Rabu, 11 Disember 2013

Putrajaya Perlu Timbang Keputusan Kalimah Allah Kerana Bertentang Al-Quran, Kata Sarjana Amerika

Imam Shamsi Ali dari New York menggesa Putrajaya pertimbang semula
keputusan kalimah Allah (Gambar The Malaysian Insider oleh Nasir Sufari)

Sarjana Islam terkenal dari New York yang juga pemimpin masyarakat menggesa Putrajaya memandang serius keputusan melarang penganut Kristian menggunakan kalimah Allah kerana bertentangan dengan ajaran Al-Quran.

Imam Shamsi Ali berkata kepada The Malaysian Insider, sebagai umat Islam, beliau tidak dapat menerima keputusan Mahkamah Rayuan kerana "meremehkan kebesaran Tuhan".

"Saya tidak dapat menerimanya kerana pada saya ia bersabit kepercayaan.

"Keputusan itu merendahkan kekuasaan Tuhan Maha Berkuasa, Maha Pencipta, Maha Esa dan Tuhan kepada 1.5 bilion penduduk dunia," katanya yang menyebut keputusan itu mengehadkan Tuhan hanya kepada orang Islam.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Konvensyen Keamanan Global 2013 di Kuala Lumpur.

Sebahagian 400 peserta dari 40 buah negara menghadiri konvensyen empat hari itu yang bertemakan "Perpaduan dalam Kepelbagaian: Membina Keutuhan Sosial melalui Aspirasi Sejagat, Prinsip dan Nilai".

Topik yang dibincangkan termasuk "Etnik global untuk masyarakat sederhana dan menyeluruh", “Bagaimana generasi muda hari ini membentuk dunia hari esok" dan "Bagaimana globalisasi memberi kesan kepada institusi kekeluargaan".

Mengulas lanjut, Shamsi berkata surah pertama dalam Al-Quran tidak menyebut tuhan orang Islam atau raja orang Islam tetapi disebut sebagai Tuhan sekalian alam dan Raja Manusia.

"Maka apabila kerajaan mengehadkan Tuhan kepada orang Islam sahaja, secara asasnya bertentangan dengan ajaran Al-Quran yang bersifat sejagat," katanya.

Shamsi berkata dalam temubual sebelumnya bersama FoxNews di mana topik yang dibincangkan adalah penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian. Beliau berkata Tuhan boleh dipanggil dengan apa nama sekali pun asalkan nama yang baik merujuk kepada kebesaran Allah.

Katanya, semasa tinggal di negara Islam suatu ketika dahulu, tiada cubaan daripada orang Islam menyekat penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.

Beliau berkata isu kalimah Allah di Malaysia bukan sahaja bersabit persoalan undang-undang tetapi berkaitan kepercayaan.

Sarjana Islam itu mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober apabila tiga panel yang diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali membenarkan rayuan Putrajaya bagi menghalang penerbitan Katolik, Herald sebagaimana arahan Kementerian Dalam Negeri 1986 yang melarang penerbitan bukan Islam menggunakan empat kalimah iaitu Allah, Kaabah, Solat dan Baitullah.

Apandi dalam penghakimannya berkata sebab larangan itu bagi melindungi kesucian Islam dan mencegah kekeliruan di kalangan orang Islam.

Keputusan itu menimbulkan bantahan di kalangan penganut Kristian dan bukan Islam di Semenanjung dan Malaysia Timur.

Putrajaya bersama tujuh pertubuhan Islam pada Khamis membantah gereja Katolik membuat semakan keputusan Mahkamah Rayuan.

Lapan responden itu mahu keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan dan mendakwa tidak berbaloi sekiranya gereja membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Nor Aziati Jaafar kemudian menetapkan tarikh perbicaraan semula pada 24 Februari. 

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Putrajaya Perlu Timbang Keputusan Kalimah Allah Kerana Bertentang Al-Quran, Kata Sarjana Amerika" penulisan Jennifer Gomez bertarikh 7 Disember 2013)