Jumaat, 27 Februari 2015

1 Juta Naskah Terjemahan Al-Quran Untuk Pengedaran Kepada Orang-Orang Bukan Islam Timbulkan Kebimbangan

Jawatankuasa Antara Agama MCCBCHST (Gambar fail The Malay Mail Online)

Kenyataan MCCBCHST,
9 Februari 2015:

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) merujuk kepada satu projek yang dianjurkan oleh Islamic Information and Services Foundation di mana sejuta naskah Al-Quran akan diterbitkan dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Tamil, Cina, Inggeris dan Melayu untuk diedarkan kepada umum (The Star, 9 Januari 2015). Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan penaung projek itu berkata ianya bertujuan mengurangkan salah faham dan mengurangkan ketakutan pada Islam di kalangan orang-orang bukan Islam. Dr. Mahathir juga memberi satu contoh "ayat yang mengizinkan orang-orang Islam membunuh orang-orang bukan Islam hanya menyentuh satu peristiwa dalam sejarah Islam. Ianya tidak bermakna kita disuruh untuk membunuh orang lain."

Sebab dan contoh yang diberikan oleh Dr Mahathir mengenai keperluan untuk mengedarkan terjemahan Al-Quran secara khusus kepada orang-orang bukan Islam adalah tidak munasabah. Orang-orang Islamlah yang terlibat dalam pembunuhan dan mengutuk agama-agama dan pengikut-pengikut agama lain. Oleh itu, yang menjadi keperluan ialah untuk orang-orang Islam diberi didikan akan ajaran sebenar Islam dan bukannya orang-orang bukan Islam.

Tambahan lagi, apa yang dikatakan sebagai kekurangan pemahaman di kalangan orang-orang Islam kini ingin dipindahkan kepada orang-orang bukan Islam, sebagai alasan untuk pengedaran naskah-naskah Al-Quran dalam Bahasa Cina, Tamil dan sebagainya kepada orang-orang bukan Islam. Kami perlu menegaskan bahawa orang-orang bukan Islam tidak pernah melakukan apa-apa tindakan keganasan atas nama Islam dan oleh itu tidak terkeliru.  

Oleh itu niat sebenar pengedaran itu kelihatannya untuk menyebar agama Islam kepada orang-orang bukan Islam di bawah selubung menghilangkan salah faham mengenai Islam. 

Bantahan pertama kepada ini adalah pengedaran terjemahan Al-Quran kepada orang-orang bukan Islam yang dicadangkan itu bersifat mengelabui kerana sebab utama yang diberikan untuk menghilangkan salah faham tidak dapat diterima kerana salah faham itu adalah di pihak orang-orang Islam dan bukan orang-orang bukan Islam.

Orang-orang Islam membantah sekuat-kuatnya sebarang penyebaran agama bukan Islam kepada mereka. Mereka bersandar pada Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kerajaan untuk menghadkan atau menyekat penyebaran apa-apa ajaran agama atau kepercayaan di kalangan orang-orang yang berpegang pada agama Islam.

Artikel 11(4) itu sepatutnya digunakan sebagai perisai oleh orang-orang Islam dan ianya tidak boleh digunakan sebagai pedang untuk menindas orang lain atau menyebarkan agama mereka kepada orang-orang bukan Islam. Prinsip “Lakukan pada orang lain sepertimana anda hendak mereka lakukan pada anda” adalah tepat sekali. Tidak ada apa-apa dalam Artikel 11(4) yang memberi kuasa kepada orang-orang Islam untuk menyebarkan agama mereka kepada orang-orang bukan Islam

Seksyen 298A Kanun Keseksaan menyatakan adalah kesalahan untuk sesiapa “yang menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau kemungkinan menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, atau niat buruk… atas dasar agama…” Oleh itu, penyebaran agama menerusi tawaran, atau alasan-alasan lain, dan sebagainya, boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 298A.

Artikel 11(1) memberi setiap orang hak untuk berpegang pada dan mengamalkan kepercayaannya. Oleh itu seorang bukan Islam mempunyai hak untuk menolak penyebaran agama lain ke atasnya.

