Rabu, 28 Januari 2015

"The Drop Box": Filem Mengenai Seorang Pastor Korea Yang Menyelamatkan Bayi-Bayi Terbuang

Pelayanan Pastor Lee bermula pada 1999, dan kini dia dan Komuniti Jusarang
menjaga 21 kanak-kanak (Gambar daripada The Drop Box)

Sebuah artikel Los Angeles Times yang telah mengisahkan perjalanan kasih seorang lelaki telah membawa kepada penerbitan sebuah filem rencana: "The Drop Box."

Filem itu berkenaan kisah Pastor Jong-rak Lee, yang telah menerima bayi-bayi yang telah ditinggalkan oleh ibubapa mereka dengan meletakkan "kotak bayi" yang kecil dan suam di mana ibubapa yang menghadapi keadaan yang mendesak dapat meninggalkan anak-anak mereka, daripada meninggalkan mereka di jalanan yang sejuk. Sejak tahun 1999, Pastor Lee dan Komuniti Jusarang, sebuah organisasi bukan kerajaan dan yang tidak bermotif keuntungan dengan jumlah pekerja yang sedikit telah menjaga anak-anak ini, yang kebanyakannya memiliki kecacatan.  

"Aku menyedari bahawa aku tidak dapat hidup tanpa melakukan ini. Dan realitinya terbentang di hadapan saya bahawa saya tidak dapat tidak melakukan kerja ini," kata Pastor Lee, merujuk kepada hakikat bahawa ramai ibu-bapa dan keluarga - lebih ramai daripada yang disangkanya - terdesak untuk membuang anak-anak mereka, atau memiliki fikiran untuk membunuh diri mereka dan anak-anak, oleh kerana keadaan yang terhimpit.

Setakat ini, seramai 629 anak-anak telah datang dan pergi di bawah jagaannya melalui kotak bayi. Ramai ibubapa yang telah datang kepada Pastor Lee dan memberitahunya jika bukan kerana pelayanannya, anak-anak mereka mungkin tidak hidup hari ini.

Selain daripada menerima dan menjaga anak-anak itu sendiri, pelayanan Pastor Lee juga terlibat dalam menyediakan sumber untuk keluarga-keluarga supaya mereka dapat membesarkan anak-anak itu dan tidak terdesak membuang mereka. Pelayanannya tidak bertujuan menjadikan lebih mudah untuk ibubapa meninggalkan anak-anak; sebaliknya, dia berharap bahawa ibubapa akan dapat menemukan pengharapan untuk diri mereka dan anak-anak mereka.


Lebih 600 kanak-kanak telah melalui penjagaan Pastor Lee melalui kotak bayi yang diletakkan
di jalanraya berhampiran gerejanya di Seoul, Korea Selatan (Gambar daripada The Drop Box)

Bryan Ivie, pengarah The Drop Box, telah menemukan kisah Pastor Lee melalui sebuah artikel Los Angeles Times yang telah diterbitkan pada 2011. Walaupun dia bukan Kristian pada waktu itu, Ivie tertarik dengan kisah Pastor Lee kerana di dalamnya, ada suatu kasih yang tidak dapat diselaminya, dan suatu kasih yang tidak pernah dialaminya di dunia. Dan dia ingin tahu berkenaan kasih itu.

Dan semasa membuat penggambaran untuk filem rencana itu dan mengunjungi Pastor Lee di Korea Selatan berkali-kali, Ivie sendiri telah menjadi Kristian.

"Saya melihat semua kanak-kanak ini yang datang melalui kotak bayi dengan kecacatan bentuk dan kekurangan upaya, akhirnya - seperti suatu ilham dari syurga - saya menyedari bahawa saya juga adalah salah satu daripada kanak-kanak itu: bahawa saya memiliki jiwa yang bengkok, dengan semua kehancuran di dalam diri saya, tetapi Tuhan masih mahukan saya," begitu ditulisnya dalam laman web filem itu, menceritakan ilhamnya untuk filem itu.

"Saya berharap orang ramai akan dapat tahu betapa besarnya kasih Tuhan untuk kita melalui filem ini, bahawa Dia mengasihi anda dalam segala kehancuran anda," kata Ivie. "Saya ingin masyarakat kami melihat kasih itu dalam sebuah filem, dan untuk mengetahui betapa bernilainya setiap nyawa itu."

"The Drop Box" akan ditayangkan di 700 panggung wayang berbeza di sekeliling Amerika selama tiga hari pada 3, 4 dan 5 Mac. Untuk maklumat lanjut, sila lawat www.thedropboxfilm.com.


Video: Sedutan daripada filem rencana "The Drop Box"


(Diterjemah daripada artikel Christianity Daily bertajuk "'The Drop Box': The Story Of A Pastor, Children Once Abandoned, And Their New Lives Of Hope" penulisan Rachael Lee bertarikh 14 Januari 2015)