Isnin, 18 Julai 2022

Memberi Persepuluhan Demi Masa Lampau, Kini dan Masa Depan


Oleh Pastor Rick Warren:

"Muliakanlah Tuhan dengan hartamu dan dengan hasil pertama daripada segala penghasilanmu, maka segala bangsal hasil tuaianmu akan terisi hingga melimpah-ruah dan meluaplah air anggur di dalam segala tempat pemerasan anggurmu" (Amsal 3:9-10, AVB)

Dalam Firman-Nya, Allah telah memerintahkan kita untuk memberi kembali kepada-Nya 10 peratus yang pertama yang kita perolehi. Itu dipanggil persepuluhan.

Kenapakah Allah menyuruh anda melakukan itu? Dia pastinya tidak memerlukan wang anda. Semuanya milik-Nya dari mula lagi. Dia hanya meminjamkannya kepada anda sementara anda hidup. 

Alkitab berkata anda harus mengamalkan prinsip mengutamakan Allah terlebih dahulu dalam penghasilan anda demi tiga sebab: masa lampau, masa kini dan masa depan.

Pertamanya, memberi persepuluhan kerana kesyukuran untuk masa lampau. Sedarilah bahawa segala sesuatu yang anda pernah miliki adalah pemberian daripada Allah. Anda tidak akan memiliki satupun daripadanya jika bukan kerana kemurahan-Nya!

Keduanya, memberi persepuluhan supaya memiliki keutamaan yang betul pada masa kini. Utamakan Tuhan di tempat pertama dalam segala hal yang anda ingin Dia berkati. Yesus berkata apabila kita mencari Kerajaan-Nya terlebih dahulu dan menjadikan-Nya keutamaan anda, Dia akan menjaga segala keperluan lain dalam hidup anda. 

Ketiganya, memberi persepuluhan untuk masa depan, untuk menyatakan kepercayaan anda pada Allah. Memberi persepuluhan menunjukkan bahawa anda percaya bahawa Allah akan menjaga anda pada masa depan dan bahawa janji-janji-Nya bukanlah bohong. Anda percaya, sambil anda setia kepada perintah Allah hari ini, Allah akan setia kepada anda pada masa depan. 

Anda tahu apa yang saya sukar untuk fahami? Sesetengah orang percaya Allah untuk menunaikan janji-janji-Nya untuk menyelamatkan mereka dan membawa mereka ke syurga - tetapi mereka tidak percaya janji-Nya untuk menjaga mereka secara kewangan jika mereka mengutamakan-Nya terlebih dahulu dalam memberi persepuluhan. Jika anda tidak percaya kepada Allah dengan kewangan anda, jadi bagaimanakah anda dapat percaya kepada Allah untuk keselamatan anda?

"Muliakanlah Tuhan dengan hartamu dan dengan hasil pertama daripada segala penghasilanmu, maka segala bangsal hasil tuaianmu akan terisi hingga melimpah-ruah dan meluaplah air anggur di dalam segala tempat pemerasan anggurmu" (Amsal 3:9-10).

Jangan berikan kepada Allah bahagian yang tersisa. Apabila anda sebaliknya memilih untuk memberikan kepada-Nya yang pertama daripada segala yang anda memiliki, Allah berjanji memberikan segala yang anda perlukan - dan lebih lagi.

(Diterjemahkan daripada artikel Pastor Rick bertajuk, "Tithe For The Past, Present and Future" bertarikh 13 Januari 2021)