Selasa, 17 Februari 2015

Perumpamaan Tritunggal - Sang Suria


Saya baru menonton klip video Youtube  mengenai matahari (klik di sini). NASA, agensi angkasa lepas Amerika Syarikat telah membuat satu klip pendik dan mengkagumkan mengenai letusan yang berlaku di atmosfera matahari sempena genapnya lima tahun NASA membuat rakaman tanpa henti 24 jam sehari sang suria. 

Saya sudah lama ingin menulis artikel mengenai matahari sebagai satu umpama tritunggal. Orang Kristian percaya dalam Allah Tritunggal. Kita tidak dapat menerangkan mengenai Tritunggal Allah dengan sepenuh-penuhnya kerana kebesaran Allah jauh melebihi kemampuan akal fikiran manusia. Kalau kita dapat menjelaskan mengenai Allah dengan sepenuhnya, maka Allah tidak lagi menjadi Allah, sebab jika kita dapat memahami-Nya sepenuhnya, kita sudah menjadi setara atau melebihi kebesaran-Nya. Yang kita dapat lakukan ialah menggunakan perumpamaan untuk membantu kita memahami sedikit tentang kebesaran Allah. 

(Ingat, sesuatu perumpamaan itu hanyalah itu sahaja, satu perumpamaan. Ianya tidak menggantikan apa yang digambarkan. Ianya hanya memberikan suatu aspek gambaran mengenai apa yang ingin diterangkan mengenai objek itu. Contohnya, jika saya katakan John itu sepantas kijang, ianya tidak bererti John ialah kijang, atau rupanya seperti kijang, ianya cuma memberikan satu gambaran mengenai kelajuan John yang umpama kijang. Begitulah fungsi perumpamaan - memberikan satu gambaran mengenai suatu objek atau perkara). 




Kita tidak dapat terangkan mengenai Tritunggal Allah dengan sepenuhnya kerana kita mempunyai akal fikiran yang terbatas. Namun kita dapat perhatikan tritunggal dalam alam semulajadi yang diciptakan Allah. Matahari ialah contoh yang baik. Tiga perkara yang kita boleh perhatikan mengenai matahari ialah;

1. Matahari adalah bola api besar yang terdiri daripada gas. Tiga perempat daripadanya terdiri dari gas hidrogen, dan bakinya gas helium, dengan kuantiti yang sedikit oksigen, karbon dan lain-lain. Ringkasnya, matahari ialah jasad yang terdiri daripada gas (jauh berbeza dengan keberadaan bumi dan planet-planet lain yang berputar mengelilingi matahari).

2. Matahari mengeluarkan cahaya. Jarak matahari dari bumi ialah 150,000,000 km. Namun begitu cahaya matahari sampai ke bumi dalam masa kira-kira 8 minit 19 saat. Cahaya matahari inilah yang menyebabkan terjadinya siang di bumi, dan memberikan cahaya untuk semua makhluk dan tumbuhan hidup di bumi. 

3. Matahari itu mengeluarkan haba. Cahaya daripada matahari memberikan haba kepada seluruh bumi. Tanpa haba ini, bumi akan menjadi beku kesejukan, dan tiada lagi makhluk atau tumbuhan yang dapat hidup. Matahari adalah pemberi kehidupan kepada bumi. Tanpa matahari tidak akan ada kehidupan di bumi. 

Kita dapat perhatikan tritunggal dalam alam semulajadi yang diciptakan Allah. Matahari ialah contoh yang baik.

Dengan itu, kita sudah melihat tiga ciri penting mengenai matahari. Matahari adalah bola api besar, yang mengeluarkan cahaya dan yang mengeluarkan haba. Berikut ialah beberapa pemerhatian tambahan mengenai ciri-ciri matahari itu.;

  • Tiga ciri matahari itu saling berhubungan. Matahari adalah api besar yang mengeluarkan cahaya, cahaya pula mengeluarkan haba.
  • Tiga ciri itu tidak dapat dipisahkan. Kalau tiada api, tiadalah cahaya; kalau tiada cahaya, tiadalah juga haba. 
  • Ketiga-tiga ciri itu wujud dalam satu matahari yang sama.

Matahari adalah pemberi kehidupan kepada bumi. Tanpa matahari tidak akan ada kehidupan di bumi.

-------------------------


Alkitab juga telah menyatakan Yesus sebagai cahaya (atau terang) bagi dunia;

Terang yang sesungguhnya, yang menerangi setiap orang, sedang datang ke dalam dunia. (Yohanes 1:9)

Maka Yesus berkata pula kepada orang banyak, kata-Nya: "Akulah terang dunia; barangsiapa mengikut Aku, ia tidak akan berjalan dalam kegelapan, melainkan ia akan mempunyai terang hidup." (Yohanes 8:12)