Dr Ulil Abshar Abdalla, sarjana Islam dari Indonesia
bercakap kepada
hadirin forum di Kuala Lumpur menerusi Skype (Foto Malaysian Insider)
|
Dr Ulil Abshar Abdalla yang dihalang masuk ke Malaysia
baru-baru ini menyifatkan umat Islam yang mendakwa kalimah Allah hanya
eksklusif untuk mereka saja berada dalam kekeliruan kerana ia sudah digunakan
sejak sebelum kedatangan Islam.
Sarjana Islam dari Indonesia itu berkata, kalimah Allah
tidak boleh dimonopoli umat Islam saja kerana ia merupakan perkataan umum yang
merujuk kepada Tuhan.
“Istilah Allah itu berasal daripada dua kata iaitu partikel
'Al' dan 'Ilah' yang bermakna Tuhan.
"Jika kita
menyebut Allah itu, ia diterjemah sebagai Tuhan. Orang kafir di Mekah sebelum
kedatangan Islam juga menyebut Allah," katanya dalam satu wawancara
telefon bersama The Malaysian Insider baru-baru ini.
Dr. Ulil Abshar Abdalla |
"Kalau orang Islam sekarang merasa kalimah Allah itu
milik mereka saja, itu bagi saya tidak benar.
“Orang jahiliah sebelum Islam juga memakai kata Allah.
Pandangan yang mengatakan Allah milik orang Islam itu keliru," katanya.
Pandangan Ulil berkenaan kontroversi kalimah Allah sama
seperti pandangan sarjana dan ulama Islam, baik di negara ini mahupun di
seluruh dunia, yang mengkritik larangan penggunaan kalimah itu di kalangan
bukan Islam di sini.
Malah, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
mengenai kebebasan beragama dan kepercayaan Heiner Bielefeldt berkata ramai
orang Islam percaya keputusan mahkamah itu menjatuhkan kewibawaan Islam,
merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan yang perkataan 'Allah' tidak
boleh digunakan di dalam penerbitan Katolik, Herald, atas alasan ia bukan sebahagian
daripada agama Kristian.
Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) awal bulan ini berjaya
dalam permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah
membenarkan penggunaan kalimah Allah untuk semua penerbitan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, diketuai Datuk Rohana
Yusof berkata, Mahkamah Persekutuan berpendapat hujah penghakiman pada 14
September mengatakan "Allah bukan sebahagian agama Kristian"
merupakan satu kenyataan sampingan.
Antara kumpulan yang dengan lantang mengatakan perkataan
'Allah' ekslusif untuk orang Islam ialah kumpulan pendesak Melayu seperti
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa) yang disifatkan Ulil tidak jauh berbeza dengan kumpulan Front Pembela
Islam (FPI) di Indonesia.
Tetapi, katanya, tidak seperti Isma dan Perkasa, kumpulan
itu bersedia menerima kritikan.
“Untungnya di Indonesia ada satu sistem yang sedikit lebih
terbuka hingga masyarakat boleh mengkritik dengan berleluasa.
“Indonesia dibukakan semua pintu untuk semua kelompok bisa
ikut bicara," katanya kepada The Malaysian Insider.
Awal hari semalam, Ulil melanggar larangan Putrajaya dan
bercakap kepada kira-kira 100 peserta Persidangan Antarabangsa ke-3 mengenai
Hak Asasi Manusia dan Keamanan dan Konflik di Asia Tenggara melalui Skype.
Dia berbicara mengenai bahayanya melabelkan umat Islam
daripada pelbagai aliran pemikiran sebagai 'kafir' atau 'murtad'.
Menurut menteri bertanggung jawab hal-ehwal agama, Datuk
Seri Jamil Khir Baharom, Ulil dihalang memasuki negara kerana ajarannya
bercanggah Mazhab Shafie yang diikuti orang Islam di Malaysia.
Keputusan Putrajaya itu menerima kritikan umat Islam
daripada ketua Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk, yang mengatakan
ia adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan mereka.
Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata kerajaan bersikap
"fundamentalis" dan episod itu hanya menunjukkan bagaimana Malaysia
kini negara yang mengamalkan ekstremis agama.
Walaupun Putrajaya menyenaraihitamkan Ulil, tiada tindakan
akan diambil terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang mengugut membakar
Bible dalam bahasa Melayu.
Pemimpin politik daripada kedua-dua parti pemerintah dan
pembangkang menggesa Ibrahim disabitkan mengikut Akta Hasutan 1948.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy
Shukri berkata dalam jawapan bertulis parlimen Selasa lalu polis memutuskan
tidak mengambil tindakan terhadap Ibrahim kerana beliau mempertahankan Islam.
Katanya, polis membuat kesimpulan kata-kata Ibrahim hanya
ditujukan kepada satu kumpulan yang tertentu, dan ia bukan satu ancaman kepada
masyarakat awam. – 17 Oktober, 2014.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Konsep Kalimah Allah Eksklusif Untuk Islam Satu Kekeliruan, Kata Sarjana Indonesia" penulisan Hasbullah Awang Chik bertarikh 17 Oktober 2014)