Rabu, 11 Februari 2015

"Tuhan Telah Memilih Bagiku Seorang Yang Kukasihi..."


Aku hampir jatuh cinta dengan seorang gadis Melayu semasa di kolej. Perkara ini telah berlaku bertahun yang lalu. Kini aku telah berkahwin dengan seorang gadis yang sebangsa dan seiman denganku, mempunyai anak dan kami giat melayani Tuhan  di gereja.

Tetapi biarlah aku memulakan kisah ini dari permulaannya. Aku telah menerima Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamatku secara peribadi semasa kem pelajar-pelajar Kristian ketika Tingkatan Satu. Peristiwa itu telah mengubah seluruh hidupku. Hidupku yang dulunya kosong dan tidak bermakna sudah berubah menjadi penuh damai dan bahagia. 

Aku menjadi manusia baru, penuh dengan keazaman dan kegembiraan. Setiap hari aku membaca Firman Tuhan dari Alkitab yang telah dihadiahkan kepadaku oleh kawanku. Aku giat mengikuti setiap pertemuan persekutuan pelajar-pelajar Kristian di sekolah dan ibadah mingguan di gereja.  

Aku telah banyak mempelajari daripada senior-seniorku dalam persekutuan pelajar Kristian kami. Satu nasihat yang tidak dapat kulupakan daripada senior kami ialah, "Orang Kristian janganlah sekali-kali berpacaran dengan orang yang tidak seagama."

Pesanan Tuhan

Aku telah berpindah sekolah menengah sebanyak dua kali, tetapi setiap kali aku akan giat mengikuti persekutuan pelajar Kristian di sekolah yang baru. Semasa di Tingkatan Enam, aku mengalami suatu pesanan Tuhan yang bakal mengubah hidupku.

Pada suatu hari, semasa di kelas Tingkatan Enam, semasa guru belum memasuki bilik darjah, sementara kawan-kawan lain sibuk bercerita, aku duduk termenung seketika. Secara tiba-tiba, tanpa disangka, Tuhan berbicara dalam hatiku dengan begitu jelas sekali, "Dapatkan bagi dirimu seorang isteri yang sebangsa." 

Aku tergelak, tapi langsung menjawab di hati, "Ya, Tuhan."

Sebenarnya, aku masih belum lagi memikirkan mengenai pasangan hidup pada waktu itu, oleh itu aku rasa hairan dengan pesanan Tuhan itu. Namun begitu, aku rasa nyaman dan terdorong dengan perkataan Tuhan itu.

Selepas beberapa minggu, aku tertanya-tanya dalam diriku, dan juga bertanya kepada Tuhan, "Mengapakah Engkau menyuruh aku mencari gadis yang sebangsa sebagai pasangan hidupku? Bukankah Tuhan yang telah menciptakan segala bangsa dan menjadi Tuhan bagi semua?"

Aku tidak menyangka bahawa Tuhan sudah mempunyai jawapan untukku. Pada suatu hari, aku berada di kelas, dan guru juga belum memasuki bilik darjah, tiba-tiba Tuhan berbicara lagi ke dalam hatiku, "Kau akan jatuh cinta dengan seorang gadis Melayu." Pada waktu Tuhan mengatakan yang demikian, aku dapat merasakan suatu perasaan kasih timbul di hatiku.

Aku terkejut, Namun aku memahami maksud Tuhan. Tuhan telah memberitahu aku perkara itu sebagai suatu ingatan kepadaku. Supaya aku tidak jatuh hati dengan gadis Melayu. Sebabnya jelas, kerana aku adalah Kristian, dan percintaan berbeza agama seperti itu akan membawa banyak kesulitan. Jadi aku mengerti dan akur kepada kehendak Tuhan. 

Selepas Tingkatan Enam, aku mendapat tawaran ke kolej. Di situlah aku bertemu dengannya. 

Pandangan Pertama

Pertama kali aku terpandang gadis itu di luar kelas, aku tahu dengan jelas bahawa itulah gadis yang telah dimaksudkan oleh Tuhan. Pada saat itu juga tiba-tiba timbul perasaan kasih sama seperti yang kurasakan semasa Tuhan berbicara padaku mengenai gadis itu. 

