Sabtu, 28 Mac 2015

Menteri Sarawak Kecam Guru Cuba Tukar Agama Murid

Ibu Sabrina Ngumbang, Roslen Umbil (kiri) dan saudara-maranya dengan baju kurung
uniformserta telekung yang dikatakan diberikan dua guru apabila murid tersebut
menukar agamanyake Islam - Gambar ihsan Bit Surang, 28 Mac, 2015

Dua guru sekolah menengah di Miri, Sarawak yang didakwa cuba menukar agama murid Dayak menjadi Islam akan diambil “tindakan disiplin” dan menteri Sarawak menggesa mereka dipindahkan keluar dari negeri itu.

Menteri Sarawak yang lantang Tan Sri James Masing berkata, jika 2 guru SMK Lutong itu berasal dari Semenanjung Malaysia, mereka seharusnya dihantar pulang.

“Kita tidak perlukan guru yang menyeleweng daripada tugasnya. Kita harus cegah masalah ini sebelum menjadi tidak terkawal,” kata Masing kepada The Malaysian Insider.

“Sarawak merupakan negeri yang aman, bebas daripada ketegangan agama dan kita mahu pertahankannya.

“Adalah amat mengecewakan dan tidak boleh diterima apabila guru Islam yang mengajar di Sarawak menggunakan kedudukannya untuk menukar agama murid bukan Islam menjadi Islam.”

Sementara menteri Sarawak yang menguruskan hal pendidikan Datuk Fatimah Abdullah berkata, guru tersebut akan dikenakan “tindakan pentadbiran.”

Fatimah yang juga menteri kebajikan, wanita dan pembangunan keluarga Sarawak berkata, hukuman akan ditentukan sekolah dan berkemungkinan “hanya diberikan amaran.”

Katanya mereka “berdosa” kerana melanggar undang-undang.

“Mereka tidak tahu tidak boleh menukar agama murid bawah umur tanpa kebenaran ibu bapa dan menimbulkan kebimbangan yang boleh menyebabkan ketegangan agama,” katanya selepas berjumpa 2 guru berasal dari Semenanjung Malaysia itu, murid Sabrina Ngumbang, ibu bapanya, makcik, datuk dan nenek, pengetua sekolah dan pegawai pendidikan di Miri di sekolah itu petang semalam.

Fatimah juga menyalahkan media sosial dan parti parti politik kerana mengambil kesempatan terhadap ibu bapa Sabrina dalam isu tersebut.

Katanya, percubaan menukar agama Sabrina bermula selepas murid itu dibawa ke salah seorang guru agama yang baru dipindahkan ke sekolah tersebut tentang minatnya mengenai Islam. Sabrina dikatakan berminat dengan Islam “selepas mendengar banyak perkara baik” tentang agama tersebut daripada murid Islam sekolahnya.

Guru tersebut kemudiannya memberitahu seorang lagi guru agama di sekolah sama.

“Guru yang seorang lagi kemudiannya memanggil murid (Sabrina) ini dan bertanya apakah dia benar-benar berminat dan sudah berbincang dengan datuknya tentang perkara tersebut.

“Murid ini mengatakan ‘Ya’,” kata Fatimah tentang apa yang diceritakan guru terbabit dalam mesyuarat itu.

“Saya beritahu kepada mereka, mereka melakukan kesalahan. Dalam perkara sensitif mengenai kaum dan agama, mereka tidak boleh bergantung kepada percakapan murid bawah umur.

“Mereka seharusnya bercakap kepada ibu bapa murid. Sebagai guru, mereka seharusnya sedar kita mempunyai undang-undang mengenai penukaran agama dan kebenaran diperlukan walaupun guru berjaya membawa murid ke Majlis Agama Islam untuk mendaftar penukaran agama murid,” kata Fatimah.

“Saya beri amaran kepada guru apabila berurusan dengan isu kaum dan agama, mereka harus menguruskannya dengan berhati-hati. Kita tidak mahu guru timbulkan ketidakharmonian,” kata Fatimah.

Sabrina dibesarkan datuk dan neneknya semenjak berumur 3 bulan kerana bapanya yang bekerja sebagai pemungut sampah tidak mampu membesarkannya.

Fatimah yang juga merupakan seorang mualaf berkata cara guru terbabit menukar agama murid tersebut menimbulkan kecurigaan.

Katanya, apabila mendapat peluang memberikan kefahaman mengenai Islam kepada Sabrina dalam satu majlis kesyukuran, mereka menghantar suami salah seorang daripada suami mereka untuk mengambil murid tersebut dari rumahnya.

“Ini menimbulkan kecurigaan makciknya yang mempersoalkan mengapa lelaki yang menjemput anak buahnya.”

Fatimah berkata lelaki terbabit “tidak seperti rakyat Malaysia lain”, tidak beradab dan langsung tidak menyapa makcik Sabrina atau ahli keluarganya yang lain.

“Tiada salam dan keluarganya merasa terhina. Dan apabila dia (Sabrina) pulang ke rumah, dia mempunyai RM250 dan pakaian sembahyang Islam.”

Dalam laporan polisnya, Sabrina berkata diberi RM200 oleh salah seorang guru dan RM50 oleh salah seorang lagi yang menyaksikan Sabrina mengucap dan masuk Islam di sebuah rumah di kawasan perumahan Samling di Kuala Baram.

Duit itu digunakan untuk membeli pakaian sembahyang.

Tetapi sebelum dia dibawa ke Majlis Agama Islam untuk mendaftar penukaran agamanya pada 16 Mac, datuk dan neneknya membawa pakaian sembahyang itu ke gereja di Tudan untuk mendapatkan pengesahan.

Sejak itu, keadaan menjadi tegang.

Fatimah berkata datuk dan neneknya meminya bantuan gereja dan parti politik terlibat.

“Mereka (keluarga Sabrina) dipaksa membuat laporan polis,” kata Fatimah tanpa mahu mendedahkan siapa yang memaksa keluarga itu.

Dalam surat ditulis bapa Sabrina, Ngumbang Achu yang berusia 43 tahun kepada pengetua sekolah tentang guru terbabit, Fatimah curiga bagaimana Ngumbang yang tidak berpendidikan boleh menulis surat tersebut.

Fatimah mengatakan episod ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua guru-guru dalam hal agama dan kaum. – 28 Mac, 2015.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Menteri Sarawak Kecam Guru Cuba Tukar Agama Murid" penulisan Desmond Davidson bertarikh 28 Mac 2015)