Selasa, 16 September 2014

Memperingati Batu Sumpah Di Keningau, Sabah

Replika Batu Sumpah di Muzium Sabah

Di hadapan bangunan Pejabat Daerah Keningau terletak sebuah batu besar yang ditegakkan pada 1964. Batu ini dipanggil Batu Sumpah yang ditegakkan sebagai tanda penerimaan masyarakat di Pedalaman terhadap Malaysia, sebuah negara yang dibentuk pada 1963.


Batu Sumpah di Keningau telah dirasmikan pada 1964

Batu ini diperolehi daripada Sungai Pegalan berhampiran Kampung Senegang, satu kampung kecil terletak di Jalan Keningau-Tenom. Bagi masyarakat asal Pedalaman, penegakan sesebuah batu amatlah bermakna. Pemahaman dan penerimaan mereka sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia bermaksud segala kepentingan mereka seperti tanah, agama dan adat resam akan dipelihara dan dilindungi oleh Kerajaan Persekutuan dan diungkapkan melalui Dua Puluh Perkara.


Ketua Menteri Sabah, Donald Stephens semasa perasmian Batu Sumpah di Keningau (1964)

Pada 31 Ogos 1964, upacara rasmi membuka tirai Batu Sumpah ini dilakukan di hadapan Tan Sri V. Manickavasagam, mewakili Perdana Menteri Malaysia, Donald Stephens, Ketua Menteri Sabah, G.S. Sundang, Presiden Pasok Momogun, Yeap Kee Aik, Setiausaha Persekutuan, Richard Lind, Pegawai Daerah, OKK Sedomon, OKK Angian Andulag, pemimpin masyarakat, Ketua-Ketua Anak Negeri, pegawai-pegawai kerajaan, Ketua-Ketua Kampung, dan wakil-wakil kumpulan etnik.




(Diambil daripada catitan di Muzium Sabah  bertajuk "The Oath Stone - Batu Sumpah") 

Baca juga "Pemimpin-Pemimpin Sabah Membantah Kehilangan Kata-Kata Penting Pada Batu Sumpah Di Keningau"