Ceramah "Muhammad SAW in the Bible" yang dijadualkan di IIC dan Unimas pada 14 dan 15 Jan telah dibatalkan |
Pejabat Ketua Menteri Sarawak membatalkan satu program ceramah agama Islam hari ini kerana dianggap sebagai provokasi terhadap agama Kristian.
Menteri berkaitan hal ehwal Islam di negeri itu, Datuk Daud Abdul Rahman berkata pihaknya "menasihati" penganjur ceramah itu, Pusat Informasi Islam (IIC) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk membatalkan ceramah berkenaan susulan bantahan ditimbulkan oleh Persatuan Gereja Sarawak (ACS), beberapa individu serta ahli politik.
Ceramah yang dijadualkan berlangsung esok dan Khamis dilihat "tidak membantu meredakan ketegangan antara umat Islam dan Kristian" di negara ini.
"Kami meneliti bantahan itu dan mendapati ada alasan kukuh," kata Daud.
“Kami tidak mahu mewujudkan suasana kekacauan antara
kepelbagaian agama terutamanya Kristian dan Islam.
"Ia memang tidak perlu," kata Daud, yang juga
menteri di Pejabat Ketua Menteri ketika ditemui pemberita di Kuching hari
ini.
Ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul itu bakal
menampilkan sarjana Islam Iraq, Shaykh Afeefuddin Al-Jalani dengan tajuk
"Nabi Muhammad di dalam Bible".
Ceramah berkenaan dijadualkan berlangsung di IIC esok dan
Unimas, pada Khamis.
Anglican Diocese of Kuching, Pembantu Biskop Aeries Sumping
Jingan, berkata kepada The Malaysian Insider semalam, beliau bercakap dengan
ketua pegawai eksekutif IIC dan pihak berkuasa agama menyatakan bantahan
mereka.
Sumping, yang mewakili pengerusi ACS Datuk Bolly Lapok,
berkata, pendiriannya jelas, iaitu menuntut CEO IIC dan pihak berkuasa negeri
membatalkan ceramah berkenaan.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Sarawak Batal Ceramah Islam Susulan Bantahan Komuniti Kristian" penulisan Desmond Davidson bertajuk 13 Januari 2015)