joseph Kurup
Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup juga mengatakan bahawa kata-kata yang terhilang itu perlu diletakkan semula untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan penduduk pribumi yang pada mulanya memiliki keraguan mengenai penubuhan Malaysia. 

Menteri de facto perpaduan negara itu berkata beliau akan menyampaikan permintaan kepada pihak berkuasa yang bertugas untuk memastikan bahawa kata-kata pada batu itu dikembalikan kepada kata-kata asalnya.
   
"Batu sumpah ini adalah simbol perpaduan, kebebasan dan keamanan di negara kita. Saya berharap sejarah mengenai batu ini akan dimasukkan dalam buku sejarah dan diajar kepada generasi muda supaya mereka akan tahu bagaimana negara telah dibentuk pada 16 September 1963. 

Batu itu telah ditegakkan pada 31 Ogos 1964 - tepat setahun selepas Sabah mencapai status kerajaan sendiri, untuk menandakan janji Kerajaan Malaya kepada penduduk pribumi. 

Deklarasi tiga poin itu mengutarakan kebimbangan utama penduduk pada masa itu - hak untuk kebebasan beragama, hak tanah dan pemeliharaan adat dan tradisi penduduk pribumi.

Ianya diabadikan di batu dalam upacara istiadat seperti kebiasaan waktu itu.

Datuk Masidi Manjun
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata bahawa pihak berkuasa mesti menyiasat samada perkataan-perkataan itu telah dikeluarkan dengan sengaja atau ianya telah menjadi pudar kerana terdedah kepada keadaan cuaca.

"Saya berpendapat kita harus menyiasat perkara ini - mengapakah ianya telah lenyap dan mengambil tindakan dari situ," katanya ketika dihubungi.


Datuk Dr Jeffrey Kitingan
Secara berasingan pemimpin Parti Star Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengatakan bahawa pemindahan kata-kata itu mencerminkan ketidakikhlasan dan niat buruk kerajaan.

"Dengan memindahkan kata-kata kunci itu, kerajaan Malaysia sekarang boleh mengatakan bahawa mereka tidak menjamin akan kebebasan beragama, pemilikan Sabah atas hutan dan sumber semulajadi dan pemeliharaan adat dan tradisi penduduk pribumi.

"Jika kerajaan boleh memindahkan kata-kata itu begitu saja dari batu sumpah, mereka boleh mengubahkan apa saja dan mengubahkan fakta sejarah bila dan di mana mereka suka dan tidak menunaikan Perjanjian Malaysia dan syarat-syarat pembentukan Malaysia," katanya.

Edwin Bosi
Semalam, setiausaha DAP Edwin Bosi telah membuat laporan polis di Penampang mengenai pengubahan kata-kata di batu sumpah itu, meminta polis untuk menyiasat dan mengenalpasti individu atau individu-individu yang melakukannya.

Bosi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan mengatakan bahawa dia mendapati perbezaannya semasa mengunjungi batu sumpah itu apabila dia melihat teks tulisannya tidak sama dengan kata-kata asal batu sumpah.

Batu sumpah itu merupakan teras utama kempen DAP untuk memperingatkan Sabah akan janji-janji yang telah diberikan kepada mereka semasa pembentukan Malaysia pada 1963.


Gambar Batu Sumpah di Keningau sekarang (kiri) dan yang dahulu (kanan)

(Diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk "Sabah Leaders Up In Arms After Putrajaya's 'Guarantees' Stripped From Sacred Oath Stone" penulisan Julia Chan bertarikh 18 September 2014))