Tindakan tegas harus diambil terhadap sebuah sekolah di
daerah Keningau, Sabah jika benar seperti dilaporkan yang ia melarang pelajarnya
memakai simbol agama ke sekolah, termasuk lambang salib, kata Pemuda Barisan
Nasional (BN) Sabah hari ini.
Menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan
terhadap sekolah dan guru terbabit, Ketua Pemuda BN Sabah Yamani Hafez Musa
berkata tindakan itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian
Malaysia.
“Larangan itu bukan sahaja melanggar Perlembagaan dan
Perjanjian Malaysia berhubung kebebasan beragama, tetapi juga menimbulkan
kebimbangan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah,"
katanya menurut laporan The Star online.
Mengakui terkejut membaca berita itu yang dilaporkan akhbar
tempatan Daily Express hari ini, beliau berkata garis panduan yang melarang
pemakaian barang kemas di sekolah tersebut tidak sepatutnya termasuk 'tanda
keagamaan.'
Ini akan menyentuh sensitiviti rakyat katanya kepada The
Star, merujuk peraturan tersebut yang termasuk di dalam bahagian Kebersihan
Diri bagi pelajar Sekolah Menengah Ken Wah di Keningau.
Pelajar bukan Islam terutamanya penganut Kristian,
dilaporkan perlu mendapat kebenaran lembaga disiplin dan diberikan pas
kebenaran sebelum boleh memakai lambang salib ke sekolah.
Perkara ini menurut The Star sudah disahkan seorang guru
kanan sekolah tersebut.
“Ia sesuatu yang memeranjatkan bagi kami semua di Sabah yang
terkenal dengan rakyatnya yang sangat bertoleransi, saling memahami dan
menghormati agama satu sama lain.
"Inilah sebabnya kami boleh menikmati keamanan dan
keharmonian di negeri ini sekarang. Oleh itu, perkara itu mesti disiasat dan dihentikan,"
katanya kepada akhbar itu.
Menurut Daily Express, sekolah itu didakwa ia hanya menurut
garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.
Pelajar yang melanggar peraturan itu dilaporkan akan diberi
kaunseling dan dirotan atau digantung persekolahan sekiranya terus berdegil.
Pada 29 November, akhbar sama melaporkan pelajar Kristian di
Kolej Matrikulasi Labuan di Sabah terpaksa bersembahyang di bawah pokok kerana
tidak dibenarkan melakukan upacara itu di dalam bangunan kampus.
(Diambil dari artikel The Malaysian Insider bertajuk "Larangan Memakai Salib Di Sekolah Tidak Berperlembagaan, Kata Pemuda BN Sabah" bertarikh 1 Disember 2014)