Babak dari drama bersiri mini "The Bible" di History Channel |
Tokoh TV Mark Burnett yakin sekali bahawa dia telah merasakan hadirat Tuhan semasa penggambaran drama agung keagamaan The Bible di gurun Magribi selepas tiupan angin yang kencang dan tiba-tiba di set penggambaran sebaik sahaja selepas ucapan oleh Yesus Kristus.
Mark Burnett & isteri, Roma Downey |
Penerbit rancangan realiti itu bersama isterinya pelakon Roma Downey telah bekerjasama untuk membawa kisah-kisah daripada buku suci itu ke layar TV, dengan pelakon Portugis Diogo Morgado sebagai Anak Allah, dan dia menjelaskan bahawa kesemua pelakon dan pasukan penggambaran terdiam semasa suatu babak antara Yesus dan Nikodemus kerana mereka benar-benar percaya suatu Kuasa yang lebih besar sedang memperhatikan mereka.
Katanya, "Tangan Tuhan jelas menyertai. Kami berada di kawasan gurun Magribi selama lima bulan. Pada suatu malam ada suatu babak di mana Nikodemus dengan senyap-senyap pergi bertemu Yesus... dan dia bertanya dan berkata, 'Mereka katakan engkau dapat melihat kerajaan syurga'. Yesus menjawab, 'Engkau juga akan dapat melihat kerajaan syurga. Engkau perlu dilahirkan kembali.'
Nikodemus bertanya lagi, 'Apa maksudmu, bagaimanakah aku dapat dilahirkan kembali?' Yesus mengatakan mengenai Roh Kudus, 'Roh itu seperti angin' - dan pada ketika itu angin itu tiba-tiba muncul tanpa disangka. Angin yang bertiup terus selama 30 saat..."
Downey menambah lagi, "Sepertinya kami telah memasang mesin angin, angin itu telah bertiup melalui seluruh kampung, sungguh luar biasa." Drama bersiri mini History Channel itu telah mendapat sambutan hebat di layar televisyen Amerika Syarikat - episod pertama dari drama sepanjang 10 jam itu telah terus merebut tempat pertama rancangan TV kabel yang paling ditonton untuk tahun ini pada penayangan sulungnya bulan ini disaksikan oleh 13.1 juta penonton.
Tontonlah sedutan daripada Drama Bersiri "The Bible" (History Channel)
(Diterjemah daripada artikel Charisma News bertajuk "Mark Burnett: God Was Present on Set of 'The Bible'" bertarikh 14 Mac penulisan Wenn)