Potret Yesus bertajuk "Prince of Peace" |
Potret Yesus yang bertajuk "Prince of Peace" telah menjadi lebih terkenal lagi selepas ditunjukkan dalam filem "Heaven Is For Real" yang telah ditayangkan di pawagam sejak April 2014.
Berikut 7 perkara menarik mengenai potret "Prince of Peace" itu;
1. Potret itu telah dilukis oleh seorang anak gadis berusia 8 tahun. Pelukis muda, Akiane Kramarik telah melukis potret "Prince of Peace" pada tahun 2002 ketika dia hanya berusia 8 tahun. Potret itu merupakan potret Yesus yang pertama dilukiskan oleh Akiane.
2. Potret itu berdasarkan penglihatan yang dialami oleh anak gadis itu. Akiane telah mula mendapat penglihatan syurga dan Yesus sejak dia berusia tiga tahun. Hal itu itu sangat menghairankan ibubapanya sebab ibubapanya ateis dan tidak pernah mengajarnya mengenai Tuhan. Akiane melukis potret Yesus itu berdasarkan penglihatan yang dialaminya sejak kecil.
Akiane Kramarik dengan potret Yesus "Prince of Peace" |
3. Anak gadis itu menunggu 2 tahun sebelum memulakan potret itu. Akiane ingin melukis potret itu sejak berusia 6 tahun tetapi dua tahun berlalu sebelum impiannya menjadi nyata. Pada suatu hari Akiane memberitahu keluarganya untuk berdoa agar dia mendapat model yang sesuai untuk melukis potret itu. Pada petangnya, tiba-tiba seorang tukang kayu mengetuk di pintu rumah untuk mencari pekerjaan.
Dengan cepat Akiane melihat bahawa orang itu memiliki raut wajah yang sangat mirip dengan yang terdapat dalam penglihatannya. Tukang kayu itu pada mulanya enggan menerima permintaan Akiane, tetapi kemudiannya bersetuju dengan syarat dia tidak perlu dikenali umum.
4. Potret itu mengambil masa 60 jam untuk disiapkan. Potret itu memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh, dan telah mengambil masa 40 jam untuk diwarnakan, dan 20 jam lagi untuk melakarkan gambar dari model. Akiane pintar menggunakan teknik cahaya dan bayang-bayang untuk menghasilkan kesan yang menarik.
"Bahagian wajahnya yang cerah melambangkan kebenaran, manakala bahagian yang gelap melambangkan penderitaan," kata Akiane.
Colton Burpo bersama ayahnya Todd |
5. Kesaksian Colton Burpo mengenai potret itu. Colton Burpo ialah kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun dari Nebraska, Amerika Syarikat, yang telah mendapat penglihatan Yesus dan syurga selepas hampir maut pada tahun 2003. Ayah Colton yang sangat hairan dengan pengalaman anaknya, telah menunjukkan kepada Colton pelbagai gambar-gambar Yesus yang dapat dicarinya. Ayahnya bertambah hairan apabila anaknya mengatakan "Bukan" kepada semua gambar-gambar yang telah ditunjukkannya.
Pada suatu hari tanpa diduga, Colton terlihat suatu gambar Yesus di laptop ayahnya. Dia memberitahu ayahnya, "Itulah dia. Itulah Yesus." Dan gambar itu ialah potret "Prince of Peace" yang dilukiskan oleh Akiane.
6. Setiap buku "Heaven Is For Real" mengandungi gambar potret itu. Apabila buku Heaven Is For Real yang ditulis oleh ayah Colton diterbitkan pada 2010, gambar potret "Prince of Peace" telah dimuatkan di setiap naskah buku itu yang menjadi bestseller di Amerika Syarikat. Buku itu telah dijadikan filem oleh Sony Pictures dengan tajuk yang sama, dan ditayangkan di pawagam sejak 16 April 2014.
Akiane dan Colton |
"Lukisanku cuma satu penggambaran apa yang aku pernah lihat, kemuliaan Yesus itu jauh melebihi segala penggambaran," kata Akiane.