Jumaat, 6 Februari 2015

Ibu Bapa Gesa MRSM Di Sarawak Benar Pelajar Bukan Islam Amal Agama Mereka

Sebahagian peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi pelajar
Maktab Sains Rendah Mara - Gambar The Malaysian Insider

Ibu bapa pelajar Dayak mempersoalkan tindakan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) melarang pelajar bukan Islam mengamalkan kepercayaan mereka, sedangkan hampir separuh pelajar di sekolah itu di Sarawak beragama Kristian.


Mereka menyifatkan sekatan dikenakan terhadap agama lain di kolej MRSM sebagai diskriminasi agama yang hanya akan menggalakkan perasaan tidak bertolak ansur dan tidak menghormati agama lain di kalangan pelajarnya.

Salah seorang ibu bapa berkenaan, yang enggan menghantar anak perempuannya ke MRSM selepas mendapat tahu sekatan terhadap pelajar bukan Islam, memuat naik di laman sosial gambar surat yang menyenaraikan beberapa larangan terhadap mereka.

Tindakan itu mengembalikan topik yang pernah hangat diperkatakan Oktober lalu, selepas pengetua sebuah MRSM di Betong menafikannya ekoran dakwaan pemimpin akar umbi DAP, Leon Jimat Donald.

Gima Duin mahu anaknya yang menduduki peperiksaan PMR tahun lalu melanjutkan pelajaran di MRSM Kota Samarahan, disebabkan penekanan sekolah itu dalam subjek sains dan matematik.

“Selepas peperiksaan (tahun lepas), saya memohon supaya dia dapat belajar di MRSM, yang menjadi pilihan pertama, atau Kolej Sains (di Kuching).

“Oleh kerana surat kemasukan Kolej Sains diterima dulu, saya mendaftarnya di sana kerana menyangka permohonan MRSM gagal.

“Apabila permohonan MRSM juga diluluskan, saya membuat persediaan memindahkan anak saya ke sana.

“Tetapi sebelum pendaftaran, anak saya disuruh membaca semua peraturan kolej. Sebagai ayah, saya mengambil tahu,” kata Gima, bekas anggota tentera udara dari Simunjan.

“Bila saya terbaca mengenai 'peraturan tambahan untuk pelajar bukan Islam', saya rasakan ini tidak betul."

Gima kemudian memuat naik peraturan itu di laman Facebooknya bagi "melihat apa akan berlaku".

Menurut "peraturan tambahan" itu, semua aktiviti agama selain Islam diharamkan dalam kawasan maktab.

Begitu juga, lambang keagamaan selain agama Islam diharamkan dipaparkan di kawasan kolej, manakala pelajar perlu mendapat kebenaran sebelum menghadiri sebarang aktiviti agama selain Islam di luar maktab pada hari minggu.

“Selepas membaca peraturan ini, saya tekad anak saya tidak akan ke sebuah sekolah yang melarangnya memakai lambang salib atau memerlukan kebenaran menghadiri gereja pada hari Ahad.

“Ini diskriminasi agama dan sebuah sekolah yang langsung tidak peduli penganut agama lain.

“Peraturan ini tidak mengajar anak kita mengenai toleransi dan rasa hormat terhadap kepercayaan lain. Saya tidak akan membesarkan anak saya dengan cara itu.

“Saya bimbang sekiranya memasukkan dia ke sana, individu yang tidak bertanggungjawab dengan agenda jahat akan mempengaruhi pemikirannya yang masih muda,” katanya.

Gima turut mempersoalkan mengapa Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak meminda peraturannya bagi sekolah yang terletak di kawasan majoriti bukan Islam.

“Saya faham sekiranya ia sebuah kolej terletak di kawasan majoriti Islam. Tetapi di kawasan Dayak?”

Oktober lepas, bekas pengetua MRSM Betong Zabidin Bedut menafikan kolej tersebut mengharamkan pelajar Kristian menyimpan Bible serta bergiat dalam aktiviti keagamaan selain Islam.

Zabidin, seperti dilapor The Borneo Post, memberitahu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Amar Douglas Uggah Embas serta ibu bapa pada majlis graduasi dan penyampaian anugerah sekolah tersebut, dakwaan Leon tidak benar.

“Kami bukan saja membenarkan tetapi juga menggalakkan pelajar mengamalkan agama mereka. Bahkan kami membenarkan pelajar Kristian menggunakan bas kolej untuk ke gereja pada hari Ahad," katanya dipetik The Borneo Post.

Betong, terletak 300km dari Kuching, merupakan kawasan Dayak dan sekolah tersebut dibina bertujuan memenuhi keperluan pelajar pintar di kalangan Dayak.

Apabila dihubungi, pengetua sekolah itu kini, Mohamad Zaki Abdul Rashid, mengesahkan larangan tersebut yang menurutnya wujud sejak "beberapa tahun".

Zaki, bagaimanapun, enggan mengulas dan berkata soalan mengenainya perlu ditujukan kepada ibu pejabat Mara di Kuala Lumpur.

Akhir tahun lepas, Leon mendakwa diberitahu ibu bapa tentang usaha "licik" MRSM Betong mengislamkan anak mereka menerusi peraturan sekolah.

Naib pengerusi DAP Sarawak itu turut mendakwa beberapa guru beragama Islam bertindak keterlaluan dalam menguatkuasakan peraturan itu.

“Saya diberitahu ramai ibu bapa sekarang enggan menghantar anak mereka ke MRSM. Terlalu banyak cerita didengar mengenai apa yang berlaku di kolej berkenaan,” katanya.

Leon berkata, dia difahamkan 50% pelajar di MRSM Betong berketurunan Dayak.

“Ibu bapa Dayak enggan menghantar anak mereka ke MRSM disebabkan peraturan kolej itu," katanya.

Seorang lagi ibu bapa juga memberitahunya mengenai usaha licik "guru tidak bertanggungjawab" menukar agama pelajar Dayak di MRSM Betong.

Apabila dakwaan itu diketengahkan Leon Oktober lepas, Unggah menuduhnya cuba mencari kepentingan politik.

“Saya tetap dengan apa yang saya katakan. Sekarang kami ada bukti mengenai situasi sebenar dihadapi pelajar Dayak di MRSM,” katanya.

Minggu lepas, Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyuarakan keprihatinan terhadap peraturan MSRM itu, dan berkata ia tidak menjamin kaum lain mengamalkan hak mereka.

Ketua biro pendidikan parti komponen Barisan Nasional itu, Martin John Madden, berkata peraturan tersebut juga bercanggah dengan semangat 1Malaysia.

Menurutnya, Mara seolah-olah tidak faham istilah Bumiputera.

Madden berkata ramai Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang bukan Islam mahupun Melayu.

“Peraturan tersebut tidak bersifat inklusif kerana pelajar Islam dibenarkan mengamalkan agama mereka sedangkan rakan bukan Islam mereka diharamkan berbuat demikian.

“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, semua rakyat Malaysia dijamin hak mengamalkan agama mereka dengan bebas," kata Madden.

Beliau menggesa Mara menghentikan amalan berat sebelah itu, dan berkata larangan memakai lambang keagamaan dan menjalankan aktiviti agama di MRSM tidak perlu, sedangkan sekolah menengah biasa di negeri itu membenarkan pelajar bebas mengamalkan agama mereka.


(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Ibu Bapa Gesa MRSM Di Sarawak Benar Pelajar Bukan Islam Amal Agama Mereka" penulisan Desmond Davidson bertarikh 6 Februari 2015)