Jumaat, 22 April 2022

Ketika Saya Ikuti Ibadah Jumaat Agung Di SIB Bandar Labuan


Oleh Abigail Aneng Jubilee:

Jumaat lepas, saya beribadah di Gereja SIB Bandar Labuan. Sebelum saya pergi ke gereja, saya sebenarnya sedang berjimat duit dan waktu itu saya tidak mempunyai kereta milik sendiri apatah lagi sepasang kasut yang bagus untuk ke gereja. Tempat untuk saya masukkan kaki saya di sandal tersebut hancur dan kelihatan sudah terbuka namun bila saya masukkan tapak kaki saya, ia masih nampak dalam keadaan yang bagus.

Saya benar-benar rasa seluruh hidup saya sudah hancur berkecai sebenarnya dan hati saya sudah dilanda ribut dan taufan oleh keadaan dunia ini. Waktu itu juga saya amat berada dalam keadaan tertekan dan sedang berusaha untuk menyiapkan sebuah laporan. Saya belum sempat makan pagi itu dan saya benar-benar berada dalam keadaan yang amat sibuk. Kehidupan saya seperti dalam keadaan yang tergesa-gesa bagaikan mengejar bas sekolah setiap pagi. 

Saya benar-benar tidak bersedia untuk ke gereja hari itu walaupun saya memakai pakaian yang lebih formal daripada hari-hari sebelumnya. Saya akui bahawa dalam diri saya seperti ada harapan nipis untuk dapat datang ke gereja. Namun saya rasa hati saya sudah jauh dari Tuhan. Waktu itu seperti ada pergelutan yang luar biasa dalam diri saya.

Dalam keadaan saya seperti itu, saya mendengarkan bisikan Roh Kudus yang menggerakkan hati saya untuk ke gereja. Lalu saya tinggalkan kerja yang seperti tiada penghujungnya itu kemudian saya pergi ke gereja.

Di gereja, saya benar-benar merasakan suatu kelainan dalam atmosfera di dalam gereja tersebut. Saya boleh merasakan hadirat Tuhan dalam gereja tersebut. Saya tidak sangka bahawa ketika saya menyanyikan lagu pujian, hati saya amat tersentuh sebab Tuhan telah menemukan saya yang telah lama hilang ini. Ketika saya menutup mata dan menyanyi memuji Tuhan, gambaran seekor domba putih tiba-tiba muncul kepada saya. Saya amat bersyukur kerana kedatangan Tuhan adalah menemukan saya yang hilang ini. Walaupun kasut saya sedemikian rupa, hati dan jiwa saya lagi hancur. Dalam keadaan saya yang hancur ini, Tuhan telah menemukan saya seperti domba hilang yang ditemukan semula.

(Artikel ditulis oleh Abigail Aneng Jubilee bertarikh 22 April 2022)