Rabu, 3 Julai 2013

Kisah Cinta Yang Indah Nick Vujicic dan Isterinya Kanae Miyahara

Nick Vujicic dan isterinya, Kanae Miyahara

Satu kisah cinta yang indah mengenai Nick Vujicic dan isterinya, Kanae Miyahara sedang tersebar di internet.

Nick sewaktu kecil
Nick telah dilahirkan tanpa lengan dan kaki, dan dia tidak pernah fikir bahawa dia akan menjumpai teman sejati yang mahu menghabiskan seumur hidup bersamanya. "Tentu saja aku meragui bahawa aku akan berkahwin, yaitu bahawa aku tidak akan menemukan seorang peribadi yang ingin menghabiskan seumur hidup bersamaku," kata Nick baru-baru ini dalam temuramah video.

Selepas cubaan membunuh diri pada usia 10 tahun, Tuhan telah bekerja dalam hidupnya dengan cara yang luar biasa. Dengan tekad untuk tidak berputus asa, dia telah membesar menjadi seorang anak muda yang menakjubkan, menggunakan kesaksiannya untuk memuliakan Tuhan. 

Tuhan memberkati orang yang rela mengikuti-Nya. Tanpa disangka, Nick telah bertemu dengan puteri idamannya, Kanae Miyahara. Mereka jatuh cinta pada pandangan pertama.

"Aku jatuh cinta dengannya dalam keadaan yang ada padanya sekarang," kata Kanae. Sebelum dia bertemu Nick, dia pernah berpacaran dengan lelaki lain dengan memandang kesempurnaan fizikal, tetapi akhirnya dia menjadi bosan dengan itu. "Pada waktu aku bertemu dengan Nick, aku sedang mencari sesuatu yang lain, dan semuanya itu aku jumpa padanya," kata Kanae. "Dia bukan saja calon teman lelaki, dia juga calon untuk menjadi suamiku."

Apabila Kanae bertemu dengan Nick pada tahun 2008, dia tertarik dengan sifat Nick yang sangat pemurah hati dan suka bersenda. Baginya, Nick sungguh tampan, dan "jodoh yang sempurna." Bagi Nick, "Ianya seperti kuasa elektrik, apabila dia berdiri di sebelahku, ianya rasa cocok sekali."

Mereka juga menceritakan detik Nick melamar kepada Kanae. Ramai orang mungkin bertanya bagaimana Nick dapat meletakkan cincin pada jari Kanae? Persoalan itu terjawab dengan kepintaran unik Nick.


Kanae menunjukkan cincin pertunangan yang diberikan Nick

"Sayang, bolehkah aku mencium tanganmu?" Nick mengingat kembali. "Aku memasukkan cincin itu ke dalam jarinya." Kanae merasakan Nick sedang menggigit jarinya, tetapi kemudian dia melihat cincin itu. 

"Sayang, aku mengasihimu, mahukah engkau mengahwiniku dan menghabiskan sepanjang hayatmu bersamaku?" kata Nick. Kanae cuma dapat menangis.

Ramai orang mungkin ingin tahu adakah sukar bagi mereka menjalani hubungan intim oleh kerana kecacatan jasmani Nick. Nick berkata tiada masalah, "Kami sangat akrab dan mengasihi." Kanae senyum dan berkata, "Dia memiliki segala apa yang dia perlukan."


Nick dan Kanae telah bernikah pada 12 Februari 2012

Selepas perkahwinan mereka, mereka telah menetap di California Selatan. Nick memberi tumpuannya kepada penulisannya dan persiapan ucapan ceramahnya. Kanae pula berperanan sebagai isteri dan menjaga rumahtangga. 

Walaupun mereka mengalami cabaran dalam kehidupan mereka, Nick berkata bahawa isterinya sudah bersedia untuk cabaran-cabaran tersebut, dan dia sangat mengagumi cinta isterinya.

Satu lagi berkat pun mendatang tidak lama kemudian. Percayakah tidak? Kanae sudah hamil dan melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat pada awal tahun ini.

"Nick sangat layak mendapat seorang isteri yang begitu jelita dan seorang bayi lelaki yang begitu comel! Dia sungguh mentaati Tuhan dan telah menyebarkan Berita Baik serta memberikan kesaksian di seluruh dunia dan sekarang Tuhan telah memberi ganjaran kepada hambanya yang setia," begitu komen Judy Lane Cole.


Temuramah: Kisah Cinta Yang Indah Nick Vujicic dan Isterinya


(Diterjemah daripada artikel iPost (Christian Post) bertajuk "The Beautiful Love Story of Nick Vujicic and His Wife Kanae Miyahara" penulisan Paula John bertarikh 21 Jun 2013)