Steve bersama Ruth dan Myles Munroe |
Oleh Steve Strang:
Seperti anda, aku terkejut untuk mendengar berita bahawa kawan lamaku Myles Munroe, isterinya dan beberapa orang lain telah terbunuh dalam nahas tragik kapalterbang di Bahamas pada hari Ahad.
Aku mengenali dan mengkagumi Myles sejak kami mula berkenalan di Oral Roberts University pada tahun 1980an. Dia baru-baru saja tamat pengajian tetapi Bahamas Faith Ministries yang telah diasaskannya hanya sedikit waktu sebelumnya sudahpun berjaya.
Aku terakhir bertemu dengannya pada Januari apabila dia berceramah di konferensi besar Morris Cerullo di Orlando. Aku memberitahu dia bahawa aku akan menjalani rawatan untuk kanser prostat di Bahamas pada bulan itu. Dia telah menjadi pendorong besar bagiku pada waktu itu.
Lewat tahun-tahun yang berlalu, aku telah menjadikannya penasihat untuk syarikat media kami, menerbitkan beberapa daripada buku-bukunya yang banyak (tiga daripadanya masih terus diterbitkan), menyambutnya sebagai tetamu di rumahku, mengunjungi gerejanya berkali-kali di Bahamas dan menghabiskan masa berjam-jam bercerita mengenai hal-hal berkenaan Tuhan.
Inilah yang aku telah belajar daripada Myles Munroe sebelum dia telah diambil secara tragik daripada kita:
- Dia mengasihi isterinya Ruth, dan perkahwinan mereka adalah teladan untuk apa yang seharusnya ada dalam perkahwinan Kristian yang sihat. Salah satu khutbah pertama yang kudengar darinya, dia memanggil isterinya ke mimbar dan memberitahu para hadirin betapa cantik, pintar dan dikasihi isterinya, menggunakan bahasa puisi yang berbunga-bunga yang membuat aku ingin juga menjadi sebegitu romantik dengan cara yang begitu bergaya. Aku belajar bahawa mengatakan perkataan yang tepat pada waktu yang tepat boleh menginspirasikan suami-suami secara positif untuk melakukan hal yang sama. Tentu saja isteriku ialah seorang yang pemalu, jadi aku tidak akan pernah memanggilnya ke mimbar. Tetapi teladan Myles telah membuat aku lebih sedar bagaimana untuk menjadi lebih ekspresif dalam melafazkan kasihku yang mendalam sebagai suami. Myles dan isterinya kelihatan memiliki perkahwinan yang begitu indah semasa tiga dekad aku mengenali mereka. Begitu sedihnya mereka meninggal bersama-sama dalam nahas ini.
- Dia mengajarku mengenai kepimpinan dan peralihan kepimpinan. Secara kebetulan Myles dalam perjalanan untuk ke konferensi untuk menyampaikan topik ini apabila kapalterbangnya terhempas. Aku mengingat lagi hidangan bersama dengannya di Atlantis Resort di Nassau pada 2001. Kami duduk dan berbicara mengenai bagaimana memilih seorang pengganti seperti yang dilakukan Yesus. Aku tidak pernah memikirkan mengenai pegganti Yesus kerana Yesus tetap hidup. Tetapi sebagai penggantinya di bumi, aku akan mengatakan Paulus. Tetapi Myles mengatakan bahawa pengganti Yesus ialah Petrus - peribadi yang dipilih Kristus untuk membina gereja-Nya. Myles berkata Yesus menanya Petrus, "Adakah engkau mengasihi Aku?" Selalu pilih seorang yang mengasihi anda untuk menggantikan anda, katanya. Kalau tidak, penggantimu akan meruntuhkan sampai ke tanah pekerjaan seumur hidupmu - sesuatu yang aku tidak pernah lupakan.
