Jesus dari perkataan asal Ibrani "Yeshua" (disebut Yeh-SHU-ah) |
Oleh Dr. Michael Brown:
Sepelik-peliknya soalan-soalan itu, namun kerana ianya telah dibangkitkan berulangkali, bererti bahawa ianya perlu dijawab, dengan itu beberapa jawapan ringkas telah disediakan di bawah.
Nama asal Ibrani-Aramaik Jesus ialah yeshu'a, yang merupakan singkatan untuk yehoshu'a (Joshua), seperti Mike ialah singkatan untuk Michael. Nama yehoshu'a telah muncul 27 kali dalam Kitab Suci (Perjanian Lama) yang ditulis dalam bahasa Ibrani, terutamanya merujuk kepada imam besar selepas pembuangan negeri ke Babel, dipanggil dengan yehoshu'a (lihat contoh Zakaria 3:3), dan juga lebih kerap sebagai yeshu'a (lihat contoh Ezra 3:2). Jadi. nama Yeshua itu bukanlah nama yang jarang-jarang digunakan; ternyata seramai lima lelaki yang berbeza memiliki nama itu dalam Perjanjian Lama. Dan inilah cara nama itu telah menjadi "Jesus" dalam bahasa Inggeris: Dinyatakan di sini secara ringkas, inilah sejarah asal-usul nama Jesus: Dari bahasa Ibrani-Aramaik yeshu'a, menjadi dalam bahasa Yunani Iesous, kemudian dalam Latin Iesus, datang melalui bahasa Jerman, dan kemudian, akhirnya kepada bahasa Inggeris sebagai Jesus.
Jadi, mengapakah setengah-setengah orang merujuk kepada Jesus sebagai Yahshua? Sebenarnya tidak ada asas untuk sebutan itu - langsung tidak ada - dan saya katakan ini sebagai seorang yang memiliki kedoktoran (Ph.D.) dalam bahasa-bahasa Semitik. Saya hanya dapat mengagak bahawa ada orang-orang yang ghairah tetapi tidak mengerti ilmu bahasa yang memikirkan bahawa nama Yahweh seharusnya menjadi sebahagian yang nyata dalam nama Juruselamat kita, oleh itu YAHshua dan bukannya Yeshua - tetapi sekali lagi, tidak ada sebarang asas untuk teori seperti itu.
Kitab Suci dalam bahasa Ibrani menyatakan yeshu'a; apabila penulis-penulis Septuagint menulis nama ini dalam bahasa Yunani, mereka menulisnya sebagai Іησους (Iesous, tanpa sebarang tanda adanya yah di permulaan nama itu); dan hal yang sama juga boleh dikatakan mengenai penterjemah-penterjemah Peshitta apabila mereka menulis nama Yeshua ke dalam bahasa Syriak (sebahagian daripada keluarga bahasa Aramaik). Semua ini adalah jelas dan konsisten. Nama Jesus dalam bentuk asalnya ialah yeshu'a, dan tidak ada nama seperti yahshu'a (atau yahushua dan sepertinya).
Bagaimana pula tuduhan bahawa nama Jesus (dalam Yunani Iesous) ada kaitan dengan Zeus? Ini adalah salah satu dakwaan paling gila-gila pernah dibuat, tetapi ianya telah disebarkan dengan lebih meluas dalam beberapa tahun kebelakangan ini (Internet adalah alat yang hebat untuk menyampaikan maklumat yang salah), dan terdapat orang-orang Kristian yang merasakan bahawa bukan sahaja lebih baik menggunakan nama asal Ibrani-Aramaik, Yeshua, tetapi adalah salah untuk menggunakan nama Jesus. Oleh kerana itu, kita akan secara singkat meneliti dakwaan ini dan mendedahkan pemikiran salah yang menunjanginya.
Menurut mendiang A.B. Traina dalam Holy Name Bible penulisannya, "Nama Anak, Yahshua, telah diganti dengan Jesus, Iesus, dan Ea-Zeus (Healing Zeus)."
Dalam ayat yang pendik ini, dua mitos (hal yang tidak benar) telah dinyatakan sebagai fakta. Pertamanya, tidak ada nama seperti Yahshua (seperti yang telah kita jelaskan tadi), dan kedua, tidak ada sebarang kaitan antara nama Yunani Iesous (atau nama Inggeris Jesus) dengan nama Zeus. Tidak ada langsung! Mungkin lebih baik anda mengatakan bahawa Tiger Woods ialah nama hutan di India yang penuh dengan harimau daripada anda cuba mengaitkan nama Jesus kepada dewa pagan Zeus. Ianya begitu tidak masuk akal, dan ianya disebabkan tiada pengertian mengenai linguistik (ilmu bahasa).
