Undang-undang
di mahkamah sivil memerlukan kebenaran ibubapa bagi individu bawah umur yang mahu menukar agama, kata peguam perlembagaan M Kula Segaran. - Gambar fail The Malaysian Insider |
Undang-undang
memutuskan di mahkamah sivil, kebenaran ibu bapa diperlukan apabila individu
bawah umur memeluk Islam, menurut peguam Perlembagaan M Kula Segaran, ketika
mengulas mengenai kes pelajar 16 tahun di Kinarut, Papar yang bertukar kepada
agama Islam di sekolah tanpa kebenaran ibu bapanya yang beragama Kristian.
Beliau berkata demikian berdasarkan keputusan Mahkamah
Tinggi Ipoh dalam kes guru tadika M Indira Gandhi, di mana mahkamah memutuskan
penukaran agama oleh hanya pihak suami, seorang pemeluk agama Islam Riduan
Abdullah, bagi 3 kanak-kanak 6-17 tahun tidak sah di sisi undang-undang.
Kes itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.
Difahamkan
pelajar itu tinggal di asrama kerana bapanya, penoreh getah Jilius Yapoo tidak
mampu membayar kos ulang alik ke sekolah.
Dia mendapati anaknya sudah memasuki Islam dan memakai
tudung apabila melawatnya selepas mendengar laporan anaknya sudah memeluk
Islam.
Guru yang dikatakan bertanggungjawab atas penukaran agama
itu sudah pun berpindah ke sekolah lain di Sabah dan tidak didapati bersalah
selepas mengatakan pelajar itu memeluk Islam secara sukarela.
Kula Segaran, yang juga ahli Parlimen Ipoh Barat berkata,
ada juga kes diputuskan di Mahkamah Rayuan yang hanya mahkamah syariah boleh membuat
keputusan mengenai perkara berkaitan pihak berkuasa Islam.
Oleh itu, katanya, dalam kes melibatkan pelajar Sabah ini,
disebabkan dia seorang bukan Islam dan di bawah umur sebelum proses memeluk
Islam, Mahkamah Syariah tidak punyai bidang kuasa terhadapnya.
"Lebih-lebih lagi, tiada rakyat Malaysia yang boleh
berfikir akan percaya pelajar itu pergi ke sekolah dan menukar agama secara
sukarela.
"Jabatan Pendidikan Negeri sepatutnya berhenti
menganggap ini bukan satu isu, mereka patut ambil tindakan untuk mendisiplinkan
mereka yang menukar agamanya," katanya.
Kula Segaran juga menyatakan rasa bimbangnya jika kes ini
hanya sebahagian kecil daripada masalah besar di mana ramai lagi pelajar
sekolah yang ditukar agamanya tetapi tidak diberi perhatian kerana ibu bapa
mereka terlalu miskin atau tidak mampu membawa kes ke hadapan atau mengambil
tindakan.
"Tidak mengapa jika ibu bapa mereka memberi kebenaran
anak bawah umur mereka ditukar agama ke Islam, tetapi jika mereka tidak tahu ia
berlaku, ini menjadi masalah," katanya.
"Ibu bapa di kawasan perkampungan tiada pilihan selain
membenarkan anak mereka duduk di asrama sekolah.
"Mereka menghantar anak ke sekolah supaya mendapat
pendidikan, bukan untuk ditukar agama," katanya.
Menurut peguam Nizam Bashir, yang arif undang-undang di
mahkamah syariah dan sivil, undang-undang lazim pertukaran agama bagi individu
bawah umur diperuntukkan mengikut Seksyen 68 Pentadbiran Enakmen Undang-undang
Islam (Sabah) 1992, yang menyatakan kebenaran ibu bapa diperlukan untuk menukar
agama mereka di bawah umur 18 tahun.
Oleh itu, sekali lihat, nampaknya Yapoo mungkin perlu
mengambil tindakan undang-undang untuk mempertikaikan sijil tukar agama itu.
Bagaimanapun, Nizam berkata apabila dikaji lebih lanjut
seksyen berkenaan, di mana kebenaran diperlukan, mungkin ia tidak mengikut
Perlembagaan.
Ini kerana Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan setiap individu ada hak untuk menganut dan mengamalkan agama
masing-masing.
“Oleh itu, perlu diingat pelajar perempuan itu bukan bayi,
memandangkan dia bukan kanak-kanak di antara 4 hingga 8 tahun, prasyarat
kebenaran mengandungi sekatan tidak munasabah dan tidak mematuhi haknya mengikut
Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan,” kata Nizam.
Beliau berkata pertimbangan lain ialah umur individu bawah
umur itu, dilihat berbeza daripada perspektif sivil dan undang-undang Islam.
Katanya, individu 16 tahun mungkin dianggap bawah umur
daripada perspektif sivil tetapi bagi perspektif Islam, gadis itu ‘sudah sampai
umur’, kerana Islam bukan sekadar melihat kepada umur tetapi mempertimbangkan
faktor biologi untuk menentukan umur tanggungjawab seseorang.
Nizam berkata, bagi contoh sedemikian, anak itu perlu ditemu
bual oleh pihak berkuasa bersesuaian untuk memastikan sama ada dia sudah cukup
umur dan juga sama ada dia memeluk Islam secara sukarela atau tidak.
Katanya, ini juga selari dengan Artikel 14 Konvensyen Hak
Kanak-kanak, yang menyatakan hak kanak-kanak terhadap kebebasan kepercayaan dan
agama perlu dihormati.
Beliau berkata, sentimen serupa tertera dalam Artikel 10
Pengisytiharan Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam, iaitu pertukaran
agama menerusi kekeliruan dilarang dalam Islam.
“Jadi, oleh sebab Malaysia penandatangan terhadap kedua-dua
dokumen itu, saya fikir Malaysia berdiri pada isu itu, sama ada sebagai
dilahirkan kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, perlu sama tanpa
mengambil kira sama ada ia ditunjukkan bahagian depan antarabangsa atau
domestik,” katanya.
Tetapi, Nizam berkata sama ada seseorang itu Islam atau
tidak, sewajarnya ditentukan oleh mahkamah syariah, dan menambah mahkamah sivil
tidak boleh masuk dalam ‘kekalutan agama’ untuk menentukan persoalan ini.
“Satu-satunya pengecualian ialah bapa pelajar perempuan itu
boleh kembali kepada prinsip undang-undang neutral, di mana pemohon boleh
bersandar kepada prinsip undang-undang sivil sedia ada untuk menentukan
persoalan pertukaran agama anaknya.
“Tetapi pada masa ini, saya tidak dapat memikirkan prinsip
undang-undang neutral untuk membantu bapa berkenaan secara khusus kerana saya
anggap Artikel 11 lebih tinggi berbanding Artikel 12 dalam isu ini, di mana
Artikel 11 menjamin setiap individu kebebasan hatinya tetapi Artikel 12 hanya
menjamin hak ibu bapa menentukan agama individu bawah umur semata-mata atas
tujuan arahan agama,” katanya. – 2 Mac, 2015.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Pelajar Sabah Masuk Islam Tidak Sah Kerana Bawah Umur, Kata Peguam" penulisan Jennifer Gomez bertarikh 2 Mac 2015)