- Dia adalah teladan bagaimana menggunakan kemahiran kepimpinannya untuk mempengaruhi. Adalah menjadi inspirasi kepadaku bahawa aku juga boleh mempengaruhi mereka yang berkuasa - sesuatu yang aku tidak pernah lihat ditunjukkan. Dia telah membawa kesatuan dengan mengasaskan International Third World Leaders Association, dan aku juga telah mengambil langkah-langkah untuk membawa kesatuan dalam lingkungan-lingkungan pengaruhku. Dan aku melihat bahawa dia amat dikenali dan dihormati oleh peringkat-peringkat tertinggi kepimpinan di Bahamas. Semasa dua lawatan, aku mengunjungi Perdana Menteri Bahamas bersama-sama dengannya. Aku telah pergi bersama Myles untuk menyampaikan senaskah bukunya. Burden of Freedom, yang aku baru terbitkan. Oleh kerana Myles melakukan segala sesuatu secara terbaik, kami telah membalutkan dua naskah dengan kulit yang mahal untuk dipersembahkan kepada Perdana Menteri. Aku masih mengingati tarikhnya - 10 September 2001. Aku terbang kembali pada malam itu dan menyedari bahawa jika perjalananku itu adalah sehari lewat, aku akan terpaksa tinggal selama seminggu di Bahamas kerana lapangan-lapangan terbang ditutup akibat serangan pengganas. Pada tahun-tahun kemudian, aku menjadi lebih selesa apabila aku melawat Rumah Putih dan pemimpin-pemimpin kebangsaan yang lain kerana teladan yang aku telah lihat dari Myles.
- Dia seorang penceramah yang hebat. Bukan saja dia telah menulis lebih daripada 40 buku, dia juga sering dicari sebagai penceramah di peringkat antarabangsa. Dan apabila dia berceramah, dia dapat menarik perhatian para pendengarnya untuk jangka masa yang panjang. Aku tidak akan dapat menandinginya sebagai seorang penceramah, tetapi aku telah belajar dari apa yang aku perhatikan, dan yakin aku telah menjadi penceramah yang lebih baik kerananya. (Aku masih ingat satu kebaktian yang aku ikuti yang mengambil masa empat jam, dan khutbahnya kemungkinan hampir separuh dari masa itu. Salah seorang kawanku berkata bahawa ada sebabnya dia dinamakan Myles, sebab khutbahnya boleh sepanjang berbatu-batu - miles).
- Dia seorang pemikir yang baik dan memiliki kefahaman yang jelas dan mendalam. Dia mengajar mengenai kepimpinan dengan cara yang praktikal. Dia menekankan mengenai mengetahui tujuan anda dalam khutbah-khutbahnya dan dalam beberapa buku. Dia juga memahami "Kerajaan Allah" dalam cara yang jarang difahami oleh orang-orang Amerika. Sebagai rakyat Bahamas, Myles terbiasa dengan sistem yang menghormati Raja dan Ratu dan bagaimana penduduk taat kepada mereka. Dia merasa bahawa orang-orang Amerika kadang-kadang merasakan bahawa gereja adalah demokrasi seperti kerajaan negara mereka. Ianya tidak seperti itu - ianya adalah sebuah Kerajaan dan Yesus adalah Raja. Itu telah membawa kesan kepada cara aku memahami Kerajaan Allah.
Tolong doakan untuk keluarga yang telah ditinggalkannya. Cuba bayangkan kesedihan kehilangan bukan seorang tetapi dua ahli keluarga dalam tragedi ini. Dan pelayanan yang telah dimulakanya juga harus diteruskan. Orang-orangnya pasti terkejut dan dalam kesedihan. Tetapi Myles Munroe telah meninggalkan dasar yang teguh. Dia telah meletakkan pemimpin-pemimpin di tempat yang sesuai.
Aku percaya pelayanannya akan berterusan. Pengaruhnya akan berterusan untuk bertahun-tahun akan datang oleh kerana begitu banyak buku-buku yang telah dikarangnya dan juga video-video pengajarannya, tetapi terlebih lagi kerana ribuan dan mungkin jutaan orang yang telah dia pengaruhi dengan mendalam, termasuklah aku.
- Steve Strang adalah editor dan penerbit yang telah mengasaskan Charisma.
(Diterjemah daripada artikel Charisma Magazine bertajuk "5 Principles I Learned From My Friend Myles Munroe" penulisan Steve Strang bertarikh 10 November 2014)