Kira-kira 1,500 penganut dijangka hadir di Gereja The Rock,
sebuah gereja Evangelical Borneo (BEM) di Miri untuk acara tiga hari itu yang
akan dipenuhi dengan acara keagamaan termasuk bacaan kitab suci dan kerohanian.
"Kita tidak dapat membuatnya secara besar-besaran
kerana pembatalan awal acara itu," kata Pastor Andy Anyi Wan.
Bilangan peserta akan jauh kurang daripada puluhan ribu yang
dijangka pada perhimpunan besar-besaran bertema "All Borneo Revival
Convocation" itu yang telah dijadualkan diadakan di Sarawak sebelum penganjur
memutuskan untuk membatalkannya dua minggu lalu.
Persatuan Gereja Sarawak sebelum ini membatalkan perhimpunan
kebangkitan di negeri ini selepas acara sama bertemakan "Jerusalem
Jubilee" diharamkan
di Melaka setelah dibantah beberapa kumpulan Islam yang mendakwa
penganjur tidak sensitif kerana mengadakan perhimpunan itu pada Ramadan.
"Acara ini berbeza dan lebih sederhana," kata
Reverend Augustine Saang, jurucakap Good News Ministry yang berpusat di Sabah.
"Akan ada beberapa ratus orang melawat dari Sabah. Mereka
ibu bapa pelajar di Curtin University di Miri," katanya.
Empat perhimpunan diadakan tanpa sebarang kejadian tidak
diingini berlaku di empat lokasi di Sabah dalam tempoh dua minggu lalu,
termasuk satu di Keningau di mana 10,000 penganut Kristian hadir pada upacara
keagamaan itu.
Sebelum ini, gereja Sarawak membatalkan acara itu walaupun
kerana negeri tidak membantah penganjurannya, menyebabkan Menteri Perpaduan dan
Integrasi Nasional Joseph Kurup mempersoalkan mengapa
acara itu dibatalkan kerana Sarawak mempunyai jumlah populasi Kristian yang
besar.
Berikutan pengharaman perhimpunan kebangkitan Melaka, Ketua
Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Pusat (Centhra) Azril Mohd
Amin mendesak supaya evangelikalisme diharamkan.
Gesaannya disokong tokoh Islam konservatif yang mendakwa ada
kumpulan Kristian berkonspirasi untuk "mengkristiankan" rakyat
Malaysia di mana majoritinya beragama Islam.
Pemimpin PKR Sarawak Baru Bian dan Majlis Gereja Sabah
menyifatkan komen Azril, yang diterbitkan Utusan Malaysia, sebagai "penuh
kemarahan" dan "menghasut". – 21 Jun, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Tidak Ramai Dijangka Hadir Perhimpunan Kristian Di Miri" bertarikh 21 Jun 2017)