Khamis, 29 Jun 2017

Program Pengislaman Melalui Kad Pengenalan Di Sabah: JPN Tidak Peka


Oleh ZAINNAL AJAMAIN

KOMENTAR: Sekiranya terdapat Program PengIslaman rakyat Sabah melalui kad pengenalan (MyKad) perlu dihentikan dan semua kesilapan perlu diperbaiki. Program seperti ini tidak membawa apa-apa faedah namun, ia menyusahkan hidup ramai rakyat Sabah dan menjadi punca perbalahan daripada lahir sehingga ke liang lahat.

Pada 13 November 2014, di Dewan Undangan Negeri Sabah yang Keempat Belas, ADUN Kapayan menerima jawapan bertulis daripada YAB Ketua Menteri bersabit dengan tindakan Kerajaan terhadap masalah rakyat Sabah bukan Islam yang mempunyai ‘Bin’ dan ‘Binti’ dianggap Islam dalam MyKad mereka.

Didalam jawapan bertulis tersebut, Ketua Menteri menjelaskan bahawa isu ‘Bin’ dan ‘Binti’ bukan isu agama. Beliau menyatakan bahawa jika ada kesilapan teknikal tercatat Islam pada MyKad sedang kedua ibu bapa bukan Islam pembetulan boleh dibuat serta merta dengan hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara atau JPN.




Sejak pentadbiran British lagi, pentadbiran Borneo Utara menggalakkan rakyat North Borneo meletakkan perkataan ‘Bin’ dan ‘Binti’ di dalam surat lahir mereka. Ini diterimapakai daripada pentadbiran British hinggalah ke pentadbiran Sabah. Masalah mula timbul apabila JPN mula mengambil alih kerja-kerja pendaftaran.

Keadaan ini pula menjadi lebih parah apabila JPN memperkenalkan pendaftaran melalui sistem komputer, di mana agama Islam dimasukkan secara otomatik apabila terdapat perkataan ‘Bin’ dan ‘Binti’. Pembetulan butiran ke dalam komputer bukan mudah untuk diatasi atau ‘override’. Ia perlu dibuat di Kuala Lumpur.

Sekarang tahun 2017 isu seperti ini masih belum dapat diatasi oleh pihak JPN. Kepada rakyat Sabah yang bukan Islam, masalah yang timbulkan oleh JPN ini seolah-olah satu program pengIslaman melalui pendaftaran.

Apabila diselidiki dengan lebih terperinci – ini bukan saja kesilapan teknikal, ia juga mengundang persoalan agama. Rumusan yang dibuat oleh Ketua Menteri di dalam jawapan bertulis beliau adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Pegawai Islam di JPN akan berhadapan satu persoalan berat dalam hidupnya apabila diperlukan memadam atau mengubah agama ‘Islam’ daripada MyKad – siapa yang harus tanggung ‘dosa’ ini? Ini persoalan agama bukan teknikal.

Jabatan Pendaftaran Negara
Jalan selamat yang boleh diambil oleh pegawai Islam ini adalah dengan tidak membuat keputusan sendiri dan menolak keputusan kepada mereka yang lebih ‘arif’ – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Namun JHEAINS tidak mempunyai kuasa untuk memadamkan ‘Islam’ daripada MyKad. Semua ini menyebabkan lingkaran yang tiada penghujung, sementara rakyat yang terlibat tergantung dengan agama ‘Islam’ dalam MyKadnya.

Mereka akan menghadapi pelbagai masalah dalam hidup mereka. Anak-anak mereka yang baru lahir tidak dapat dibaptis, mereka tidak boleh berkahwin di dalam Gereja, semasa kahwin nanti akan menimbulkan pelbagai masalah di antara pasangan lelaki dan perempuan; keadaan ini akan lebih menyedihkan apabila mereka mati – tidak dapat disembahyangkan di Gereja – ada juga terdapat kes di mana mayat jadi rebutan atau kubur digali semula.

Semua ini berlaku disebabkan JPN tidak peka dan berdalih membuat penyelesaian. Namun yang lebih parah, kenapa perkara ini tidak dapat diselesaikan walaupun Ketua Menteri Sabah dan Dewan Undangan Negeri Sabah sudah membuat keputusan mereka sejak 2014 lagi.

Adakah disebabkan JPN sebuah agensi Kerajaan Pusat maka mereka mampu memperlekeh keputusan Ketua Menteri Sabah dan Dewan Undangan Negeri Sabah?

Adakah JPN mahu menunjukkan bahawa mereka adalah Tuan dan Sabah Koloni Malaya?

(Diambil daripada artikel Borneo Today bertajuk "Program Pengislaman Melalui Kad Pengenalan Di Sabah; JPN Tidak Peka" yang ditulis oleh Zainnal Ajamain bertarikh 29 Jun 2017)