Sekolah berasrama anak perempuan penoreh getah Jilius Yapoo
sejauh 11km saja di Kinarut, Sabah, tetapi jalan raya yang rosak menjadikannya
jauh dan menyukarkan perjalanan, jadi dia mengamanahkan sekolah dengan
keselamatan anaknya.
Dia tidak sangka yang 4 tahun kemudian akan melihat anaknya
memakai tudung dan mengatakan dia memeluk Islam.
Bercakap bagi pihak bapa kepada 8 anak itu, Ahli Parlimen
Penampang Darell Leiking daripada PKR sebagai penasihatnya memberitahu The
Malaysian Insider Yapoo, 46, bukannya menentang anak-anaknya meninggalkan agama
keluarganya, tetapi hanya sehingga mereka berumur 18 tahun dan apabila dia
pasti mereka dapat menentukan agama sendiri tanpa pengaruh luar.
Leiking berkata, Yapoo "sangat terkejut" apabila
mendapati anak perempuannya bertukar agama dan perkara ini disembunyikan
daripadanya.
Dia juga tidak berpuas hati kerana sekolah itu dan rumahnya
di Kampung Kaiduan tidak begitu jauh, tetapi infrastruktur di perkampungan
Sabah menjauhkan lagi jarak tersebut dan membuatkannya rasa terasing daripada
anaknya.
"Bayangkan, hanya 11km jaraknya tetapi dia tidak mampu
berulang alik ke sekolah; mana-mana ibu bapa dari Petaling Jaya, contohnya,
mampu menghantar anak mereka ke sekolah dan balik dengan senang dengan jarak
tersebut.
"Tetapi bagi penoreh getah ini, tiada jalan raya yang
baik ke rumahnya, 11km merupakan jalan jauh, jadi dia amanahkan anak
perempuannya kepada sekolah dan lihatlah apa terjadi," kata Leiking.
Leiking berkata, Yapoo mengatakan dengan jelas apabila
anaknya 18 tahun, dia akan serahkan kepadanya untuk menentukan agama mana satu
ingin diikutinya, tetapi bukan sebelum itu dan sementara di bawah penjagaan ibu
bapanya yang beragama Kristian.
"Bapanya amat konsisten dari awal lagi, apabila anaknya
berumur 18 tahun, dia boleh memilih agamanya sendiri.
"Ini bukan tentang menentang Islam, tetapi tentang hak
ibu bapa terhadap anak-anak mereka," kata Leiking.
Menurut Leiking, pelajar itu memberitahu ibu bapanya dia
kini beragama Islam, dan sudah pun mengucap dua kalimah syahadah – kesaksian
yang perlu seseorang lafazkan sebelum memeluk Islam.
"Jadi kami percaya kata-katanya, tetapi kita masih
perlu mendengar secara rasmi daripada sekolahnya, mereka bertanggungjawab
memberi respons melainkan mereka dinasihati supaya jangan," katanya.
Leiking yang juga seorang peguam menulis kepada sekolah itu
pada Rabu, meminta penjelasan tentang apa yang berlaku sehingga menyebabkan seorang
gadis bawah umur menukar agama, dan memberi tempoh 7 hari untuk membalas.
Leiking juga meminta sekolah supaya mengenal pasti mereka
yang terlibat dalam pertukaran agama tersebut.
Katanya, Yapoo bercadang mendapatkan kenyataan mahkamah -
menyatakan pelajar 16 tahun itu bukan seorang Islam, selepas sekolah tersebut
memberi fakta tentang apa yang berlaku.
Peguam itu berkata, dipercayai banyak lagi penukaran agama
sebegitu sedang berlaku secara tersembunyi tanpa pengetahuan ibu bapa, termasuk
orang dewasa di kawasan terpencil negeri Sabah.
"Kerajaan perlu mengambil tindakan dan menghentikan
pihak seperti ini daripada menukar agama mereka yang bawah umur.
"Dan jika mereka sudah dewasa, mereka perlu sedar
sepenuhnya tentang faktanya apabila diminta untuk menukar agama," katanya
dan menambah terdapat kes di mana penukaran agama secara besar-besaran
dijalankan di Sabah.
Leiking juga menimbulkan tentang seminar anti-Kristian yang
diadakan di Universiti Teknologi Mara pada Mei tahun lepas, mengatakan sudah
membawa isu tersebut ke Dewan Rakyat tetapi diberikan jawapan seminar tersebut
hanya mempunyai tujuan akademik.
"Tetapi soalan saya ialah, bagaimana jika Bumiputera
Kristian mengadakan seminar tentang agama Kristian dan mengatakan ia untuk
tujuan akademik, adakah ia akan diterima?
"Kami tahu kami tidak boleh mengembangkan agama lain
kepada umat Islam, tetapi tidak boleh ada dua jenis peraturan mengenainya
terhadap pelajar kalau alasannya ialah seminar anti-Kristian itu bersifat
akademik semata-mata," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) Kaiduan Michael Frederick, yang mengunjungi Yapoo pada Sabtu,
memberitahu The Malaysian Insider mereka berdepan masalah baru selepas remaja
berusia 16 tahun itu mengambil bahagian dalam perkhemahan sekolah beberapa hari
sebelumnya.
Ia berlaku selepas gadis bawah umur itu pulang ke rumah
selepas memeluk Islam, dan bersetuju dengan cadangan ayahnya supaya berpindah
sekolah.
Dia kemudiannya disuruh pihak sekolah menyertai perkhemahan,
tanpa kebenaran ibu bapa.
Yapoo tidak mahu menafikan anaknya menyertai program
tersebut, lalu membenarkannya dengan syarat dia akan terus pulang ke rumah
selepas perkhemahan itu.
Tetapi menurut Frederick, sejurus perkhemahan itu, gadis
tersebut bukan saja gagal pulang ke rumah seperti yang dijanjikan, malah
menghubungi ayahnya dari asrama untuk memberitahu tidak mahu berpindah sekolah.
"Bila ditanya ayahnya mengapa, katanya kerana ia sebuah
sekolah Kristian, jadi kami tidak tahu apa berlaku di perkhemahan itu kerana
dia pada mulanya bersetuju ke sekolah baharu," kata Frederick, sambil
menambah gadis itu pulang ke rumah ibu bapa pada petang Sabtu.
"Buat masa ini, kami menunggu jawapan rasmi sekolah
mengenai insiden itu dan akan membuat tindakan susulan dari situ,” katanya. – 2
Mac, 2015.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Bukan Anti Islam, Bapa Pelajar Anggap Agama Anak Hak Ibu Bapa" penulisan Jennifer Gomez bertarikh 2 Mac 2015)