Jumaat, 27 Mac 2015

Guru Didakwa Cuba Islamkan Remaja Iban

Remaja Kristian Iban diajar melafazkan doa Islam dan diberi pakaian sembahyang Islam

Seorang guru di sebuah sekolah di Miri didakwa mengislamkan seorang pelajar Iban daripada keluarga Kristian tanpa kerelaannya.

Remaja 13 tahun itu membuat aduan polis pada 25 Mac bagi menghalang guru tersebut daripada terus mengganggunya lagi dan juga menggesa sekolah mengambil tindakan lanjut.

Dalam laporan polisnya, Sabrina anak Ngumbang berkata dia dan lima pelajar lain dibawa oleh guru tersebut ke sebuah rumah di Kuala Baram pada 2.30 petang 14 Mac lalu.

Di rumah itu, dakwanya, mereka berenam dibawa ke sebuah bilik dan diajar melafazkan doa sebelum diberikan wang tunai RM200 seorang.

"Sewaktu meninggalkan bilik tersebut, seseorang memberi lagi wang RM50.


"Saya kemudian diberikan pakaian solat dan barangan lain untuk bersembahyang," katanya.

Sabrina mendakwa beliau kemudiannya dirancang untuk dibawa ke Jabatan Agama Islam pada 16 Mac.

Keluarga beliau menyertai gereja Methodist di Tudan. Dua pemimpin gereja tersebut, yang hanya dikenali sebagai Susanti dan Doti, telah memberikan keterangan kepada polis berhubung kes tersebut.

Seorang lagi pemimpin gereja itu, Wong Kong Kui, berkata beberapa ibu bapa telah menghubungi guru besar sekolah tersebut yang didakwa "sepenuhnya sedar kes dua guru cuba mendakwah remaja-remaja di sana."

Kung juga berkata guru besar itu mempunyai senarai pelajar yang pernah didekati oleh guru-guru tersebut atau dibawa senyap-senyap ke tempat tertentu untuk mengajar mereka bersolat.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Guru Didakwa Cuba Islamkan Remaja Iban" penulisan Stephen Ng bertarikh 27 Mac 2015)