Penginjil terkemuka Amerika, Billy Graham |
Billy Graham merayakan ulangtahunnya yang ke-96 dengan sahabat handai dan keluarga pada hari Jumaat, dan pemimpin-pemimpin iman sedang menghantar ucapan selamat kepada penginjil terkemuka itu hari ini.
Dalam perayaan yang jauh berbeza dengan perayaan tahun lepas yang telah melibatkan lebih dari 800 tetamu, Graham menandakan harijadinya tahun ini dengan perayaan yang sederhana di rumahnya di Montreat, North Carolina, menurut siaran media yang telah dikeluarkan pada 7 November. Will Graham, cucu kepada Billy Graham, tidak dapat dihubungi untuk memberi ulasan kepada The Christian Post, tetapi ayahnya Franklin memberitahu para peminat bahawa penginjil berusia 96 tahun itu dalam keadaan sihat.
"Walaupun keadaan fizikalnya tidak mengizinkannya keluar rumah, dia terus berminat dengan perkembangan semasa dan perkembangan pelayanan yang telah dimulakannya lebih 60 tahun yang lalu," kata anak sulung lelaki Billy Graham.
Presiden Billy Graham Evangelistic Association itu juga mengumumkan pelancaran "Heaven" filem terbaru "My Hope with Billy Graham", yang akan memaparkan mesej yang belum pernah ditonton umum dari Billy Graham.
"Aku tahu aku akan ke syurga. Aku menantinya dengan penuh pengharapan" – Billy Graham.
"Kesempatan seperti 'My Hope' dan filem 'Heaven' adalah cara-cara kami dapat membantu ayah saya untuk meneruskan pekerjaan yang Tuhan berikan kepada kita," tambah Franklin. "Tolong doakan untuk ayah saya, dan untuk mereka yang akan menonton filem ini, agar mereka juga akan menemukan damai yang terdapat dalam Yesus Kristus."
Direkod pada tahun lepas, mesej itu memaparkan Graham yang masih penuh semangat berbincang mengenai kematiannya yang menjelang tiba.
"Aku tahu aku akan ke syurga. Aku menantinya dengan penuh pengharapan," Graham berkata dalam filem itu sebelum menjelaskan bagaimana seseorang boleh memiliki iman yang sama.
Meskipun bergumul dengan penglihatan dan pendengaran yang semakin pudar, Graham masih menikmati saat teduh harian, pembacaan Alkitab dan doa dengan pekerja-pekerja pelayanannya, di samping kunjungan daripada ahli-ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang rapat. Pada harijadinya yang ke-96, ramai daripada kawan-kawan Billy Graham, termasuk Rick Warren dari Gereja Saddleback, telah memuatkan pesanan istimewa di media sosial.
"Selamat Ulangtahun #ke-96 kepada mentor tertua saya, #BillyGraham. terima kasih kerana membimbing, mempertahankan dan mengasihi saya selama 35 tahun," pastor itu menulis di Twitter.
(Diterjemah daripada artikel The Christian Post bertajuk "Billy Graham Celebrates 96th Birthday With New Film Announcement: 'I Know I'm Going to Heaven, I'm Looking Forward to It'" penulisan Emma Koonse bertarikh 7 November 2014)
(Diterjemah daripada artikel The Christian Post bertajuk "Billy Graham Celebrates 96th Birthday With New Film Announcement: 'I Know I'm Going to Heaven, I'm Looking Forward to It'" penulisan Emma Koonse bertarikh 7 November 2014)