Gereja di rumah kedai di Taman Medan, Petaling Jaya
dibenarkan memasang semula tanda
salib, kata Menteri Besar Selangor Mohamed
Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insider
|
Gereja kontroversi yang terletak di lot Perniagaan Metro
Taman Medan, Petaling Jaya dibenarkan memasang semula tanda salib di premis
itu, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Azmin berkata, salib merupakan simbol suci bagi
penganut Kristian dan masyarakat lain perlu menghormatinya.
"Ya, tak menjadi masalah. Sebaliknya persoalan kita
adalah, kenapa paksa mereka turunkan salib?
"Ini kerana salib adalah lambang suci kepada penganut
Kristian dan masyarakat perlu hormat," katanya kepada pemberita di lobi
bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini.
Azmin berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak
yang bertanggungjawab mengadakan protes Ahad lalu.
Katanya, protes itu tidak boleh diterima dan semua pihak
perlu saling menghormati antara penduduk berbilang agama di Selangor.
Ahad lalu, kira-kira 50 penduduk Taman Medan mengadakan
protes di depan gereja itu menuntut tanda salib di luar bangunan premis itu
diturunkan.
Kumpulan tersebut mendakwa, kewujudan salib gergasi itu
mampu menggugat keimanan.
Petang semalam, Ketua Umno Cawangan Taman Lindungan Jaya,
Datuk Abdullah Abu Bakar disoal siasat polis hampir 3 jam berhubung kejadian
itu.
Abdullah yang merupakan abang kepada Ketua Polis Negara Tan
Sri Khalid Abu Bakar hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya
kira-kira jam 4 petang bagi merakamkan keterangan.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Gereja Dibenarkan Pasang Semula Tanda Salib, Kata MB Selangor" penulisan Jamilah Kamarudin bertarikh 23 April 2015)