Rabu, 28 Ogos 2019

3,000 Sertai Acara Walk For Jesus Di Kota Kinabalu



Kota Kinabalu: Acara dwi-tahunan Walk for Jesus menarik penyertaan kira-kira 3,000 penganut agama Kristian pelbagai denominasi di Bandaraya.

Dianjurkan bersama oleh Persatuan Persaudaraan penjara Malaysia dan Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC), peserta-peserta menamatkan acara berjalan sejauh 3.5 kilometer dari Padang Merdeka ke Katedral Sacred Heart.

Bertemakan “Perpaduan dan Doa”, acara sama diadakan serentak di 22 lagi bandar di Sabah dan Limbang, Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, berkata acara itu adalah satu demonstrasi terbaik perpaduan penganut agama Kristian yang bersama-sama untuk “mendoakan negara dan negeri kita yang tercinta”.

“Keprihatinan kamu dengan berjalan di bandar-bandar untuk memberkati setiap pusat bandar dan mengumpul dana untuk golongan miskin dan memerlukan wajar dipuji,” katanya ketika merasmikan acara itu, di sini, Ahad.

“Ini menunjukkan bahawa Gereja mempunyai hati untuk semua orang tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang sosial.

“Ini akan membantu memupuk semangat kepercayaan, perpaduan dan muhibah dalam masyarakat kita.”

Beliau juga gembira kerana komuniti Kristian mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan acara sedemikian bagi mewujudkan lebih banyak kesedaran awam untuk menyokong usaha kerajaan dalam membendung kejahatan yang semakin meningkat di dalam masyarakat - penyalahgunaan dadah, keganasan dan perlakuan tidak bermoral, antara lain.

“Hanya kembali kepada Tuhan dan kepercayaan dalam kehidupan baru yang ditawarkan Tuhan dapat menghancurkan kejahatan sedemikian dan memperbaiki kehidupan dan kesejahteraan semua orang.”

Beliau juga berharap rakyat akan berdoa agar negeri dan negara ini dianugerahkan keamanan, kemakmuran serta perpaduan.

Sementara itu, presiden SCC Bishop James Wong berkata acara berjalan itu dianjurkan sempena Bulan Kebangsaan.

“Matlamatnya adalah untuk menyatukan masyarakat Kristian untuk berdoa bagi bandaraya Kota Kinabalu, negeri dan negara kita.

“Ketika acara berjalan ini, kita berdoa untuk beberapa aspek bagi negeri dan negara termasuk tadbir urus yang baik, pendidikan, pelancongan, kewangan, pembangunan dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah, semua kutipan dari acara berjalan itu akan diserahkan kepada Persatuan Persaudaraan penjara.

“Persatuan Persaudaraan penjara adalah sebuah badan yang membantu banduan yang menjalani proses pemulihan,” katanya, sambil menambah ia memberikan sokongan kepada keluarga banduan yang memerlukan.

(Diambil dari artikel Daily Express bertajuk, "3,000 Sertai Acara Walk For Jesus Di Kota Kinabalu" yang ditulis oleh Ricardo Unto dan Anthea Peter bertarikh 26 Ogos 2019)