Peguam utama keluarga, Jerald Gomez memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kerajaan menyerahkan versi laporan yang diklasifikasikan itu dua minggu lalu, pada 13 September.
Sebelum ini, kerajaan telah berjanji untuk menyerahkan salinan laporan pasukan khas (STF) yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, supaya keluarga dapat menguatkan tuntutan saman mereka berhubung kehilangannya pada 13 Februari 2017.
Gomez memberitahu Hakim Su Tiang Joo, salinan laporan STF yang 'diubah dan diusik' itu melanggar perintah mahkamah untuk kerajaan menyerahkan dokumen yang diklasifikasikan tersebut.
Peguam itu berkata laporan tersebut tidak jelas, tidak dapat dibaca dan gambar-gambarnya telah dikaburkan.
"Ini menjejaskan kemampuan kami untuk mengendalikan kes," kata Gomez menjelaskan pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan penghinaan mahkamah terhadap kerajaan.
Peguam kanan persekutuan, Nurul Farhana Khalid kemudian memaklumkan salinan yang diserahkan kepada keluarga itu disebabkan laporan STF asal masih berada di Kementerian Dalam Negeri.
Wakil kerajaan dari Pejabat Peguam Negara (AGC) menegaskan salinan yang diserahkan kepada keluarga itu tidak diusik tetapi disebabkan masalah dakwat pada salinan tersebut.
Sebelum ini, wakil undang-undang pihak berkuasa dari Pejabat Peguam Negara (AGC) membantah pendedahan laporan pasukan khas (STF) itu dengan alasan ia dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
AGC juga berhujah penemuan STF tidak mengikat kes saman sivil tersebut.
STF ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2020 dan pengklasifikasian semula laporan itu memerlukan tandatangan menterinya, Saifuddin Nasution Ismail.