Rakyat Malaysia berkumpul di luar Istana Negara selepas kemenangan 9 Mei 2018 (Foto dari artikel Malay Mail) |
Oleh YB Hannah Yeoh:
Menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal
diraikan di tengah-tengah kemarahan dan kekecewaan yang semakin meningkat
terhadap Kerajaan hari ini, saya hanya mahu kita berdoa memohon dua perkara
(ini kerana saya selalu ditanya mengenai perkara ini), iaitu:
-berdoa semoga kita berjaya menghapuskan amalan rasuah.
Selepas 9 Mei 2018, kita masih lagi berhadapan dengan saki-baki kesan daripada
amalan rasuah yang berlaku sebelum ini. Akibatnya, mereka yang biasa mendapat
manfaat daripada sistem terdahulu kini terpaksa bergelut akibat tidak lagi
mempunyai peluang. Manakala sesetengah yang masih baharu pula tidak biasa
dengan terlalu banyak kuasa di tangan. Pembinaaan dan reformasi institusi masih
berjalan. Lagu ‘Malaysia Bersih’ yang dimainkan selepas nyanyian lagu
kebangsaan di setiap majlis rasmi Kerajaan bertujuan memperingatkan kakitangan
awam akan identiti Malaysia yang baharu ini.
-berdoa untuk golongan pertengahan yang baharu. Malaysia
baharu ini masih lagi bergelut dengan saki-baki isu perkauman dan ekstremism
selepas 9 Mei 2018. Benteng ini akan digunakan bagi menolak setiap polisi yang
diputuskan atau apa-apa kejadian yang berlaku (termasuklah kemalangan di
jalanraya) ke penjuru isu bangsa dan agama sahaja. Golongan sederhana dan
pertengahan pula akan didakwa mengkhianati bangsa mereka sendiri. Ini kerana,
sesetengah parti politik masih lagi bergantung dengan sentimen ini untuk terus
hidup dan kekal relevan malah mereka ini juga memiliki syarikat media arus
perdana untuk dipergunakan semahunya.
Dalam usaha untuk menjayakan Malaysia Baharu yang lebih
inklusif, kita mesti membuang rasa takut dan curiga antara satu sama lain. Ada
yang takut dengan cahaya lampu yang berbentuk salib atau tulisan kaligrafi Cina
di dalam pejabat menteri. Ada pula yang takutkan tulisan jawi. Ini adalah
gambaran kepada diri kita sendiri – ketakutan dalam diri yang kita tuduh kepada
orang lain. Kita perlu mengadakan lebih banyak libat urus dan perbincangan bagi
membuang semua ketakutan ini. Seluruh negara telah terganggu sepanjang 2 minggu
yang lepas. Perbicaraan 1MDB baharu sahaja bermula. Dan bagi kes rasuah yang
lain, kita masih berusaha menjejaki mereka yang licik menyembunyikannya.
Akhir sekali, jangan kita teralih dari isu yang sebenar.
Rakyat Malaysia telah berjaya menakluki ketakutan mereka dan mampu melepasi
semua halangan bagi menjayakan 9 Mei. Tindakan kita hari ini akan menentukan
masa depan anak-anak kita. Terlalu banyak yang perlu dipertaruhkan. Biarkan
anak-anak kita untuk bermain bersama-sama. Benarkan mereka bergaul melangkaui
batas-batas yang kita sendiri bina.
Ayuh semua rakyat Malaysia, kita maju ke hadapan.
Dasar-dasar yang terbaik tidak terbina melalui ektremism. Saki baki amalan
rasuah dan perkauman hanya akan mengembalikan ‘hari kegemilangan’ mereka sahaja
– dan memberikannya semula kepada mereka adalah tindakan yang tidak bijaksana.
Jangan benarkan Malaysia Baharu ini diruntuhkan, kita tidak akan mampu
menanggungnya.
YB Hannah Yeoh adalah wakil rakyat untuk Segambut dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
(Diambil daripada catitan Facebook Hannah Yeoh bertarikh 13 Ogos 2019)