Berikut satu lagi kenyataan yang juga tidak masuk akal.
"Secara ringkasnya, "Jesus" adalah terjemahan Rumi yang tidak bagus dari Latin, dan itu juga tidak diterjemah dengan baik dari bahasa Yunani, yang mana LANGSUNG tidak menyerupai nama Ibraninya, "Yahushua." Wah! Mengertikah? Lebih-lebih lagi, menurut ENCYCLOPEDIA BRITANNICA, nama Ieusus (Jesus) adalah gabungan dua dewa IEU dan SUS (ZEUS, dewa Yunani). Dalam mitos Gnostik dan Yunani, mereka adalah dewa yang sama. Jadi kelihatannya nama "Jesus" mempunyai asal-usul kedewaan. Itu tidak baik! Tetapi secara lebih adil, setengah-setengah orang Kristian Messianik tidak bersetuju dan mengatakan bahawa tidak ada bukti nyata untuk mengaitkan "Jesus" kepada "Zeus." Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan mereka." (http://www.wwyd.org/)
Jawapan untuk kenyataan ini (yang tidak banyak mendapat sokongan) ringkas sahaja: Kita tahu dari mana datangnya nama Iesous - dari Kitab Suci Yahudi Septuagint! Dalam kata lain, ini bukanlah penyalahgunaan pada zaman yang kemudiannya, nama dewa untuk nama Juruselamat; sebaliknya ianya adalah cara Yunani yang semulajadi untuk menyebut nama Ibrani-Aramaik Yeshua sekurang-kurangnya dua kurun sebelum kelahiran-Nya, dan ianya adalah bentuk nama yang ditemukan dalam lebih 5,000 manuskrip Yunani Perjanjian Baru. Ini cukup menjelaskan! Nama Iesous juga terdapat dalam penulisan Yunani lain di luar Perjanjian Baru dan berasal dari rangka waktu yang sama umumnya.
Walaupun didakwa bahawa Encyclopedia Britannica mengatakan bahawa, "nama Ieusus (Jesus) adalah gabungan dua dewa IEU dan SUS (ZEUS, dewa Yunani)," sebenarnya ianya tidak ada mengatakan yang seperti itu. Ini adalah satu kepalsuan sama sekali, samada disengajakan ataupun tidak. Pendik kata, seperti seorang Kristian berbangsa Yahudi pernah mengatakan, "Mengaitkan Jesus dengan Zeus, sama seperti mengaitkan Musa dengan musang."
Malangnya, ada di antara guru-guru popular yang terus
memegang kepada kaitan Jesus-Zeus. dan ada ramai orang Kristian yang mengikuti
kesarjanaan palsu, dalam ajaran-ajaran pinggiran yang kononnya menyatakan
kebenaran yang baru. Bukan sahaja pengajaran dan amalan-amalan ini penuh dengan
kesalahan, tetapi ianya juga langsung tidak memberi manfaat. Jadi kepada
orang-orang Kristian yang berbahasa Inggeris, saya katakan, "Jangan malu
menggunakan nama JESUS! Itulah cara yang betul untuk menyebut nama-Nya dalam
bahasa Inggeris - seperti juga Michael ialah cara Inggeris yang betul untuk
menyebut nama Ibrani mi-kha-el dan Moses adalah cara Inggeris yang
betul untuk mengatakan nama Ibrani mo-sheh. Berdoalah dalam nama Jesus,
menyembah dalam nama Jesus, dan bersaksilah dalam nama Jesus. dan bagi mereka
yang ingin lebih mengenalkan diri dengan keperibadian Yahudi, Mesias kita,
rujuklah kepadanya dengan nama-Nya yang asal iaitu Yeshua - bukan Yahshua atau
Yahushua - sambil mengingati bahawa kuasa dalam nama itu bukanlah terletak
dalam bahasa sebutannya tetapi pada peribadi yang dirujukkan, Tuhan,
Penebus dan Raja kita.
(Diterjemahkan daripada artikel laman Ask Dr. Brown bertajuk, "What Is The Original Name For Jesus? And Is It True That The Name Jesus Is Really A Pagan Corruption Of The Name Zeus?" bertarikh 3 Januari 2013)
(Diterjemahkan daripada artikel laman Ask Dr. Brown bertajuk, "What Is The Original Name For Jesus? And Is It True That The Name Jesus Is Really A Pagan Corruption Of The Name Zeus?" bertarikh 3 Januari 2013)