Ditulis oleh Zharif Badrul:
Ketika itu, saya masih berada di sekolah rendah apabila
menemui salib kecil di padang.
Tanpa berfikir panjang, saya dan rakan-rakan yang lain
bertindak mematahkan salib itu dan membuangnya dengan semangat berkobar-kobar
untuk mempertahankan Islam.
Maklumlah waktu itu sekolah saya majoritinya berbangsa
Melayu-Islam jadi semangat untuk menjaga nama baik Islam sangat penting untuk
dianggap sebagai 'hero'.
Waktu itu saya tidak fikir kalau perbuatan sedemikian akan
memberi kesan kepada hidup saya hari ini.
Apabila saya melihat mereka yang membuat protes, meminta
agar salib diturunkan kerana ia akan mencemarkan akidah umat Islam,
terus-terang saya katakan saya mungkin akan menyokong tindakan mereka itu kalau
tidak ada 'turning point' dalam hidup ini.
Dan 'turning point' itu bermula di saat saya belajar subjek
Perlembagaan Persekutuan di bawah tunjuk ajar Prof Shad Saleem Faruqi.
Waktu itu sedang hangat kes penggunaan kalimah Allah dalam
kitab bible dan apabila saya memberi jawapan perkara ini akan menggugat akidah
umat Islam, pensyarah saya itu menjawab dengan senyuman:
"Lemah sangatkah orang Islam sampai boleh jadi murtad
kalau orang lain guna kalimah Allah?"
Sejak hari itu, saya belajar erti memahami dan meraikan
perbezaan agama dan pendapat. Saya sedar bahawa 'menyerang' dan mengkritik
agama orang lain tidak menjadikan saya lebih alim, warak dan terjamin masuk
syurga.
Saya sedar bahawa tidak akan menjadi masalah kalau kita
memahami ajaran agama kita sendiri tanpa perlu 'menyerang' agama lain kerana
hal itu akan membuatkan imej agama kita sendiri dipandang negatif.
Akhirnya, ia akan membuatkan orang lebih jauh daripada
mengenali ajaran Islam.
Ketika menghadiri satu dialog di bangunan Council Churches
of Malaysia (CCM) tahun lepas, pihak gereja malah menyediakan bilik, sejadah
dan arah kiblat untuk saya bersolat.
Ini membuatkan saya lebih berazam untuk membalas jasa baik
mereka dan semalam saya berkesempatan untuk membalasnya.
Bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang lain dengan anjuran
Malaysians for Malaysia, kami hadir memberi sokongan dan solidariti kepada
pihak gereja dengan memberikan bunga kepada mereka dan penduduk setempat.
Melihat senyuman di wajah mereka yang menerima bunga itu
membuatkan saya mengerti bahawa tidak ada apa yang boleh dicapai dengan
bertindak kasar, melakukan kekerasan ke atas pihak lain.
Di samping memaafkan mereka yang membuat protes minggu
lepas, pihak gereja juga mengecam tindakan segelintir masyarakat yang menyerang
kehidupan peribadi mereka yang terlibat dalam protes tersebut dan tidak
bersetuju dengan tindakan 'character assassination' itu.
"Maafkan mereka kerana mereka tidak tahu apa yang
mereka lakukan.'"
Kata-kata itu memberi kesan dalam hati saya dan menyedarkan
saya akan satu perkara.
Pendidikan
Pendidikan sangat penting dalam menangani isu-isu sensitif
di negara ini. Tanpa pendidikan maka seseorang lebih mudah terdorong untuk
bertindak agresif tanpa memikirkan apakah kesan yang akan diberikan ke atas
orang lain.
Apabila saya menyebut pendidikan, ini bererti sistemnya yang
meliputi guru-guru dan kementerian perlu berubah untuk menerapkan nilai-nilai
kesederhanaan dan toleransi dalam memastikan generasi akan datang lebih matang
dan bersedia untuk menanggapi isu-isu sensitif dengan cara yang rasional dan
tidak terbawa-bawa dengan sebarang sentimen, emosi dan kepentingan politik.
Saya bersyukur kerana ditemukan dengan Prof Shad untuk
mengajar sekaligus mengubah hidup saya.
Bermula detik itu, saya menyedari
betapa pentingnya peranan guru dan pensyarah dalam membentuk masa depan negara
Malaysia.
Kalau saya tidak mempunyai peluang pendidikan sebegini,
mungkin sayalah orang yang meminta agar salib itu diturunkan dan akhirnya
menjadi liabiliti kepada imej agama Islam yang sebenar.
(Diambil daripada artikel Rakyat Times bertajuk "Saya Sokong Salib Diturunkan Kalau..." penulisan Zharif Badrul bertarih 27 April 2015)