Contoh-contoh berikut menunjukkan terdapat usaha-usaha yang tertumpu untuk mempengaruhi orang-orang bukan Islam untuk meninggalkan kepercayaan mereka:

(i) Pelbagai kejadian yang dilaporkan dalam beberapa tahun lepas  mengenai pelajar-pelajar di kolej dan universiti ditukar agama ke Islam.
(ii) suatu insiden baru-baru ini di Sabah di mana 69 pribumi didakwa telah ditukar agama ke Islam dengan cara tipu daya.
(iii) Yayasan Pusat Hidayah (HCF), sebuah institusi di bawah Jabatan Perdan Menteri telah menyatakan matlamatnya sebagai “mensasarkan untuk mendapatkan 3,000 mualaf tahun ini” (Free Malaysia Today, 18 Julai 2014) 
(iv) Multi-racial Reverted Muslims diasaskan pada 2010 oleh Firdaus Wong Wai Hung (pengikut Buddha menjadi Muslim) telah mengedarkan antara 15,000 ke 20,000 CD di Semenanjung Malaysia Disember lepas sejurus sebelum Krismas termasuk CD bertajuk “Yesus Kristus dalam Al-Quran”.
(v) Peranan Jakim, Perkim dan Jabatan Agama yang sudah diketahui umum. Jakim memiliki Bajet Tahunan lebih kurang RM800 juta.  


Tambahan kepada yang di atas, pelbagai tawaran telah diperuntukkan untuk orang-orang yang bertukar agama ke Islam, walaupun ianya telah dinafikan secara rasmi. Sebagai contoh, Seksyen 29(1) Akta Pendtadbiran Undang-Undang (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan mualaf yang berdaftar (iaitu seorang yang telah bertukar agama ke Islam) adalah berhak menerima bantuan seperti yang ditentukan oleh Majlis seperti berikut:

(a) bertukar agama ke Islam; (b) bersunat; (c) perlengkapan ibadah; (d) perbelanjaan pengebumian. Seksyen 29(2) seorang mualaf boleh memohon lagi untuk bantuan (a) bantuan nafkah (b) bantuan tempat tinggal (c) bantuan perubatan (d) bantuan pernikahan (e) untuk sebarang pendidikan atau latihan yang dianggap perlu oleh Majlis, termasuk Pengajian Islam, akademik dan kemahiran (f) bantuan guaman. Majlis juga mempunyai budi bicara untuk memperuntukkan apa-apa bantuan lain yang dianggapnya perlu untuk mualaf itu.


MCCBCHST berpandangan bahawa penyebaran naskah-naskah terjemahan Al-Quran yang dicadangkan itu bersifat menyinggung perasaan kerana hak yang sama tidak diberikan kepada orang-orang bukan Islam. Tambahan lagi, Al-Quran sebagai buku suci tidak harus harus diedarkan secara begitu bebas kerana ianya kemungkinan tidak diberikan penghormatan yang sepatutnya. Setengah-setengah orang Islam akan berfikiran bahawa pemilikan naskah-naskah terjemahan Al-Quran oleh orang-orang bukan Islam adalah perbuatan kufur. Apa akan terjadi jika naskah-naskah terjemahan itu memiliki kata-kata yang telah dilarang penggunaannya untuk orang-orang bukan Islam oleh pelbagai enakmen negeri?

MCCBCHST dengan itu, menasihatkan orang-orang bukan Islam untuk tidak menerima naskah-naskah terjemahan Al-Quran. Orang-orang bukan Islam mempunyai hak untuk mempertahankan agama mereka dan menyedarkan anak-anak dan ahli-ahli keluarga mereka mengenai usaha yang dilakukan oleh Islamic Information and Services Foundation. Orang-orang bukan Islam mempunyai hak untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan kita.

Artikel 3(1) menyatakan bahawa "Islam adalah agama Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan."

Ditandatangan;

Sardar Jagir Singh,                                             
Presiden                                                               

Venerable Datuk Seri Jit Heng
Timbalan Presiden

Daozhang Tan Hoe Chieow,
Naib Presiden

Datuk R.S. Mohan Shan,
Naib Preisden

Elder Kong Yeng Phooi,
Naib Presiden

Prematilaka K.D. Serisena,
Setiausaha Agung Kehormat

(Diterjemah daripada artikel Malaysia Today bertajuk, "1 Million Translated Copies Of The Quran To Be Distributed To Non-Muslims A Cause For Concern" bertarikh 9 Februari 2015)