Sabtu, 30 Julai 2022

Mengapakah Orang Kadangkala Rebah Dalam Hadirat Tuhan?


Oleh Rick Renner:

Apabila aku [Yohanes] melihat-Nya [Kristus], rebahlah aku di kaki-Nya seolah-olah tidak bernyawa lagi. (Wahyu 1:17, AVB)

Selama bertahun saya melayani Tuhan, saya telah perhatikan bahawa seringkali apabila orang mengalami pertemuan ilahi dengan Tuhan, mereka rebah secara fizikal. Kadangkala mereka jatuh ke hadapan, kadangkala mereka jatuh ke belakang. Dan ada juga pada waktu-waktu lain mereka rebah terus ke bawah. Saya telah melihat ini di banyak kebaktian - dan saya pernah mengalaminya sebagai anak muda. Saya dapat memberitahu anda, pengalaman itu benar.

Pengalaman saya terjadi kali pertama saya melangkah keluar dari Gereja Baptis saya dan menghadiri suatu kebaktian cara Pentakosta. Sejurus sebelum itu, saya telah dikeluarkan dari hospital di mana saya telah dikenalpasti mengidap suatu penyakit buah pinggang - yang sejak lahir - yang amat serius. Ianya begitu serius sehingga untuk merawatnya memerlukan pembedahan yang dianggap merbahayakan nyawa. Ketika orang yang sedang berdoa untuk orang-orang sakit di kebaktian Pentakosta ini mengundang orang-orang sakit untuk maju ke hadapan, saya pergi ke hadapan untuk didoakan, tanpa memiliki apa-apa pengetahuan apa yang akan terjadi. 

Apabila hamba Tuhan meletakkan jarinya di dahi saya, saya merasakan kuasa Tuhan turun ke atas saya. Kaki saya longlai dan saya rebah ke lantai. Saya dapat merasakan kuasa Tuhan mengalir dari hujung ke hujung tubuh saya. 

Apabila saya akhirnya berdiri lagi, saya telah disembuhkan dari penyakit itu. Kesembuhan itu kemudiannya telah disahkan oleh doktor saya - dan dalam berdekad-dekad sejak peristiwa itu - saya tidak mengalami kembali penyakit itu. Saya telah disembuhkan secara luar biasa dan kekal oleh kuasa Roh Kudus ketika saya rebah ke lantai.

Perjanjian Lama dan Baharu memberitahu mengenai orang-orang yang rebah ke tanah apabila mereka bertemu dengan hadirat Allah yang kuat. 

- Daniel 8:17 menyatakan Daniel rebah ke tanah ketika bertemu dengan kemuliaan Allah.

Lalu datanglah ia ke tempat aku berdiri, dan ketika ia datang, terkejutlah aku dan jatuh tertelungkup, lalu ia berkata kepadaku: ”Pahamilah, anak manusia, bahwa penglihatan itu mengenai akhir masa!”
- Matius 17:6 mencatitkan ketika kemuliaan Allah dinyatakan kepada Petrus, Yakobus dan Yohanes, ketiga-tiga mereka rebah ke tanah.

Mendengar itu tersungkurlah murid-murid-Nya dan mereka sangat ketakutan.

Kisah Para Rasul 9:4 dan 26:14 menyatakan Paulus rebah ke tanah apabila dia melihat Kristus dalam perjalanan ke Damsyik.

Ia rebah ke tanah dan kedengaranlah olehnya suatu suara yang berkata kepadanya: "Saulus, Saulus, mengapakah engkau menganiaya Aku?"

Kami semua rebah ke tanah dan aku mendengar suatu suara yang mengatakan kepadaku dalam bahasa Ibrani: Saulus, Saulus, mengapa engkau menganiaya Aku? Sukar bagimu menendang ke galah rangsang.

Wahyu 1:17 memberitahu bahawa rasul Yohanes rebah di kaki Yesus pada permulaan penglihatannya di Pulau Patmos.

Apabila aku melihat-Nya, rebahlah aku di kaki-Nya seolah-olah tidak bernyawa lagi. 

Mari kita melihat pengalaman Yohanes ketika di Pulau Patmos. Wahyu 1:17 menyatakan, "Apabila aku [Yohanes] melihat-Nya [Kristus], rebahlah aku di kaki-Nya seolah-olah tidak bernyawa lagi..." Perkataan "rebah" adalah daripada perkataan Yunani pipto, yang bererti rebah dari kedudukan berdiri. Ianya digunakan kadangkala untuk menggambarkan mereka yang rebah dalam peperangan - yang tentunya boleh bermaksud rebah ke hadapan, rebah ke belakang atau rebah terus ke bawah. Dalam kes Yohanes, dia rebah di kaki Yesus.  

Wahyu 1:17 berkata yang Yohanes rebah seolah-olah "tidak bernyawa" lagi. Perkataan "tidak bernyawa" adalah perkataan Yunani "nekros", iaitu perkataan untuk mayat. Dalam erti kata lain, dalam satu detik, dia seolah-olah tidak bernyawa, dan dia rebah ke hadapan (pipto) di kaki Yesus. Sepertimana dalam banyak kes di mana orang mengalami kemuliaan Allah, kaki Yohanes menjadi longlai dan kekuatan seperti hilang dari tubuhnya sambil dia rebah dalam hadirat Allah. 

Jadi jika anda mendengar seseorang rebah ke lantai dalam hadirat Allah, janganlah terlalu hairan. Ada banyak contoh alkitabiah mengenai orang-orang yang rebah apabila berhubungan dengan kuasa luar biasa Tuhan. "Rebah" ini mungkin bukan perkara biasa di gereja anda, tetapi ianya ada duluan alkitabiah, dan ianya masih berlaku. Seperti yang saya telah nyatakan, ianya tak syak lagi telah terjadi pada saya. 

Bagi saya, pengalaman rebah dalam hadirat Allah adalah ternyata benar, dan ianya menyebabkan saya mendapat kesembuhan yang kekal dalam tubuh saya. Tuhan telah menggunakan waktu-waktu seperti ini dalam kehidupan orang-orang lain untuk melenyapkan kepahitan, kekerasan hati dan melakukan segala jenis "pembedahan rohani."

Siapakah yang dapat meneka apa yang sedang terjadi dalam hati, jiwa atau tubuh seseorang ketika dia mengalami jamahan yang nyata dari Roh Kudus? Ianya kemungkinan pekerjaan kuasa Tuhan untuk melakukan sesuatu dalam seseorang itu.

Rick Renner dan isterinya, Denise telah merintis tiga gereja, sebuah sekolah Alkitab dan sebuah persatuan pastor yang melayani ribuan pastor-pastor yang berbahasa Rusia di sekitar Kesatuan Republik Sosialis Soviet yang lama dan sebahagian Timur Tengah.

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel laman Renner bertajuk, "Why Do People Sometimes Collapse In The Presence of God" yang ditulis oleh Rick Renner)