Aku mulai jatuh hati dengan gadis itu secara diam-diam. Apa lagi kami dalam kelas pengajian yang sama dan sering bertemu di kolej. Pada waktu yang sama, aku masih mengingat pesanan Tuhan bagiku. 

Bermula saat itu, timbullah pergumulan dalam diriku. Pada satu pihak, aku tahu jelas peringatan Tuhan untukku. Pada waktu yang sama, hatiku juga tertarik dengan gadis itu. 

Biasanya apabila seseorang jatuh cinta, dia akan mencari kesempatan melafazkan cintanya kepada gadis idamannya. Aku juga begitu. Namun begitu, aku dapat mengekang keinginan itu oleh kerana aku masih mengingati pesan seniorku, "Orang Kristian jangan sekali-kali berpacaran dengan orang yang tidak seagama."

Aku sering mencari Tuhan dan menanya kepada-Nya mengapakah perkara itu tidak boleh terjadi. Tuhan tidak memberi apa-apa jawapan kepadaku. Sebenarnya aku sudah tahu jawapannya. Cuma hati ini yang tidak rela menerima hakikatnya.

Aku memendam rasa untuk gadis itu secara senyap-senyap sepanjang semester itu. Walapun aku tidak melanjutkan apa-apa tindakan yang menunjukkan cintaku untuknya, tetapi aku juga tidak dapat melepaskan perasaan dan impian itu di hatiku.

Penyerahan Diri

Akhirnya, cuti semester tiba, dan aku kembali ke kampung halaman. Pada suatu malam, aku berasa sungguh resah di hati sambil seorang diri di bilik. Masalah itu masih melekat di hatiku. Secara perlahan-lahan, aku berlutut dan mengangkat tanganku kepada Tuhan. Aku berdoa, "Tuhan, aku menyerah kepada-Mu segalanya."

Pada saat itu, aku mula merasa lega. Aku sudah melepaskan segalanya kepada Tuhan. Aku tidak lagi bergumul dengan perasaanku lagi. Aku mula merasakan kembali damai dan ketenangan di hatiku.

Permulaan Baru

Semasa semester yang baru, aku bertemu lagi dengannya sewaktu di kelas. Dia datang bertegur sapa denganku dengan penuh ceria. Tapi di hatiku, aku tahu bahawa aku sudah berubah. Aku tidak lagi menyimpan perasaan untuknya. Aku sudah membuat keputusan - yang telah dilakukan sewaktu berlutut di hadapan Tuhan semasa cuti semester.

Dia tidak pernah tahu perasaanku untuknya sebab aku tidak pernah mengucapkannya. Dan itu untuk sebaiknya sebab selepas pengajian kami di kolej, dia telah bertunang dan berkahwin dengan seorang pemuda Melayu yang seagamanya.

Dan aku? Beberapa bulan selepas keputusanku, aku telah bertemu dengan gadis idaman yang telah Tuhan sediakan bagiku, yang sebangsa dan seagama denganku. Aku jatuh cinta dengannya... dan akhirnya berkahwin dengannya. Tepat seperti yang Tuhan telah katakan kepadaku sebelumnya.

Aku bersyukur kepada Tuhan atas pimpinan dan anugerah-Nya dalam hidupku. Sesungguhnya Dia Gembalaku yang baik, yang membimbing aku ke jalan yang benar oleh kerana Nama-Nya.

Ketahuilah, bahwa TUHAN telah memilih bagi-Nya seorang yang dikasihi-Nya; TUHAN mendengarkan, apabila aku berseru kepada-Nya. (Mazmur 4:4)

Begitulah kesaksian pendik dari zaman mudaku. Aku percaya Tuhan juga telah memilih seorang bagimu, yang seiman denganmu. Tidaklah salah berpacaran dengan orang yang berlainan bangsa, yang penting jangan saja berlainan agama. Carilah seorang yang bukan sahaja mengasihimu tetapi juga seorang yang sungguh-sungguh mengasihi Tuhan!

(Kisah benar dari seorang peribadi yang tidak ingin dinamakan).