Kaum keluarga dan sahabat handai terus mendoakan kepulangan Ps Raymond Koh yang diculik sejak 13 Februari 2017 (Gambar The Malaysian Insight) |
PIHAK berkuasa agama Malaysia sebelum ini didapati
mengganggu Pastor Raymond Koh selepas mengesyaki beliau memurtadkan orang Islam
kepada agama Kristian, kata suruhanjaya kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap
kebebasan beragama yang menyedari kebimbangan yang semakin meningkat di
kalangan minoriti di sini mengenai kebebasan mengamalkan agama mereka.
Dalam laporan tahunannya, Suruhanjaya Kebebasan Beragama AS
(USCIRF) menambah kebimbangan ini diperkukuhkan lagi dengan laporan
pemimpin agama diganggu dan diculik.
Pastor Raymond Koh diculik pada siang hari pada Februari
yang dilihat seperti satu operasi terancang. Tiada sebarang permintaan
wang tebusan atau komunikasi daripada penculiknya, menunjukkan wang bukanlah
motif perbuatan itu.
Polis tidak mempunyai banyak kemajuan dalam siasatan mereka
terhadap kes yang membimbangkan Kristian dan agama lain.
Gereja dan kumpulan Kristian mempertikaikan walaupun Koh
terlibat dengan cubaan memurtadkan orang Islam, terdapat ruang untuk
mendakwanya di mahkamah.
Malaysia disenaraikan sebagai negara Tahap 2 dalam laporan
yang dikeluarkan minggu ini. Tahap 2 adalah negara di mana kebebasan
beragama memerlukan pemantauan rapi kerana berikutan sifat dan takat
pelanggaran yang dibenarkan kerajaan. Negara lain termasuk dalam Tahap 2 adalah
Afghanistan, Cuba dan India.
Suruhanjaya itu berkata rakyat Malaysia umumnya bebas beribadah
tetapi minoriti sering mengalami diskriminasi berkaitan kepercayaan mereka, dan
ada yang berhadapan kesulitan mengakses bahan agama, seperti Bible, dan
mendapatkan kebenaran untuk membina rumah ibadat.
Ia menambah terdapat laporan penyebaran agama Islam secara
meluas berlaku di sekolah awam, malah sekolah Katolik.
"Majoriti Melayu Islam semakin mengenakan pandangan
ketat dan norma kepada minoriti etnik dan agama yang bukan sahaja memberi kesan
kepada kemampuan kumpulan tersebut mengamalkan agama secara bebas, tetapi juga
mengekang kehidupan seharian mereka. Agama dan etnik minoriti menyatakan
kebimbangan mengenai kerajaan dasar pro-Melayu dan limitasi terhadap hak
mereka untuk mengamalkan kepercayaan secara bebas,” kata suruhanjaya itu.
Ia menegaskan dwi sistem mahkamah, sivil dan syariah, serta
peguam undang-undang persekutuan dan negeri, surat perintah sultan, fatwa,
menghakis tanggapan sebuah negara sekular dan Perlembagaan sebagai
undang-undang tertinggi di Malaysia.
Suruhanjaya itu mencadangkan kepada kerajaan AS:
* Hak asasi manusia dan kebebasan beragama atau kepercayaan
dilakukan secara konsisten dan secara terbuka di setiap peringkat hubungan
Malaysia-AS.
* Ia menggesa kerajaan Malaysia memastikan semua
undang-undang dan dasar mematuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa,
terutamanya berkenaan kebebasan beragama dan bersuara agama, termasuk hak
menggunakan perkataan “Allah”.
USCIRF memantau hak kebebasan beragama dan kepercayaan di
luar AS dan membuat cadangan dasar kepada presiden Amerika Syarikat, setiausaha
negara dan kongres. – 1 Mei, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Pastor Diculik Pernah Diganggu Pihak Berkuasa Agama, Kata Panel AS" bertarikh 1 Mei 2017)