Rabu, 11 September 2019

25,000 Orang Dijangka Hadiri Malam Pentakosta Di Kuching


Seramai 25,000 orang dijangka menghadiri Malam Pentakosta hujung minggu ini (14 & 15 September) di Padang Sukan Jubilee, Kuching, begitu dilaporkan oleh The Borneo Post. 

Ketua-ketua gereja dan paderi-paderi senior telah menyeru kepada orang-orang Kristian dari pelbagai denominasi untuk mengambil bahagian dalam perkumpulan antara denominasi pertama yang begitu besar itu di Sarawak.

Beribu-ribu orang percaya dari Sabah, Brunei, Kuala Lumpur dan Indonesia dijangka hadir dalam pertemuan yang bertema "Roh Kudus dan Penuaian".


"Kita mesti bekerjasama sebab kita adalah satu dalam kesatuan Kristus dan satu dalam merayakan kurnia Roh Kudus," kata pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS), Most Rev Simon Poh dalam satu siaran akhbar semalam. 

Borneo Post juga melaporkan sokongan dari ketua-ketua gereja yang lain termasuk Rt Rev Danald Jute (Bishop Anglikan di Sarawak dan Brunei). Rev Dr Tie King Tai (Presiden Gereja Methodist Sarawak Chinese Annual Conference), Rev Datuk Dr Justin Wan (Presiden Borneo Evangelical Mission) dan Rev Steward Damat (Presiden Gereja Methodist Sarawak Iban Annual Conference).

Pastor-pastor dan wakil-wakil dari gereja-gereja lain seperti Gereja Baptis, Gereja Presbyterian, Gereja Seventh Day Adventist, Gereja Lutheran, Gereja Bethany, Gereja Latter Rain, dan pelbagai gereja bebas juga telah menyatakan sokongan untuk Malam Pentakosta ini.


Pengkhutbah untuk acara dua malam ini adalah Pastor Philip Mantofa dari Gereja Mawar Sharon di Surabaya, Indonesia. Dikenali dengan berkat kurnia Roh Kudus, Pastor Philip memiliki rasa kasih dan komitmen besar untuk mencetuskan api Roh Kudus di kalangan generasi muda. 

Marilah kita beramai-ramai menyertai Malam Pentakosta ini di Padang Sukan Jubilee hujung minggu ini!