Isnin, 29 Disember 2014

Panggilan Doa Untuk Krisis Banjir Nasional (Dari Prayer United)

Rakan-rakan yang dihormati,

Ini adalah musim Krismas dan ramai di antara kita telah diberkati dengan kegembiraan dan sambutan perayaan ini. Kita bersyukur kepada Tuhan kerana menghantar Yesus Kristus kepada kita sebagai Juruselamat dan Tuhan di dunia ini! Pada masa yang sama, kita tidak boleh lupa kesan banjir terhadap negara dan rakyat kita pada masa ini.

Laporan terkini dalam berita dan media sosial hari ini memaklumkan bahawa hujan dan banjir kali ini adalah salah satu daripada yang paling teruk dalam sejarah kita. Lebih 100,000 mangsa terpaksa dipindahkan. Ia bukan sahaja negeri-negeri Pantai Timur yang telah terjejas, tetapi banyak bahagian pedalaman di Pantai Barat Semenanjung juga.

Banyak tempat seperti Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan adalah di bawah beberapa kaki air. Jalan-jalan ke Kuala Lipis semuanya telah terputus oleh air banjir. Banyak empangan di Semenanjung Malaysia telah penuh dan dalam bahaya melimpah. Jika ini berlaku, banjir yang lebih teruk akan terjadi di kawasan-kawasan di bawah empangan ini. Jabatan Meteorologi juga memberi amaran kepada kita bahawa lebih banyak hujan dijangka melanda Pantai Barat.

Marilah kita menggerakkan gereja kita dan kumpulan-kumpulan doa supaya berdoa untuk negara kita pada masa ini. Perkara yang kita khusus mendoakan termasuk:

1. Semoga Kerajaan Persekutuan dan agensi yang terlibat untuk bantuan penyelamatan banjir akan bertindak dengan segera dan berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Ia adalah perkembangan yang baik bahawa kini terdapat panggilan di media untuk "Lupakan politik tak matang, mangsa banjir lagi penting"! Berdoalah supaya Kerajaan dapat menjayakan usaha bantuan dan keselamatan;

2. Semoga umat Kristian dan gereja-gereja Malaysia akan melakukan apa sahaja yang kita dapat buat untuk membantu mengurangkan penderitaan mangsa-mangsa banjir, dan bersedia untuk menyumbang apa yang diperlukan untuk membantu dengan pembinaan semula kawasan yang dimusnahkan berikutan banjir. Tetapi ada ramai yang memerlukan bantuan segera, termasuk gereja yang terjejas. Semua ini memerlukan bukan sahaja doa kita tetapi juga bantuan kewangan dan penglibatan sukarelawan kita.

3. Semoga Tuhan di dalam rahmatNya akan menahan hujan, dan akan mematah balik kuasa pembinasaan banjir; dan dalam semua yang berlaku, rencanaNya yang baik dan penuh kasih untuk Malaysia akan terjadi dengan caraNya yang sempurna.

4. Seperti yang kita telah mulakan usaha Doa 24/7 tanpa henti untuk negara kita, marilah kita terus tabah dan berdoa untuk kesejahteraan Malaysia dan bangsanya.




Silalah menyertai kami dalam doa untuk negara!

Yang benar dalam Kristus,
Sekretariat PU (Prayer United)

(Diambil daripada surat panggilan doa Prayer United bertajuk "Panggilan Doa 27 Disember 2014 - Krisis Banjir Nasional")