Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) Hermen Shastri
membidas Ikatan Islam Malaysia (Isma) berhubung kenyataan tentang pemimpin
Kristian tempatan di konvensyen Ummah pada Ahad lalu.
Shastri berkata pihaknya "mengecam dengan keras"
kenyataan yang dibuat oleh pengerusi Gerakan Pembela Ummah dan presiden Isma
Aminuddin Yahaya yang mendakwa liberalisme dan Kristianisasi menimbulkan
ancaman kepada Islam.
"Ia tidak berasas dan bermaksud untuk menakut-nakutkan
umat Islam agar melihat orang Kristian sebagai musuh.
"Ia hanya menunjukkan bahawa Ummah bankrap idea-idea
dan oleh itu, merasakan perlu menggunakan taktik sedemikian untuk memecahkan
negara kita dan menimbulkan ketakutan antara agama," katanya, seperti
dilapor Malay Mail.
Shastri berkata tuduhan Aminuddin boleh dianggap
membangkitkan kebencian terhadap masyarakat agama minoriti.
"Pihak berkuasa perlu bertindak tegas untuk
menghentikan tindakan sedemikian yang berusaha menghancurkan hubungan antara
agama yang baik di negara ini," katanya.
Aminuddin, dalam ucapannya, mendakwa mubaligh Kristian
secara terbuka mengajar kepada umat Islam.
"Mereka kini menggesa untuk mengeluarkan kata 'Islam'
daripada MyKad. Mereka telah menggesa untuk sekian lama.
"Mereka bekerjasama dengan mubaligh Kristian Barat
untuk berdakwah di kampus. Salah satu misi mereka adalah melantik sebanyak
mungkin pemimpin Kristian di negara ini," kata Aminuddin.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Majlis Gereja Kecam Dakwaan Presiden Isma Tentang Mubaligh Kristian" bertarikh 27 Ogos 2019)