Jumaat, 8 April 2022

Tuhan Tahu Masa Depan


"Mak, Ayah tak bangun!" anak lelaki saya, Daniel yang berusia 7 tahun, sedang menjerit dari ruang tamu. "Bangun, Ayah, Bangun!" 

Saya separuh terjaga apabila mendengar jeritan anak lelaki saya. Kemudian saya mendengar suara yang lembut dan hening dari Roh Kudus, "Semuanya akan baik."

Adakah ini yang Tuhan telah nyatakan kepada saya beberapa bulan yang lepas? Saya terfikir sambil cuba bangun dan bergerak, sambil seluruh waktu itu mendengar anak lelaki saya menjerit-jerit di ruang tamu.

Beberapa bulan sebelum itu, Roh Allah telah berbicara kepada roh saya, "Engkau akan menemukan suamimu sudah meninggal dunia pada suatu pagi tak lama lagi." Tak lama lagi? Apakah maksudnya tak lama lagi? Kita tak pernah tahu. Saya telah berusaha meluangkan masa dengan sebaiknya bersama suami selepas itu, tetapi bila mengimbas kembali, saya sepatutnya dapat melakukan lebih lagi.

Pada pagi itu, setelah saya akhirnya bangun, saya bergegas ke ruang tamu. Di situlah suami saya, terbaring di lantai, tiada lagi bernyawa. Saya berlari kepadanya, tetapi tiada apa lagi yang dapat dilakukan. Dia sudah pergi sejak sekian waktu. 

Ketika waktu malam, suami saya telah bangun tidur, seperti yang sering dilakukannya dan pergi menonton TV. Seorang pengkhutbah telah ditayangkan dalam siaran TV dan nota-nota suami saya ada di lantai di hadapannya. Jantungnya telah berhenti berdenyut. Sambil kami tidur, dia sudah berpergian untuk bersama Yesus selamanya. 

Yohanes 16:13 (AVB) memberitahu kita:

Tetapi apabila Dia, iaitu Roh Kebenaran datang, Dia akan membimbingmu ke arah segala kebenaran. Roh itu tidak akan mengatakan sesuatu menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan menyampaikan apa yang didengar-Nya dan memberitahumu apa yang akan terjadi.

Tuhan telah mempersiapkan saya untuk hari itu, seperti mana Yesus telah mempersiapkan murid-murid-Nya dalam Lukas 9:21-22 (AVB):

Dengan tegasnya Yesus melarang mereka memberitahu hal ini kepada sesiapa pun; dan menambah, "Anak Manusia harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan dibangkitkan semula."

Murid-murid Yesus tidak memahami apa yang Yesus sedang katakan. Mereka mempunyai fikiran mereka sendiri dan itu menyebabkan mereka tidak dapat memahami.

Adakah saya telah benar-benar mendengar? Atau adakah saya telah meletakkan pengertian saya sendiri terhadap apa yang Tuhan telah memberitahukan saya? Jika saya lebih terbuka kepada Tuhan, adakah Dia akan memaklumkan lebih lagi? 

Mengimbas kembali, saya kepingin lebih terfokus pada waktu yang masih terluang bersama suami saya. 

Ada dua pelajaran yang saya pelajari melalui pengalaman ini:

- Pertama, jangan pernah menambah fikiran saya sendiri pada apa yang Tuhan telah katakan.

- Kedua, sentiasa terbuka untuk menerima apa sahaja yang Tuhan mahu kongsikan dengan saya. 

Roh Kudus sedang bekerja dalam kehidupan orang-orang percaya. Tetapi kita ada pilihan untuk mendengar. Kebanyakan orang memiliki radio dalam kereta mereka. Radio itu sentiasa menerima isyarat, tetapi jika radio itu tidak disambungkan kepada sesuatu rangkaian, pemandu itu tidak akan dapat mendengar siaran itu. Kita mesti disambungkan - dan memastikan rangkaian-rangkaian kita terbuka kepada apa yang Roh Kudus katakan.

Inilah doa saya untuk semua orang percaya.

Tuhan Allah, bantulah kami untuk mengfokus kepada-Mu dan mendengar suara-Mu. Engkau telah mengatakan dalam Yohanes 10:27:

Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku.

Tuhan tolong kami, sebagai domba-domba-Mu, untuk mendengar dan mentaati-Mu. Terima kasih kerana mengampuni kami dan menolong kami bertumbuh dalam perjalanan rohani ini bersama-Mu. Kami perlu lebih mengenali-Mu! Dalam nama Yesus, amen.

(Diterjemahkan daripada artikel CBN bertajuk, "He Knows The Future" yang ditulis oleh Lina Johnson)