Steven Sim Chee Keong (Gambar Bernama) |
PETALING JAYA: Steven Sim Chee Keong hari ini tampil
menjelaskan ucapannya di satu forum pada 14 Sept lalu, selepas pemimpin PAS
mendakwa beliau mempromosi “The Kingdom of God” dan “The Jesus Manifesto” di
satu forum.
Timbalan menteri belia dan sukan itu menjelaskan dia
diundang ke forum “Anak Malaysia? Our story of past, present and future
Malaysia” yang berlangsung dalam sebuah gereja untuk penganut Kristian, yang
membincangkan tanggungjawab mereka sebagai rakyat.
Steven berkata dia dalam ucapannya mengajak penganut
Kristian menjadi rakyat yang baik sambil merujuk kepada kitab suci mereka.
“Dalam ucapan saya, saya mengetengahkan nilai-nilai dalam
Bible sebagai panduan menjadi warganegara yang baik, contohnya, keadilan,
ketelusan, membantu golongan yang lemah dan miskin, menolak rasuah, penindasan
dan perkauman.
“Saya tidak mengkritik atau menyentuh mana-mana agama, malah
mengajak penganut Kristian untuk menjadi warganegara yang mengamalkan
nilai-nilai tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man
memberitahu Pakatan Harapan jangan memomokkkan penyatuan ummah, walhal dalam
masa sama pemimpin DAP mempromosi “The Kingdom of God” dan “The Jesus
Manifesto” dalam satu forum Naratif Malaysia Baharu pada 14 Sept lalu.
“Adakah agenda Kristianisasi dalam politik Malaysia satu
tindakan yang wajar?” katanya sambil mengggesa polis harus siasat tindakan
Steven itu.
Dalam jawapannya, timbalan menteri menyeru Tuan Ibrahim
menghormati kebebasan beragama dan berhenti menabur kebencian serta perpecahan
dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Saya Ajak Penganut Kristian Jadi Rakyat Baik, Steven Jawab Tuan Ibrahim" bertarikh 18 September 2019)