Rabu, 10 April 2013

Drama Muzika Hari Kebangkitan Di Calvary Convention Centre

Drama Muzika Hari Kebangkitan "Heaven and Earth Rejoice!"

Dua Sabtu yang lepas, pada 30 Mac 2013, aku bersama keluarga dan beberapa kawan sempat mengunjungi Calvary Convention Centre di Kuala Lumpur untuk menyaksikan drama muzika Hari Kebangkitan berjudul "Heaven and Earth Rejoice!" 

Terletak di Bukit Jalil, dengan kawasan terbina seluas 600,000 kaki persegi dan menelan belanja pembinaan sebanyak RM200 juta, Calvary Convention Centre milik Gereja Calvary KL dikatakan gereja terbesar di Asia Tenggara.


Calvary Convention Centre di Bukit Jalil, Kuala Lumpur

Calvary Convention Centre merupakan bangunan multipleks 6 tingkat yang merangkumi auditorium dengan tempat duduk 5,000 orang, bercantum dengan blok pendidikan dan latihan.

Menurut laman webnya, pusat konvensyen ini didedikasikan untuk penganjuran aktiviti yang bersepadu (holistik). Aktiviti-aktiviti yang akan diadakan termasuk penganjuran konvesyen peringkat antarabangsa, serantau dan kebangsaan, majlis makan, seminar, produksi seni muzik dan kreatif di samping kemudahan untuk kursus pendidikan dan vokasional dan perkembangan rohani.


Calvary Convention Centre - Gambar oleh The Malaysian Insider

Kami sampai di pusat konvensyen itu pada 4.40 petang. Ini kali pertama kami mengunjungi pusat konvensyen yang baru disiapkan ini. Mata kami tercelik luas menikmati rekabentuk luaran pusat konvensyen yang unik ini. Ada yang mengatakan ianya seperti kapal angkasa, ada yang mengatakan seperti lapangan terbang.

Kawasan ruang legar yang bersiling
tinggi dan beraneka warna 
Selepas meletakkan van di lapangan letak kereta di bawah bangunan, kami menaiki dua eskalator (tangga bergerak) sehingga ke tingkat bawah. Dalam perjalanan, kami melihat sebuah dewan serbaguna yang besar. Mungkin akan diadakan bermacam jenis acara di situ kelak. Sampai sahaja ke tingkat bawah, kami terus ke kawasan ruang legar yang menyambungkan bangunan utama dengan bangunan pendidikan untuk melihat siling ruang legar yang beraneka warna umpama pelangi (melambangkan janji Tuhan kepada Nuh).

Lepas itu kami bergegas ke arah auditorium di bangunan utama, drama muzika akan bermula sebentar lagi pada jam 5 petang. "Awesome," kata kawan kami dari Keningau mengenai bangunan gereja yang besar dan indah itu.

Wah, cantik auditorium ini...
Kami pun memasuki auditorium yang serba canggih dan indah itu. Selain dimuatkan dengan 5,000 tempat duduk, auditorium itu juga diperlengkapi dengan ruang orkestra, fly tower (sistem untuk memindahkan peralatan dan set lakonan), dan kemudahan di belakang pentas seperti bilik menyalin pakaian, ruang istirahat, dewan doa dan bilik stor. Selain itu, auditorium itu juga diperlengkapi dengan peralatan audio-visual dan multimedia yang paling canggih, bilik recording, bilik seminar dan bengkel.

Persembahan drama muzika "Heaven and Earth Rejoice!" pun bermula selepas kata-kata aluan oleh Pastor Steven Kum, dan sesi pujian dan penyembahan yang bersemangat. Aku sendiri sangat terharu bila lagu pujian "Nothing Is Impossible" (Planetshakers) dinyanyikan. Aku sedar bahawa multipleks Calvary Convention Centre ini telah menjadi kenyataan kerana kebesaran Tuhan. Tiada yang mustahil bila umat-Nya percaya kepada-Nya!


Drama Muzika Hari Kebangkitan "Heaven and Earth Rejoice!"

Drama muzika itu menceritakan kehidupan Yesus di bumi bermula dengan babak di tahkta kemuliaan Allah, ke palungan di Betlehem, ke jalanan di Yerusalem dan ke kayu salib di Golgota. Para pelakon dalam kostum zaman dahulu kala melakonkan kisah Hari Kebangkitan ini disertai tarian gemalai para penari diiringi nyanyian koir yang merdu. Seramai 270 peserta termasuk pelakon, penari dan penyanyi telah menjayakan drama ini.


Babak Yesus mati di kayu salib 

Pada penghujung drama itu, Senior Pastor Prince Guneratnam menyampaikan mesej mengenai kematian Yesus untuk umat manusia. Katanya, "Yesus telah datang untuk membayar hutang dosa manusia. Sesiapa yang percaya kepada Yesus, hutang dosanya sudah lunas dibayar, dan dia akan memiliki hidup yang baru dalam Tuhan!"


Pastor Prince menyampaikan mesej Hari Kebangkitan di auditorium
(klik di gambar untuk imej lebih besar)

Selepas mesej daripada Pastor Prince, drama muzika itu ditutup dengan babak finale (terakhir) menggambarkan kebangkitan Yesus dari kubur disertai dengan sound effect dan sinaran cahaya yang mengkagumkan. Begitulah kesudahan drama muzika "Heaven and Earth Rejoice!" yang menarik dari Gereja Calvary di auditorium barunya.


Pastor Prince Guneratnam dan isterinya Petrina bergambar
dengan para pelakon, penari dan penyanyi drama muzika

Sudah hampir 7.30 malam, bila kami meninggalkan auditorium Calvary Convention Centre dengan perasaan kagum akan kebesaran kasih Tuhan untuk umat manusia yang berdosa. Suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi kami. Semoga Tuhan terus memakai pusat konvensyen ini untuk kemuliaan nama-Nya!