Isnin, 27 April 2015

Kami Maafkan Peserta Protes, Kata Paderi Gereja Taman Medan

Pastor Rev Herman Shestri memberi bunga kepada penduduk Taman Medan hari ini.
– Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 26 April, 2015.
 

Terkejut dengan sokongan yang diterimanya, paderi kanan gereja di Taman Medan, Petaling Jaya, Paul Packianathan terharu atas sokongan berkenaan dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana bersolidariti dan berkata mereka memaafkan kumpulan yang mengadakan protes menuntut tanda salib dialihkan.

Bercakap selepas upacara keagamaan pada hari ini, gereja berkenaan memaafkan mereka yang mengadakan demonstrasi di hadapan premis mereka pada Ahad minggu lepas.

"Itu apa yang Isa ajari. Jika mereka di sini saya akan peluk mereka," katanya.

Turut hadir adalah isterinya, Victoria, yang juga merupakan pastor, termasuk orang ramai.

Victoria merupakan paderi minggu lepas, ketika sekumpulan 50 individu daripada penduduk Taman Medan mengadakan protes di hadapan rumah kedai yang menempatkan gereja mereka menuntut lambang salib di gereja itu diturunkan.

Mereka berkata, lambang berkenaan mencabar Islam dan akan menggugat akidah remaja-remaja di kawasan itu.

Gereja itu bagaimanapun belum memutuskan sama ada akan meletakkan kembali lambang salib tersebut di tempatnya.

"Kami masih menantikan Tuhan mengarahkkan kami untuk melakukan tindakan selanjutnya," kata Paul.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali awal minggu ini berkata gereja berkenaan boleh meletakkan kembali salib tersebut, kerana tiada sebarang kesalahan dilakukan memandangkan ia merupakan lambang agama Kristian.

Paul turut mengucapkan terima kasih kepada Azmin dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang mempertahankan gereja berhubung perkara itu.

Paderi itu berkata, menanggalkan salib daripada bangunannya adalah "tindakan tepat" ketika protes tersebut.

"Minggu lepas, pada waktu ini dia sedang bertugas. Upacara keagamaan tidak boleh dihentikan. Tapi dia turut memikirkan soal keselamatan semua pihak," katanya merujuk kepada Victoria.

"Saya menyokong keputusannya untuk menurunkan salib ketika itu. Menjadi ‘pahlawan keyboard’ mudah kerana tidak melalui perkara itu," katanya, merujuk kepada mereka yang mengkritik tindakan gereja menurunkan salib.

Pastor itu turut mempertahankan salah seorang peserta protes, Datuk Abdullah Abu Bakar yang merupakan ketua Umno Cawangan, dan berkata tindakan menyebarkan gambar dan berita mengenainya di kasino adalah salah.

"Itu pembunuhan karakter. Sangat salah. Apa kaitannya dengan semua ini?

"Media juga melaporkan dia sangat marah ketika protes. Itu tidak berlaku. Paderi Victoria memaklumkan semuanya dalam laporan polis yang dibuatnya baru-baru ini," kata Paul.

Abdullah, abang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kepada media sebelum ini beliau terpaksa berada di lokasi protes untuk mententeramkan keadaan.

Polis kini sedang menyiasat peserta protes dan menyoal siasat beberapa peserta termasuk Abdullah.

Khalid, yang sebelum ini berkata peserta demonstrasi tidak melakukan sebarang kesalahan kemudian berkata beliau tidak akan campur tangan jika tindakan diambil terhadap abangnya.

Najib dalam kenyataannya pada 21 April berkata, Kabinet mengarahkan polis menyiasat protes itu dan memberi amaran tindakan boleh diambil di bawah Akta Hasutan atau undang-undang sedia ada.

Kerajaan Selangor juga mengesahkan gereja tidak memerlukan sebarang permit untuk dijalankan di kawasan hartanah komersial dan hanya notis pemakluman kepada jawatankuasa hal ehwal agama bukan Islam diperlukan. – 26 April, 2015.

(Diterjemahkan daripada artikel The Malayian Insider bertajuk, "Kami Maafkan Peserta Protes, Kata Paderi Gereja Taman Medan" penulisan Muzliza Mustafa bertarikh 26 April 2015)