Keratan akhbar Daily Express mengenai insiden membabitkan pelajar
Kristian Kolej Matrikulasi Labuan, seperti dikirim Ahli
Parlimen
Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam Twitternya
|
Kementerian Pelajaran mengarahkan Kolej Matrikulasi Labuan
menyiasat dakwaan sekumpulan pelajar Kristian dipaksa menjalankan upacara
ibadat mereka di bawah sebatang pokok di luar bangunan dan dipaksa memakai songkok atau tudung sekiranya mahu mengambil
bahagian dalam program Parlimen Pelajar kolej itu.
Dalam laporan di lamannya hari ini, akhbar Daily Express
yang berpengkalan di Sabah berkata dakwaan tersebut termasuk memaksa pelajar
tersebut memakai tudung dan songkok.
Akhbar itu melaporkan pelajar juga dinafikan tempat di dalam
bangunan, sebaliknya disuruh berkumpul di bawah pokok.
Turut dilaporkan adalah aduan pelajar dipaksa bertudung dan
bersongkok sekiranya mahu turut sama di dalam Parlimen Pelajar, dan rasa tidak
puas hati ibu bapa mereka.
"Pelajar tersebut dipaksa melakukan upacara ibadat
mereka di bawah matahari atau pokok di halaman. Tidak cukup dengan itu,
pengawal keselamatan mengganggu mereka dengan menyuruh mereka supaya cepat,
memaksa mereka menamatkan upacara separuh jalan.
"Ini tidak masuk akal, lebih-lebih lagi apabila
kebebasan agama dijamin Perlembagaan Persekutuan dan pemimpin negara terus
menekankan perkara ini," lapor Daily Express.
Akhbar itu memetik sumbernya sebagai berkata, seorang
pensyarah Kristian mendedahkan sepucuk surat daripada Kementerian Pelajaran
ditujukan kepada Gereja Katolik Sabah, kepada Pengarah Kolej, Sawang Amit.
Surat itu berkisar tindakan kolej itu yang melarang pelajar
bukan Islam beribadat di dalam bangunannya.
Sawang bagaimanapun menafikan tahu akan kewujudan surat itu,
seterusnya berkata pihak kementerian tidak pernah memberi izin kepada pelajar
Kristian beribadat di dalam bangunan, menurut akhbar itu.
Pelajar-pelajar Kristian Kolej Matrikulasi Labuan berdoa di bawah pokok (Gambar The Daily Express, 29 November 2014) |
Jumaat lalu, selepas gagal mendapatkan reaksi Sawang, Daily Express menghubungi Timbalan Menteri Pelajaran I, Datuk Mary Yap Kain Ching.
Yap menyifatkan dakwaan tersebut sebagai serius dan
memberitahu pegawai kolej tersebut diarah menjalankan siasatan.
"Kami mahu memastikan samada tuduhan itu benar. Mereka
akan melaporkan kepada saya," Yap dipetik sebagai berkata.
Laporan tersebut juga mendapat perhatian Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman
Dahlan, yang juga merupakan ahli Parlimen Kota Belud.
"Perkara seumpama ini makin kerap berlaku. Biasanya
permohonan maaf diberikan. Tetapi cukuplah. Tindakan mesti diambil ke atas
pegawai terlibat," tulisnya menerusi Twitter tengah hari tadi.
Rahman, yang terkenal dengan akaun Twitter @mpkotabelud,
juga melampirkan gambar keratan laporan berkenaan.
"Sekiranya ia benar, tindakan segera mesti diambil
pegawai Kementerian Pelajaran untuk memperbetulkannya dan supaya tidak diulangi
insiden seperti itu."
Menurut Daily Express, kolej itu pernah terlibat kontroversi
pada Julai 2012 ekoran tuduhan pelajar Kristian dari Sabah dan Sarawak dipaksa
menukar agama.
Katanya tiga pelajar dilaporkan menukar agama walaupun suatu
penyiasatan tidak dapat memastikan kebenaran dakwaan itu.
Pada Oktober 2012, beberapa paderi Katolik di Sabah menulis
surat dengan disertakan laporan Pusat Keuskupan Katolik Sabah dan menyeru
penyiasatan penuh dijalankan berhubung dakwaan wujud percubaan mengislamkan
pelajar bukan Islam di institusi pengajian tinggi tempatan.
Surat itu juga ditujukan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri
Muhyiddin Yassin, di samping menteri dari Sabah ketika itu, Tan Sri Bernard
Dompok dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Pada Disember 2012, Kementerian Pelajaran mengadakan
pertemuan dengan Pusat Keuskupan Katolik bagi membincangkan perkara itu.