Gerakan Anti Perkauman (GAP) melangkah setapak lagi apabila
badan bukan kerajaan (NGO) itu dilancarkan di Kuching, Sarawak namun masalah
perkauman di Semenanjung menjadi kebimbangan penduduk di negeri itu.
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Pengerusi GAP (Gerakan Anti Perkauman) melancarkan gerakan itu di Hotel Merdeka Palace di Kuching pada malam tadi |
Pengerusi GAP Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata
penduduk di Sarawak juga kurang faham mengapa Bible menjadi masalah di
Semenanjung kerana negeri itu juga terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.
“Bila saya berjumpa, mereka kurang faham mengapa Bible itu
menjadi satu masalah kerana sudah berapa lama mereka menggunakan Bible yang
tertera kalimah Allah diterjemahkan, tiada masalah pun.
“Yang jadi masalah di Semenanjung, bukan masalah kalimah
Allah saja tetapi menyerlahkan betapa tidak toleransinya masyarakat dan pihak
tertentu dalam isu ini. Itu yang banyak membimbangkan mereka.
“Sarawak tiada masalah perkauman. Mereka lebih terbuka dalam
hal ini. Cuma mereka bimbang apa yang berlaku di Semenanjung berupaya
mempengaruhi suasana aman damai di sana,” katanya ketika dihubungi The
Malaysian Insider.
GAP Sarawak dilancarkan malam tadi di Hotel Merdeka Palace,
Kuching dihadiri kira-kira 50 individu yang terdiri daripada wakil pertubuhan
politik, agama dan NGO.
NGO itu pertama kali dilancarkan di Petaling Jaya pada
Oktober yang menyaksikan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk
Saifuddin Abdullah, bekas Ahli PAS Tamrin Ghafar, Ahli Parlimen DAP Dr Ong Kian
Ming, Setiausaha Politik kepada Ketua Parlimen DAP Dyana Sofya Mohd Daud dan
beberapa individu lain menyertai NGO berkenaan.
Tujuan utama penubuhan GAP ialah membina Malaysia sebagai
sebuah negara yang bebas daripada perkauman sempit atau rasisme melalui
kesedaran sivik dengan menyakini rasisme tidak diterima dan perlu ditolak oleh
seluruh rakyat Malaysia, kata Mujahid.
Beliau berkata rata-rata pemimpin masyarakat yang hadir pada
malam tadi melahirkan rasa gembira dengan kehadiran GAP dengan harapan masalah
perkauman tidak merebak ke negeri terbesar itu.
“Kita cuba lebarkan pengaruh dengan bertemu pelbagai
kelompok di Sarawak sambil membawa mesej GAP. Saya rasa agak berjaya jugalah
pelancaran kami dalam memperkenalkan kempen Harapan Malaysia sebagai negara
tanpa perkauman.
“Selepas ini kita akan ke Sabah awal tahun depan,” katanya
yang turut memberitahu dijemput ke majlis jamuan Persatuan Kristian Sarawak
yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup malam
tadi.
Ketika diminta mengulas perkembangan Majlis Konsultasi
Perpaduan Nasional (MKPN) dalam merangka Akta Keharmonian Nasional, Mujahid
berkata majlis itu akan tampil dengan sebuah pelan pada tahun depan.
“Kami baru selesai menyerahkan dokumen setiap jawatankuasa.
Ia sudah diperakui di peringkat majlis yang penuh. Kita akan seterusnya
merangka kepada satu bentuk pelan yang kemudian dipersembah kepada menteri dan
dilihat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Kami mengharapkan Jun tahun depan akan dimuktamadkan. Dalam
bentuk draf itu pun perlu kita betulkan balik, mungkin format saja,” katanya.
Mujahid berkata dengan pengumuman Najib untuk mengekalkan
Akta Hasutan, ada kemungkinan Akta Keharmonian Nasional akan diwujudkan bersama
akta lapuk itu.
Katanya, terdapat pihak tertentu yang tersalah anggap
kewujudan MKPN untuk menggubal satu akta menggantikan Akta Hasutan sebaliknya
ia lebih besar daripada itu.
“Bila perdana menteri kata Akta Hasutan akan kekal, kami tak
tahu macam mana dia nak selaraskan itu. Terpulang pada perdana menteri.
Cadangan kami hapuskan Akta Hasutan ganti Akta Keharmonian,” katanya.