Gereja Sidang Injil Borneo (SIB)
hari ini berjaya dalam permohonan semakan kehakiman dalam usaha mendapatkan
perintah mahkamah membenarkan penggunaan kalimah "Allah" dalam semua
penerbitan.
Mahkamah Rayuan membenarkan
rayuan SIB mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Mei lalu yang
menghalang permohonannya mendapatkan prosiding semakan kehakiman.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk
Zaleha Yusof pada Mei lalu berkata, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah
Rayuan pada 14 September tahun lalu, melibatkan pennerbitan mingguan Katolik,
Herald, yang dilarang menggunakan kalimah "Allah" atas alasan istilah
tersebut bukan sebahagian daripada agama Kristian.
Mahkamah Rayuan dipengerusikan
Datuk Rohana Yusof hari ini berkata, Mahkamah Persekutuan berpendapat hujah
penghakiman bahawa "Allah bukan sebahagian agama Kristian" merupakan
kenyataan sampingan.
"Kami membenarkan rayuan
kerana permohonan ini tidak remeh dan menyusahkan," kata beliau dalam
mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan menambah SIB berjaya
membuktikan permohonan mereka perlu didengar.
Peguam mewakili SIB, Lim Heng
Seng berkata kes tersebut akan didengarkan di hadapan Zaleha dan
pengurusan kes bermula dalam dua minggu.
"Kami akan memfailkan afidavit, termasuk pendapat pakar bahawa Allah boleh
digunakan penganut Kristian," katanya.
Terdahulu, beliau memberitahu
mahkamah anak guamnya tidak lagi mahu mencabar rampasan buku pada 2007 kerana
ia telah dikembalikan pada tahun berikutnya.
Lim berkata SIB mahu 12
deklarasi, terutamanya dalam membenarkan kalimah "Allah" diguna semua
penerbitan Kristian di seluruh negara.
Katanya ia perlu dibuka semula
Mahkamah Tinggi susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun.
Menurut Lim, rampasan buku
tersebut dilakukan selepas arahan menteri pada 1986 melarang penggunaan istilah
seperti "Allah", "Kaabah", "Solat" dan
"Baitullah" dalam penerbitan bukan Islam.
"Ia tidak diluluskan
Parlimen tetapi cuma merupakan arahan bersifat pentadbiran oleh menteri dalam
negeri," katanya, dan menambah mahkamah perlu membuat pendirian bagi
mengelak tindakan sedemikian berulang.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul
Bolhassan berkata rayuan itu bersifat akademik memandangkan buku yang dirampas
sudah dikembalikan.
"Perayu tidak lagi boleh
menuntut deklarasi apabila perkara pokok tidak lagi wujud," katanya.
Pada 23 Jun, empat daripada tiga
panel hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan penggunaan kalimah Allah,
dengan menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu adalah
tepat dalam melarang mingguan Katolik, Herald, menggunakan kalimah Allah.
Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria,
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Ketua Hakim Malaya Tan Sri
Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim
Omar berkongsi pendapat sama dalam keputusan majoriti tersebut.
Manakala Ketua Hakim Sabah dan
Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zainun
Ali serta Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa, menyokong permohonan gereja.
Arifin, yang mengeluarkan
keputusan majoriti itu, berkata permohonan gereja itu perlu ditolak
memandangkan Mahkamah Rayuan telah berpuas hati bahawa menteri dalam negeri
telah bertindak dengan kuasa yang ada pada beliau dalam mengharamkan penggunaan
"Allah".
Bagaimanapun, ketua hakim itu
berkata alasan Mahkamah Rayuan bahawa "Allah" bukan sebahagian ajaran
Kristian cuma merupakan kenyataan sampingan.
Reverend Jerry Dusing, Presiden Sidang Injil Borneo Sabah |
Presiden SIB (Sabah), Rev Datuk Jerry Dusing
(gambar, kiri), berkata beliau lega dengan keputusan mahkamah hari ini
membenarkan hujah mereka berkenaan penggunaan kalimah "Allah"
didengari.
"Walaupun perjuangan kami
bermula pada 2007, kami telah mengambil langkah ke depan dan perjalanan masih
jauh," katanya.
Beliau menambah, masyarakat
Bumiputera di Sabah dan Sarawak mahu kebebasan mengamalkan agama mereka
dikekalkan sepertimana sebelum penubuhan Malaysia pada 1963.
"Kami mengalu-alukan
penyelesaian penuh di mahkamah berhubung perkara ini," katanya.
Dusing berkata lebih baik
sekiranya semangat Perjanjian Malaysia dijadikan asas dan hak beragama penduduk
Sabah dan Sarawak dijamin.
"Banyak perdebatan berlaku kerana perjanjian 20-perkara (Sabah) dan
18-perkara (Sarawak) dicabuli, salah satu daripadanya kebebasan agama apabila
negeri-negeri ini disatukan di bawah persekutuan (Malaysia)," kata Dusing.
Beliau berkata walaupun buku
milik SIB telah dikembalikan, tidak ada jaminan perkara seumpama itu berulang
disebabkan arahan menteri.
"Kami mahu pendirian jelas
dan ia perlu datang dari mahkamah," katanya, sambil berkata SIB
mengharapkan kemajuan dan keamanan negara. – 1 Oktober, 2014.
(Diambil daripada artikel Malaysian Insider bertajuk "Mahkamah Benar Gereja SIB Semak Larangan Kalimah Allah" penulisan V. Anbalagan bertarikh 1 Oktober 2014)